Ahad, 1 Januari 2012

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Apa maksud 'Pemimpin yang ditunggu'

Posted:

Apa maksud 'Pemimpin yang ditunggu'

Apa maksud 'Pemimpin yang ditunggu'

Oleh TOK KI

MENATAP video rakaman ucapan Dr. Badrul Amin adalah contoh lawak terbaik menjelang 901. Antara yang saya sempat kutip daripada video itu; "Perlu ada seorang pemimpin yang mampu menyatukan umat Islam - paling tidak menyatukan dunia Arab. Ia akan datang dari sebelah Timur.

Ia sudah ada dan sedang disiapkan dengan mengalami siri ujian-ujian peringkat akhir. Orang hormat prinsip agamanya. Dan dia ialah Anwar Ibrahim".

Lawak sungguh firasat Dr. Badrul. Bagaimana 'ulama' PKR ini tergamak membuat kenyataan yang memperlihatkan daya taksub kelas pertama sedangkan yang digambarkan itu penuh dengan masalah integriti atau kewibawaan. Sayang, ilmu yang dimilikinya, kelulusan yang didapatinya tidak seimbang dengan kenyataan yang dibuat.

Kalaulah dikatakan Anwar memiliki faktor penyatuan umat, kerana cita-cita peribadinya untuk sampai ke Putrajaya, umat Islam berpecah dan umat Malaysia terjebak dalam sengketa. Ramai kawan yang dulunya rapat dengannya kini meninggalkannya. Dia tak mampu menjadi faktor pemersatu. Alasan kawan-kawan yang meninggalkannya ialah Anwar tidak layak menjadi pemimpin kerana menghadapi masalah moral yang serius. Anwar membalas dengan mudah dan lazim kepada yang meninggalkannya - mereka sudah dibeli oleh UMNO atau kerajaan.

Ujian yang dilaluinya adalah hasil perbuatannya sendiri. Dia tuduh konspirasi berlaku. Mana bukti konspirasi itu. Apakah mudah pihak polis, ahli perubatan, pakar forensik, pegawai pendakwa, hakim dan lain-lain lagi berpakat untuk melakukan kerja keji dan zalim itu. Kalau ia berlaku lambat laun ia akan pecah juga, "mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia, tidak!"

"Orang itu datang dari Timur". Ini mengingat penulis Allahyarham Ustaz Ashaari Muhammad, pemimpin Arqam mengenai Pemuda Bani Tamim yang bakal muncul datang dari Timur. Apakah Anwar Ibrahim orangnya. Ciri-ciri yang disebutkan oleh Dr. Badrul tidak menggambarkan watak sedemikian. Apakah kenyataan Dr. Badrul sebagai strategi "pemujaan" menjelang 901.

Dia disebut sebagai menghormati prinsip agama. Dr. Badrul tentu arif mengenai isu "kalimah Allah" yang diperjuangkan oleh Anwar yang menyebabkan ia digelar "pluralis" sewaktu bercakap di London School of Economics suatu ketika dulu. Dia juga yang mengambil sikap terbuka mengenai isu pemurtadan di DUMC , 3 Ogos 2011 yang menyebabkan Dr. Hasan Ali semacam dipinggirkan dari memainkan peranan dan Anwar dikatakan berada di belakang penyokong gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) kerana kenyataannya tidak jelas.

Dia dikatakan mempunyai ramai kawan seperti Al Gore, Camdessus, George Soros, Paul Wolfowitz, Shaha Ali Reza (teman wanita Wollfowitz), Martin Indyk (bekas Duta AS ke Israel), Michael Danby (MP Australia yang pro-Israel), James Wolfensohn (bekas Presiden Bank Dunia), William Cohen (bekas Setiausaha Pertahanan AS) dan ramai lagi. Apakah Dr. Badrul tidak pernah mengetahui ini semua. Kasihan!

Ia ditimbulkan kerana Anwar Ibrahim dikatakan boleh menyatukan umat Arab dan membebaskan Masjidil Aqsa. Bagaimana ini boleh berlaku sekiranya NGO "pelik" dari negara luar amat rapat hubungannya dengan Anwar.

Kawan-kawan Anwar dari International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan sebahagian kenalan Arabnya dalam Ikhwan Muslimin mungkin tidak tahu isu setempat yang sedang dilalui oleh Anwar termasuk grup al Barakah dari Bahrain. Malah seperti orang lain pun, mereka tidak percaya. Yang berlaku ialah konspirasi dan tuduhan silih berganti terhadapnya adalah dicipta. Memang benar terdapat daya taksub yang tinggi di kalangan sesetengah pihak termasuk yang terjadi kepada Dr. Badrul. Tetapi sudah semakin ramai orang luar negara mengetahui cerita sebenarnya.

Untuk menjadi "Pemimpin yang ditunggu" membawa risalah mulia mesti memiliki integriti yang tinggi. Apalagi kalau ingin membawa risalah Islam sebagai faktor penyelesai kemelut umat. Di Malaysia, Anwar sedang menghadapi masalah integriti yang serius.

Kenyataan Lee Kuan Yew dalam wikileaks suatu ketika dulu terhadapnya, tidak diberi respons dan ia serius. Salah satu bab biografi Tun Dr. Mahathir Mohamad mengaitkan Anwar dengan kisah yang amat memalukan adalah suatu kes yang serius juga. Video seks Datuk Eskay Abdullah yang dikaitkan dengan dirinya adalah lebih serius lagi. Mengapa Anwar tidak mengambil tindakan menyaman dan membersihkan diri dalam tuduhan ini. Apakah Dr. Badrul mengikuti semua ini dan tuduhan-tuduhan yang lain.

Dr. Badrul tidak boleh mengambil sikap semuanya ini adalah palsu, direka oleh musuh dan suatu siri konspirasi menjatuhkan Anwar dan menghalangnya untuk sampai ke Putrajaya. Anwar pernah memberitahu kawan-kawan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dulu iaitu sebagai pemimpin kita kena bersih dan kelihatan bersih. Dr. Badrul sebagai bekas pemimpin ABIM tentu pernah dengar ini.

Isu integriti atau kewibawaan adalah sesuatu yang amat penting untuk menjadi pemimpin apalagi pemimpin Islam. Pemimpin Islam yang berwibawa ialah pemimpin yang telus dan tulus, mempunyai akhlak contoh dan terhindar daripada masalah integriti yang serius. Sahabat-sahabat akan semakin rapat dan mampu membina keyakinan terhadap karisma dan kebijaksanaannya.

Ke mana perginya peguam Zainur Zakaria yang pernah membantu Anwar dalam kes liwat pertama dulu. Mana perginya Zulkifli Nordin dan Radzi yang juga peguam-peguam Anwar sekian lama. Mana perginya Dr. Chandra Muzaffar, tokoh ilmuwan yang disegani dan pernah menjadi Timbalan Presiden Keadilan. Mana perginya Ezam Mohd Nor yang pernah menjadi Ketua Pemuda Keadilan suatu ketika dulu. Mana perginya Dr. Halili Rahmat yang banyak membantu Anwar di zaman Reformasi dan ramai lagi.

Apakah mereka ini meninggalkan Anwar kerana duit atau dibeli oleh UMNO dan kerajaan? Lazimnya Anwar akan mengambil jalan mudah menuduh mereka dibeli oleh UMNO/kerajaan untuk meyakinkan pengikutnya bahawa belot adalah mereka dan yang teguh dengan perjuangan adalah dia.

Dr. Badrul Amin patut berjumpa dengan kawan-kawan lamanya ini. Untuk berlaku adil Dr. Badrul harus dengar pandangan dari kedua-dua belah pihak. Jangan dengar pandangan Anwar saja. Dia orang politik. Dengan mendengar daripada kawan-kawan paling tidak sebagai orang politik/dakwah dapat membuat timbangan yang lebih adil. Dan ini disuruh oleh Islam.

Dr. Badrul yang juga ulama PKR harus bersedia mencari kebenaran dan memperjuangkan kebenaran. Islam melarang seseorang memiliki sifat taksub melulu terhadap sesuatu dan seseorang. Seorang ulama yang dikatakan berwibawa pada hemat penulis adalah seorang pencari kebenaran. Kebenaran hanya satu, tidak dua tidak tiga. Apabila timbul rasa musykil dan ragu-ragu cari puncanya dan cari jalan keluarnya.

Dr. Badrul mempunyai pengikut. Pemimpin harus jelas dan tegas dengan prinsip kebenaran. Kalau taksub dijadikan landasan hingga tidak bersedia mendengar pandangan dan maklumat orang lain, Dr. Badrul termasuk di sisi "pemujaan" terhadap seseorang dan ia adalah salah dari sudut Islam.

Lihat sejarah Abu Bakar as-Siddiq apabila dilantik sebagai Khalifah mengambil sikap yang sangat terbuka untuk ditegur dan dikritik. Apakah Anwar seorang "maksum" tidak boleh ditegur atau dikritik? Dr. Badrul adalah seorang "ulama". Ulama adalah pewaris kerja-kerja Nabi.

Kebatilan ada di mana-mana. Ulama yang berwibawa ialah ulama yang berani berkata benar. Yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar. Kalau ulama tidak bersikap peka dan naïf terhadap sesuatu isu dan seseorang tokoh, tidak mampu membaca senario diri dan perkembangan politik yang didukung oleh tokoh itu, bermakna dia bukan ulama dalam erti kata yang setulennya. Ia adalah ulama celupan yang membisu terhadap isu integriti yang sedang ditanggung oleh tokoh itu dan bayangkan kerosakan yang bakal ditimpa oleh umat akibat ketaksuban yang membawa kepada sikap "pemujaan". Moga-moga Dr. Badrul Amin memahaminya.

Penulis tahu ramai kawan lama Anwar dalam ABIM dan di luar ABIM sudah meninggalkannya. Mereka sudah tahu siapa Anwar sebenarnya. Yang belum tahu atau tidak diberitahu harus ambil tahu daripada yang tahu. Anwar "bernasib baik" kerana kepimpinan ABIM, Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) masih partisan kepada Anwar. Sikap partisan kepada parti politik ini bukan amalan badan-badan ini.

Solat hajat sering dilakukan untuk membela Anwar dan meminta petunjuk dari Allah tentang salah benar akan sesuatu. Satu demi satu isu kredibiliti yang merujuk kepada Anwar terbongkar. Apakah isyarat dari Allah sedang diberi kerana Allah Maha Mengetahui.

Dr. Badrul sebagai bekas pimpinan ABIM merupakan salah satu contoh yang nyata. Terlalu taksub dengan Anwar Ibrahim sehingga Anwar yang pernah dapat jolokan "Anugerah Tuhan" kini bertukar menjadi "Pemimpin yang ditunggu". Selepas ini apa lagi?

Full content generated by Get Full RSS.

Produk 1Malaysia langkaui kaum

Posted:

Produk 1Malaysia langkaui kaum

Produk 1Malaysia langkaui kaum

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

MASIH segar dalam ingatan seorang menteri apabila satu program automatif untuk membantu usahawan bumiputera dihentam teruk oleh sekumpulan pengusaha.

Yang menghairankan ialah apabila kumpulan pengusaha itu diminta hadir ke kementerian untuk menyatakan pendirian dan diminta kerjasama menjayakannya, mereka mengiakannya. Tetapi sebaik sahaja melangkah keluar dari kementerian, keesokannya mereka memaklumkan enggan menyokong. Tambah perit lagi apabila kenyataan itu disuarakan pula kepada pihak tertentu yang kemudian bertindak umpama 'orang tengah'.

Itulah antara kesan pengenalan pelbagai produk berteraskan jenama 1Malaysia sehinggakan beberapa anggota DAP dan PKR menjaja serta 'mencuba sedaya ada' untuk mencungkil kelemahannya. Daripada sekecil-kecilnya sehinggalah ke peringkat membuat 'kajian' mengggunakan 'agensi R&D' sendiri.

Sedangkan kalau mereka turun padang ke banyak penempatan flat-flat dan rumah kos rendah dan sederhana dalam bandar-bandar besar termasuk Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai, pasti mereka akur pada permintaan tinggi jenama produk 1Malaysia ini.

Antara produk 1Malaysia yang paling 'mendapat tempat' di kalangan pembangkang ialah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Sudah tentulah pelayar portal propembangkang kenal benar dengan beberapa individu yang kerap muncul di laman mereka untuk menjelaskan aspek kelemahan dan keburukan Kedai Rakyat ini.

Sedangkan kalau diteliti, kewujudannya berupa medium kepada kerajaan untuk mengawal harga barang dan mengurangkan monopoli sesetengah barang keperluan yang telah lama didominasi oleh pengilang-pengilang multinasional.

Atas sebab itu, syarikat multinasional tersebut tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan tanpa sebab munasabah. KR1M menyediakan barangan konsumer sama seperti dilakukan oleh hypermarket, supermarkets, minimarkets dan lain-lain tetapi dengan menekankan pada keperluan asas konsumer/pelanggan dengan bajet yang sedikit/sederhana.

Tidak seperti kedai runcit yang lain, kebanyakan barangan yang dijual di KR1M seperti beras, minyak masak, susu tepung dan lampin dibungkus dengan menggunakan logo 1Malaysia. Dan sehingga sekarang jumlah barangan runcit di KR1M telah mencapai hampir 250 barang dan ia akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Masyarakat seharusnya faham bahawa KR1M merupakan program kerajaan yang melibatkan IKS bumiputera dan bertujuan memberi pilihan kepada pengguna terutama kepada bumiputera. Sebabnya selama ini hanya satu kaum sahaja yang menguasai dari segi pengimportan, peruncitan dan pembekalan barangan dengan mengawal seluruh pusingan harga sehingga pengguna tidak mempunyai pilihan. Dan apabila kerajaan membuat program ini, didapati ada pihak yang pandang rendah dan menganggap ia suatu bentuk persaingan.

Dalam konteks ini, pihak terbabit sewajarnya tidak 'mencari-cari kesalahan seseorang' tanpa mempunyai bukti yang kukuh.

Sepatutnya oleh kerana negara memiliki badan yang bertanggungjawab, maka ia patut diberi peluang untuk buat kajian. Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan boleh membuktikan isi kandungan produk Kedai Rakyat atau Menu Rakyat 1Malaysia berkenaan.

Jika selama ini DAP menuduh KR1M mengeluarkan produk yang kandungannya melepasi tahap bahaya tertentu namun persampelan oleh Kementerian Kesihatan tidak membuktian keadaan tersebut. Memang 'bijak' apabila masuk bab komen tetapi sepatutnya bantulah KR1M di peringkat awal ini. Selama ini pun IKS tidak ada peluang menghantar produk atau barangan mereka ke Giant atau pasar raya besar lain, justeru apabila dihantar produk ke KR1M, ia patut diberi peluang. Dalam konteks ini, orang ramai diyakini mampu menilai motif pembangkang.

Cuma, rentetan daripada insiden penarikan 13 produk KR1M baru-baru ini dikhuatiri akan menyebabkan ada kumpulan peniaga lain 'bersatu' dan seterusnya melambakkan barangan mereka pada harga yang murah, sekali gus memberi tekanan kepada peniaga bumiputera. Ini satu situasi untuk memonopoli, justeru kerajaan perlu memantaunya.

Demikian juga dengan produk-produk berjenamakan 1Malaysia yang lain. Contohnya, Menu Rakyat 1Malaysia. Setakat 10 Disember lalu, sebanyak 1,144 pengusaha restoran dan kedai makan telah melibatkan diri dalam program yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia. Dengan jolokan 'murah tapi berkualiti', harga pakej menu yang ditetapkan di Semenanjung untuk sarapan ialah RM2 dan makan tengah hari RM4. Di Sabah dan Sarawak pula, sarapannya cuma berharga RM2.50 manakala makan tengah hari sekitar RM5.

Ternyata, setakat ini tarikan Menu Rakyat 1Malaysia melangkaui seluruh pelosok negara. Di Sarawak sahaja membabitkan penyertaan sejumlah 71 pengusaha restoran manakala sebanyak 52 lagi di Sabah. Malah, lebih menarik lagi set makanan dalam menu berkenaan mempunyai peminat tersendiri.

Memanglah ada pengusaha Menu Rakyat yang menarik diri daripada program ini namun jumlahnya terlalu kecil. Ia bukannya kerana mereka tidak mampu tetapi disebabkan kadar sewa kedai yang dinaikkan secara tiba-tiba. Kerana itu, perlu ada komitmen daripada majlis-majlis daerah, antaranya dengan menyediakan insentif kepada Menu Rakyat 1Malaysia dari segi pengurangan kadar sewa premis yang mengusahakan program ini.

Kepada pihak terbabit, memasuki Tahun 2012 ini, jangan 'dibunuh' produk jenama 1Malaysia. Jangan dipijak produk yang baru 'bertatih'.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan