Sabtu, 7 Januari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Beberapa jalan di ibu negara dijangka sesak Isnin ini

Posted: 07 Jan 2012 01:36 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di ibu negara dijangka sesak bermula jam 7 pagi, Isnin ini.

Laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur menyatakan jalan terbabit ialah Jalan Duta dari kedua-dua arah, Jalan Kuching, Bulatan Segambut, Jalan Khidmat Usaha, Jalan Ibadah, Jalan Dutamas, Jalan Persiaran Dutamas dan Jalan Hikmat Usaha.

Jalan berkenaan menuju ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Bangunan Kompleks Kerajaan, Hentian Bas Jalan Duta, Masjid Wilayah dan sekitarnya. Justeru, Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP Rusli Mohd Noor menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mengelak kesesakan pada hari itu.

"Pengguna jalan raya perlu elak daripada menggunakan jalan berkenaan jika tiada urusan penting.

"Kakitangan pejabat yang bertugas dan orang ramai yang mempunyai urusan di sekitar kawasan itu dinasihat menggunakan pengangkutan awam. Orang ramai perlu mematuhi arahan dan beri kerjasama sepenuhnya kepada anggota polis yang bertugas," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan kenderaan mereka yang diparkir tidak menghalang lalu lintas pada hari itu.
Kesesakan itu dijangka berlaku berikutan perhimpunan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tuduhan kes liwat Ketua Pembangkang itu terhadap bekas pembantu peribadinya, Muhd Saiful Bukhari Azlan.
- BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Pembangkang bertanggungjawab pastikan perhimpunan aman

Posted: 07 Jan 2012 01:22 AM PST

Mutakhir

MUAR: Pembangkang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menentukan perhimpunan yang dirancang di Kuala Lumpur pada Isnin ini berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pembangkang perlu menjamin perhimpunan terbabit tidak bertukar menjadi kucar-kacir sehingga mengancam keselamatan rakyat dan merosak harta benda awam.

"Tanggungjawab mereka (ialah pastikan) jangan ada kumpulan-kumpulan merosakkan harta benda awam dan mencetuskan keadaan yang menjejaskan keselamatan awam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dan penyampaian bantuan untuk rakyat pada program Kesejahteraan Rakyat Parlimen Pagoh di Dewan Seri Pekembar di Pagoh di sini. Muhyiddin berkata, perhimpunan itu dibenarkan selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2011 tetapi pada masa yang sama penganjur perlu mematuhi arahan polis.
Penganjur perhimpunan itu perlu juga memahami bahawa tugas-tugas polis adalah untuk memelihara ketenteraman awam dan mengelak keadaan daripada menjadi tidak terkawal.

Polis Kuala Lumpur semalam membenarkan penyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, pada Isnin ini.

Persetujuan itu dicapai selepas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Penganjur perhimpunan dikehendaki memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Muhyiddin berkata, beliau yakin polis mampu mengawal keadaan sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal pada perhimpunan itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun perhimpunan Isnin ini mendapat kebenaran pihak berkuasa tetapi tetap merupakan tindakan tidak bertanggungjawab di pihak pembangkang yang cuba mencampuri urusan kehakiman negara ini.
Perhimpunan itu merupakan suatu tindakan mengugut sistem kehakiman negara ini.

Pembangkang, katanya, hanya berminat untuk memperjuangkan maruah individu tertentu sebagaimana yang dapat dilihat daripada penganjuran perhimpunan Isnin ini.

Sementara itu, Muhyiddin turut ditanya mengenai temuramah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan akhbar Sin Chew Jit Poh di mana beliau menjangkakan pakatan pembangkang mampu merampas kembali Perak dan memenangi satu pertiga kerusi yang dipertandingkan di Johor pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata Lim boleh membuat segala ramalan malah boleh juga mendakwa pakatan pembangkang mampu memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan.

"Ia tidak membawa kesan apa-apa kepada kita (Barisan Nasional). Beliau (Lim) boleh cerita kepada seluruh dunia dia akan capai itu dan ini. Barisan Nasional mempunyai strateginya sendiri," katanya.

Pada akhirnya kata beliau, keputusan terletak di tangan rakyat. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan