Sabtu, 14 Januari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Kerajaan ada cara atasi isu NFC

Posted: 14 Jan 2012 01:56 PM PST

Nasional

KANGAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mempunyai pendekatan tersendiri untuk menangani kemelut yang ditimbulkan pembangkang dalam isu berkaitan Perbadanan Fidlot Kebangsaan Sdn Bhd (NFC).

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan itu bukan setakat menjelaskan kedudukan sebenar isu berkenaan yang dimanipulasi pembangkang, tetapi lebih penting menutup terus segala tohmahan dilemparkan berkaitan NFC.

"Sudah sampai masanya kita bertindak menangani isu NFC, lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat semakin keliru berikutan peranan pembangkang dalam isu terbabit terutama melalui media sosial. "Saya sudah bincang dengan Datuk Seri Noh Omar (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) beberapa malam lalu selepas diminta mencari jalan menyelesaikan perkara ini oleh Perdana Menteri. Hasilnya, kita sudah ada cara dan kaedah supaya perkara itu tidak berlarutan.

"Apa pun, saya akan maklumkan tindakan itu kepada Perdana Menteri terlebih dulu dan jika beliau bersetuju, tindakan terbabit akan diumumkan dalam tempoh terdekat," katanya selepas Majlis Jamuan Rakyat dan Pelancaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan 2020 di sini, semalam.

Projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan diuruskan NFC, anak syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd (Agroscience) dikecam pembangkang selepas didakwa wujud penyelewengan dana kerajaan membabitkan pinjaman mudah bernilai RM250 juta.

Malah, beberapa pemimpin pembangkang secara terbuka mendesak Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletak jawatan selepas suaminya yang juga Pengarah NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh, dituduh terbabit dalam isu penyelewengan operasi pusat berkenaan.
Ditanya bentuk tindakan yang bakal diambil, Muhyiddin berkata, ia sesuatu yang difikirkan wajar oleh kerajaan dalam mengendalikan kes terbabit.

"Kita akan nilai dan kaji daripada perjanjian ditandatangani sebelum ini antara kerajaan dan NFC, selain mengambil kira sudut perundangan yang mungkin boleh diguna pakai.

"Selain itu, keputusan dan tindakan diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan turut diambil kira sebagai panduan," katanya.

Mengenai tindakan Shahrizat memohon cuti selama tiga minggu bagi membolehkan siasatan dijalankan, Muhyiddin menyifatkannya sebagai wajar bagi mengelak beliau terus diheret dalam isu berkaitan NFC.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

oldman50

Memang menjadi lumrah pembakang akan mencari kesilapan. Satu-stau isu itu diperbesarkan seolah-olah kudis telah menjadi pekong, hanya untuk mengelirukan rakyat. Eloklah kerajaan menangani perkara ini secara serius agar hasutan pembangkang dapat ditangani

sumi

molek sangatlah isu ini ditangani secara serius supaya rakyat tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang hanya mahu mencari ke silapn pihak kerajaan sahaja


Full content generated by Get Full RSS.

Tiada keperluan rombak SPR: TPM

Posted: 14 Jan 2012 01:54 PM PST

Nasional

MUHYIDDIN beramah mesra dengan kanak-kanak yang menyambut ketibaan beliau bersama isteri (tiga dari kiri) pada majlis jamuan rakyat Parlimen Kangar dan Pelancaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Kangar, semalam. - Foto Shahrizal Md Noor

MUHYIDDIN beramah mesra dengan kanak-kanak yang menyambut ketibaan beliau bersama isteri (tiga dari kiri) pada majlis jamuan rakyat Parlimen Kangar dan Pelancaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Kangar, semalam. - Foto Shahrizal Md Noor

KANGAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bidang kuasa dan undang-undang yang ada pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika ini sudah mencukupi dan tidak perlu dirombak kerana badan itu sudah membuktikan kemampuannya melaksanakan pilihan raya dengan telus dan adil.

Malah, Timbalan Perdana Menteri berkata, SPR sudah menjadi badan yang bebas kerana kewujudannya sebagai sebuah suruhanjaya dibentuk di bawah kuasa Parlimen dengan pelantikan terletak dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Bagi saya tidak perlu ada satu badan lain. Setakat ini saya tak nampak keperluan itu (diwujudkan sebuah badan yang mempunyai kuasa penuh untuk mengadakan pilihan raya) kerana segala proses pilihan raya sudah berjalan dengan betul, malah tiada pihak mengatakan SPR tak berjalan dengan baik, cuma mereka nak memperbaiki proses pilihan raya. "Itu kita sudah laksanakan. Sesiapa pun boleh beri cadangan dan kerajaan boleh teliti," katanya selepas majlis jamuan rakyat Parlimen Kangar dan Pelancaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, isteri beliau, Puan Sri Nooraini Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubungan UMNO negeri, disusuli pertemuan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang mengesyorkan supaya diwujudkan sebuah badan yang mempunyai kuasa penuh dalam melaksanakan pilihan raya di negara ini.
Muhyiddin berkata, pemimpin parti komponen BN perlu memberi penjelasan dan mempertahankan keputusan dibuat parti dan kerajaan berhubung sesuatu isu bagi menangkis tohmahan dan tuduhan tidak berasas pembangkang.

"Pemimpin pembangkang sama ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS sentiasa ke seluruh pelusuk negara untuk berkempen menyebarkan dakyah dan tohmahan memburuk-burukkan kerajaan dan ia perlu ditangkis supaya rakyat faham keadaan sebenar.

"Saya pasti perkara yang dibangkitkan pembangkang ialah muslihat mereka untuk melunturkan keyakinan rakyat terhadap BN, sebab itu ia dicampur tipu helah.

"Jadi tanggungjawab kita di semua peringkat perlu menjelaskan perkara itu kepada rakyat supaya mereka faham," katanya.

Muhyiddin berkata, dalam pertemuan dengan pemimpin BN dan UMNO Perlis, beliau mengarahkan mereka menyelesaikan masalah dalaman parti masing-masing dan kembali bersatu bagi membolehkan Perlis kekal kubu kuat BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) selain merampas dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Simpang Empat dan Sanglang yang dikuasai pembangkang.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Muhyiddin berkata, rakyat perlu bersyukur kerana hasil kebijaksanaan kerajaan BN mengurus dan mentadbir negara membolehkan ekonomi Malaysia terus kukuh walaupun berdepan kemerosotan ekonomi dunia, terutama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Timbalan Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan sehari ke Perlis turut menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Parlimen Padang Besar dan Arau.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

umarul

tak salah buat perubahan,agar semua pehak berpuas hati.


Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan