Ahad, 8 Januari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Maut beli tiket bas

Posted: 07 Jan 2012 11:50 AM PST

GUA MUSANG: Kegembiraan seorang pemuda untuk ke Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila dia maut selepas membeli tiket bas dalam nahas jalan raya di simpang tiga Taman Damar, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang, Muhammad Zaharudin Ishak, 36, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.


Ibu mangsa, Ramlah Abdul Kadir, 65, berkata, dia memberi RM50 kepada anaknya membeli tiket bas ke Kuala Lumpur selepas melihatnya sering muram.

"Saya menyuruh dia membeli tiket bas untuk ke rumah seorang anak di Kuala Lumpur. Kami singgah di rumah seorang ahli keluarga di Taman Tropika, di sini, sebelum dia keluar membeli tiket dengan wajah ceria.


"Selepas keluar membeli tiket bas, dia tidak pulang dalam tempoh lama sebelum diberitahu seorang kenalan, anak saya maut dalam kemalangan dan mayatnya dibawa ke Bilik Mayat Hospital Gua Musang. Saya terkejut dan segera ke hospital untuk melihat jenazah anak saya," katanya.


Menurut Ramlah, dia reda dengan pemergian anaknya dan menganggap sebagai takdir.

Katanya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinting, dekat sini, malam kelmarin.


Sementara itu, Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.



Full content generated by Get Full RSS.

Nasihat jaga batas pergaulan

Posted: 07 Jan 2012 09:39 AM PST

MELAKA: "Baru minggu lalu saya sekeluarga makan bersama-sama lelaki itu di rumah seorang anak saya. Ketika itu saya sempat berpesan supaya anak dan teman lelakinya jaga diri dan batas pergaulan serta berbuat baik," kata Alismadi Wagimin, 58, bapa kepada juruwang yang parah akibat ditikam di lorong belakang berhampiran tempat letak kereta sebuah restoran makanan segera di Ayer Keroh di sini, malam kelmarin.

Dia yang kesal dengan tindakan teman lelaki anak perempuannya tidak menyangka lelaki yang berperwatakan baik dan menghormati orang tua sanggup melakukan perbuatan kejam itu terhadap anaknya, Norzila Alisamadi, 22.


"Tak sangka dia buat macam ini kepada anak saya, banyak cara lain untuk selesaikan masalah dan bukan buat tindakan kejam ini.

"Saya harap perbuatan ini tidak diikuti orang lain dan kita sesama Islam wajar menjaga hubungan," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, kelmarin.


Menurutnya, dia bergegas datang ke Melaka dari Batu Pahat jam 2 pagi kejadian selepas dihubungi anak bongsunya yang memaklumkan Norzila cedera ditikam teman lelaki.


"Walaupun sudah berpisah dengan ibu mereka dan berkahwin lain, hubungan saya dengan enam anak saya masih rapat dan kami kerap berhubung antara satu sama lain," katanya yang menyerahkan kepada polis untuk menentukan tindakan.

Harian Metro semalam melaporkan juruwang restoran makanan segera, Norzila Alisamadi, 22, parah di perut dan rusuk kiri selepas ditikam dua kali oleh teman lelakinya, penarik kereta berusia 23 tahun, dipercayai selepas mangsa ingin memutuskan hubungan dengannya.


Lelaki itu dipercayai nekad menikam Norzila menggunakan pisau pemotong sayur, disebabkan cemburu dan berang melihat mangsa berkawan dengan lelaki lain.

Mangsa bagaimanapun bernasib baik apabila seorang rakan sekerjanya pantas membawanya ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan selepas menemui Norzila dalam keadaan terduduk di atas jalan dengan berlumuran darah dan tidak bermaya sambil memegang perut.


Suspek itu turut mencederakan diri dengan menikam betis kaki kirinya sebelum ditemui pengsan dengan pisau dipercayai senjata digunakan berada berhampiran badannya, di depan pintu bilik air sebuah stesen minyak tidak sampai tiga kilometer dari tempat dia menikam mangsa.


Suspek kini direman sehingga 12 Januari ini bagi membantu siasatan kes terbabit.



Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan