Khamis, 12 Januari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Operasi loteri di vila sewa

Posted: 11 Jan 2012 09:29 AM PST

PETALING JAYA: Operasi di sebalik vila mewah tidak menjamin keselamatan sebuah sindiket pertaruhan loteri haram yang mengaut keuntungan lebih RM1 juta sebulan apabila kegiatan mereka dibongkar, semalam.

Hasil intipan dan risikan yang dijalankan Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya lebih sebulan, pusat pertaruhan yang beroperasi di tingkat dua sebuah vila mewah di Jalan Dahlia, di sini, diserbu pada jam 7 malam.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata pusat pertaruhan haram itu beroperasi lebih enam bulan lalu dan sindiket itu menyewa unit rumah 'townhouse' untuk menjalankan operasi mereka.

Menurutnya, vila mewah itu dijadikan tempat pengumpulan nombor pertaruhan sebelum dihantar ke pusat pertaruhan lebih besar selepas tamat masa pertaruhan.


"Ejen nombor ekor haram akan menghantar nombor pertaruhan yang dibeli pelanggan melalui faksimili ke pusat ini sebelum pekerja yang diupah sindiket memasukkan nombor pertaruhan dalam sistem perjudian untuk dihantar ke pusat judi yang lebih besar.


"Dalam operasi ini, kami menahan seorang lelaki dan empat wanita iaitu pekerja pusat pertaruhan ini yang berusia 32 hingga 45 tahun," katanya.

Beliau berkata, turut dirampas peralatan komputer yang digunakan sindiket dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.



Full content generated by Get Full RSS.

Drebar teksi samun penumpang

Posted: 11 Jan 2012 09:27 AM PST

GOMBAK: Seorang pemandu teksi dikesan berpakat dengan seorang rakannya untuk menjalankan kegiatan 'sampingan' dengan menjadikan penumpang sebagai mangsa samun dan peras ugut sebelum meninggalkan mereka di tepi jalan.

Dalam kejadian terbaru pada jam 7.40 pagi kelmarin, seorang wanita berusia 25 tahun yang menaiki teksi terbabit di Batu 8, Jalan Gombak Lama, untuk ke tempat kerja tergamam apabila disamun lelaki terbabit bersama rakan subahatnya menyebabkan kerugian RM4,000.


Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa meminta pemandu teksi itu menghantarnya ke Kuala Lumpur dan pada masa sama terdapat seorang penumpang lelaki di tempat duduk hadapan yang kononnya ingin ke destinasi sama.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di Batu 7, Jalan Gombak Lama, tiba-tiba teksi itu membuat pusingan U sebelum memecut ke Kuantan menyebabkan mangsa yang panik menjerit meminta dilepaskan.


"Tindakannya menjerit menyebabkan lelaki yang berada di sebelah pemandu mengeluarkan pisau dan mengugut akan mencederakan mangsa jika dia tidak mengikuti arahan," katanya.


Sumber berkata, mangsa yang ketakutan berdiam diri dan merayu dilepaskan. "Mangsa yang bimbang dengan keselamatan dirinya akur sebelum menyerahkan beg tangan berisi wang RM100 dan telefon bimbit.

"Lelaki terbabit yang belum puas kerana barangan samun sedikit merampas cincin emas dan gelang tangan dipakai mangsa," katanya.


Menurutnya, mangsa dibawa ke kawasan perumahan di Bukit Lela, Simpang Tiga Gombak, sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

"Mereka melarikan diri dan membiarkan mangsa terpinga-pinga. Penduduk yang melalui kawasan itu membantu membawa mangsa ke Balai Polis Gombak untuk membuat laporan," katanya.



Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan