Jumaat, 6 Januari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Jangan heret rakyat berdemonstrasi

Posted:

Jangan heret rakyat berdemonstrasi

Jangan heret rakyat berdemonstrasi

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 5 Jan. – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali menegaskan adalah tidak wajar rakyat diheret menyertai perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901 semata-mata bagi mempertahankan isu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang tidak rela anak-anak muda diheret sama, turut membidas Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Abdul Rani Osman yang menggesa ahli parti itu untuk menyertai perhimpunan tersebut sedangkan tiada arahan khusus dibuat oleh pimpinan di peringkat pusat.

''Pas Selangor nampaknya begitu proaktif atas sebab yang salah, kalau sebab yang betul tidak mengapa. Kalau saudara melihat Ketua Penerangannya terlalu proaktif sehingga mendahului pimpinan di peringkat atasan, Pesuruhjaya negeri pun saya rasa dia membelakangi pandangan pimpinan pusat.

''Saya rasa jemputan Dr. Abdul Rani supaya ahli dan pendokong Pas hadir bersama-sama dalam perhimpunan tersebut, saya katakan itu pendapat peribadi. Itu bukan pendapat daripada Pas negeri, maklumat yang saya terima bahawa pimpinan di peringkat Pas negeri, sama ada Dewan Harian ataupun Perhubungan Negeri seluruhnya tidak tahu pun kenyataan Dr. Abdul Rani.

''Saya rasakan perkara besar seperti ini, perhimpunan itu bukan saja matlamat, tujuan dan hakikatnya besar, maka sebab itu satu orang sahaja tidak boleh membuat keputusan untuk melaungkan kepada orang lain," katanya kepada pemberita di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Dr. Abdul Rani yang meminta anggota Pas di negeri ini turut sama menyertai perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901, Isnin ini.

Terdahulu Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri memberikan sidang media mengenai operasi khas JAIS di seluruh sembilan daerah yang diketuainya pada malam 31 Disember dan malam tahun baru minggu lalu bagi membanteras kegiatan meminum arak, khalwat dan zina di kalangan masyarakat Islam.

Hasan bimbang perhimpunan 901 memberi implikasi kepada anak-anak muda dan remaja yang tidak tahu mengenai persoalan sebenar dan arah tuju parti untuk membawa golongan tersebut.

''Kalau hendak menjadi orang Pas, dia cukup dengan menjadi warganegara, Islam, akil baligh. Maknanya daripada remaja sangat muda, awal-awal remaja, kalau kita minta remaja tingkatan satu tingkatan dua, kalau kita seru pergi ke tempat itu, tanpa mengetahui tentang apa yang sebenarnya, saya bimbang ke arah mana kita hendak membawa mereka ?

''Kita hendak menjadikan mereka sebagai warganegara yang betul-betul dapat mencerminkan mereka membawa bendera kecemerlangan yang selalu saya sebutkan sejak lebih 35 tahun lalu," katanya.

Beliau turut mempersoalkan sikap Dr. Abdul Rani melarang ahli Pas menyertai Himpun sedangkan ia membincangkan tentang akidah Islamiah yang merupakan asas perjuangan Pas sebaliknya menggesa anggota parti menyertai perhimpunan haram 901 yang tidak membabitkan dasar perjuangan parti Islam itu.

''Kalau boleh, saya lebih tua daripada pesuruhjaya yang ada sekarang, saya hendak nasihatkan supaya kena amati betul-betul jejak minda dan pemerhatian perlu dilakukan kerana implikasinya besar," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Jual tenaga elektrik ke Singapura

Posted:

Jual tenaga elektrik ke Singapura

Jual tenaga elektrik ke Singapura

Oleh Noraini Abd. Razak
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak dan Lee Hsien Loong mengetuai delegasi kedua-dua negara pada mesyuarat peringkat delegasi antara Malaysia dengan Singapura sempena sesi permukiman Malaysia-Singapura di Bilik Mesyuarat Perdana di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA 5 Jan. - Malaysia sedang mengkaji kemungkinan menjual tenaga elektrik ke negara jiran Singapura atas inisiatif swasta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara tersebut dibangkitkan pada Sesi Pemukiman Malaysia-Singapura di sini hari ini yang menyaksikan pertemuan antara Najib dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Menurut Najib, beliau yakin sektor swasta di Malaysia dan Singapura akan menggerakkan rangka kerja penjualan elektrik itu termasuk dari segi penetapan harga.

''Saya tidak nampak sebarang kesulitan dalam hal ini,'' katanya pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya, Hsien Loong yang turut dihadiri beberapa barisan menteri Kabinet kedua-dua negara.

Terdahulu Najib dan Hsien Loong mengadakan mesyuarat empat mata dan menghadiri mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia dan Singapura.

Satu majlis pertukaran dokumen di antara Khazanah Nasional dan Temasek Holdings berhubung M+S Pte. Ltd. dan Pulau Indah Sdn. Bhd. turut berlangsung selepas selesai mesyuarat dua hala.

Najib, Hsien Loong dan delegasi dari kedua-dua negara kemudiannya diberi penerangan mengenai model Urban Wellness and Resort Wellness di Iskandar Malaysia.

Hsien Loong dalam reaksi balasnya berkata, Singapura amat terbuka kepada cadangan itu dengan mengambil kira perkara-perkara seperti kewajaran terma dan kesan projek itu ke atas alam sekitar.

Beliau berkata, kerajaannya sedang menyediakan rangka kerja yang sesuai berhubung perkara berkenaan.

''Sebaik sahaja siap, para kontraktor Malaysia akan dipelawa menyertai dan membida projek itu," katanya.

Menyifatkan pertemuan hari ini sebagai produktif dan berhasil, Najib turut menghuraikan beberapa kerjasama baru yang sedang diatur di Iskandar Malaysia termasuk cadangan menyediakan perkhidmatan teksi air dan feri antara Tuas dan Pelabuhan Puteri.

Dalam reaksi balas kepada ucapan Najib, Hsien Loong membangkitkan persetujuan kedua-dua pihak untuk menubuhkan kumpulan kerja baru berkaitan kerjasama industri di bawah Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri.

Kumpulan kerja itu akan mempromosikan aktiviti-aktiviti ekonomi berkembar yang mampu dimanfaatkan penduduk di kedua-dua negara bagi merangsang pertumbuhan di Iskandar Malaysia.

Hsien Loong turut menarik perhatian mengenai sektor perkilangan yang menurut beliau mampu diperluaskan di Iskandar. Katanya, Singapura menghadapi kekangan kawasan dan sumber manusia, justeru terdapat pelaburan negara asing untuk bidang tersebut di republik itu tidak dapat dilangsungkan.

Sehubungan itu, katanya, adalah lebih baik jika pelaburan seumpama itu dapat dipindahkan ke Iskandar menerusi mekanisme tertentu yang limpahan manfaatnya dapat dinikmati rakyat kedua-dua negara terutama dari sudut pembangunan hartanah, pendidikan dan hospital.

''Iskandar Malaysia boleh menyediakan kemudahan infrastruktur dan perindustrian bagi projek pembesaran syarikat Singapura atau projek yang mahu memasuki Singapura tetapi tidak dapat ditampung di sana. Kita boleh bekerjasama," katanya.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut ditanya sama ada penguncupan ekonomi di Singapura dan masalah ekonomi global memberi kesan kepada Iskandar Malaysia.

Najib berkata, tidak terdapat sebarang petunjuk perkembangan projek tersebut semakin perlahan.

Katanya, projek itu akan disiapkan mengikut jadual walau pun berhadapan ketidaktentuan ekonomi global.

''Pelaburan sebenarnya bergerak mengikut jadual," katanya.

Menurut Najib, keadaan ekonomi semasa di Malaysia dan Singapura akan berterusan pada paras kondusif bagi sektor swasta untuk terus melabur di Iskandar Malaysia.

Sementara itu, Hsien Loong berkata, Iskandar Malaysia adalah satu projek jangka panjang dan ia tidak boleh diukur berasaskan prestasi suku tahun ke suku tahun.

Dengan nada amat positif, katanya, ekonomi Singapura masih mencatatkan prestasi yang positif dan perkara yang mesti diberi perhatian adalah kerjasama antara semua pihak mesti diteruskan.

Full content generated by Get Full RSS.

46% mahasiswa lepasan ijazah datang dari UTM

Posted:

46% mahasiswa lepasan ijazah datang dari UTM

46% mahasiswa lepasan ijazah datang dari UTM

JOHOR BAHRU 5 Jan. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul sebagai pusat pengajian tinggi dengan bilangan mahasiswa lepasan ijazah yang paling ramai di negara ini iaitu seramai 10,888 mahasiswa setakat November lalu.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, jumlah itu bersamaan dengan 46 peratus daripada bilangan keseluruhan mahasiswa yang mengikuti pengajian pelbagai peringkat di UTM dan ia menghampiri sasaran universiti untuk mengimbangi bilangan penuntut sarjana muda yang berjumlah 12,955 orang setakat ini.

"Pada masa ini UTM mempunyai seramai 3,439 mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) membabitkan 1,823 mahasiswa tempatan dan 1,616 antarabangsa manakala 7,449 mahasiswa sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana yang terdiri daripada 2,106 warga tempatan dan 5,343 antarabangsa.

"Semua mahasiswa PhD mengikuti pengajian secara penyelidikan dan secara tidak langsung menyemarakkan lagi aktiviti berkenaan selaras dengan status UTM sebagai Universiti Penyelidikan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Kata Zaini, bagi mahasiswa sarjana, seramai 1,576 mengikuti pengajian secara penyelidikan, 4,655 kerja khusus dan 1,218 campuran penyelidikan dan kerja khusus.

Menurutnya, pertambahan jumlah mahasiswa lepasan ijazah mampu mengekalkan UTM sebagai universiti paling banyak mengeluarkan lulusan kejuruteraan dan teknologi di peringkat lepasan ijazah di negara ini dan ia kekal popular berbanding universiti penyelidikan lain di negara ini.

Tambahnya, kedudukan UTM dalam senarai 200 universiti terbaik dunia dalam bidang kejuruteraan dan teknologi berdasarkan penarafan oleh QS World University Rankings 2011 turut menyumbang kepada pertambahan bilangan mahasiswa dari luar negara.

''Selain itu, langkah UTM memperkenalkan PhD Industri berjaya menarik ramai tenaga kerja profesional dari sektor industri untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di UTM.

''Pada masa ini seramai 57 kakitangan industri mengikuti program tersebut melalui pembiayaan Kementerian Pengajian Tinggi yang bertujuan melahirkan 500 tenaga kerja industri berkelulusan PhD menjelang 2015.

"Jumlah berkenaan menjadikan UTM sebagai pusat pengajian tinggi paling banyak menerima biasiswa PhD Industri berbanding sebanyak 100 peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi tahun 2011," katanya.

Jelasnya, antara syarikat yang menghantar pekerja menyertai program berkenaan ialah Proton Berhad, Motorola Solutions Malaysia Sdn. Bhd; Telekom Malaysia Berhad, TM R&D Sdn. Bhd; TM Applied Business Sdn. Bhd; UCSI and Aviation serta Optimal Olefins Sdn. Bhd.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan