Sabtu, 14 Januari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Tiga Bazar Sore kekal

Posted: 13 Jan 2012 02:10 PM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan hanya mengekalkan tiga Bazar Sore (bazar larut malam) walaupun menerima permohonan untuk membuka premis perniagaan yang sama di kawasan lain.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Sosioekonomi DBKL, Datuk Muhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, pembekuan pemberian lesen bazar larut malam itu dilaksanakan berikutan pihaknya menerima banyak bantahan daripada penduduk di kawasan premis Bazar Sore itu beroperasi.


"DBKL tidak bercadang meluluskan tapak baru bagi menjalankan perniagaan Bazar Sore dalam tempoh terdekat ini walaupun menerima permohonan daripada persatuan atau peniaga sejak permohonan dibekukan tiga tahun lalu.

"Hendak buka tapak baru macam mana kerana DBKL tidak putus menerima aduan daripada penduduk akibat operasi bazar larut malam sehingga kes seperti ini terpaksa dibawa ke Parlimen," katanya pada Sidang Media Bazar Sore 1Malaysia-Permit Jualan Sempena Tahun Baru Cina 2012, semalam.


Katanya, tiga Bazar Sore di Setapak; Cheras dan Setiawangsa akan diteruskan operasinya seperti biasa memandangkan DBKL mengambil kira hak peniaga yang rata-ratanya terdiri daripada Bumiputera selain membantu mereka untuk terus menambah pendapatan.


"Walaupun mendapat bantahan penduduk, DBKL perlu memikirkan periuk nasi peniaga yang sudah bertahun-tahun menjalankan jualan di situ. "Justeru, beberapa langkah sudah diambil bagi kepuasan kedua-dua pihak," katanya.

Muhd Amin Nordin berkata, kekerapan aduan seperti kesesakan lalu lintas, sampah-sarap dan bunyi bising antara yang banyak diterima DBKL terutama daripada penduduk kawasan perumahan berdekatan tapak bazar.


Sementara itu, berhubung permit jualan sempena Tahun Baru Cina, DBKL meluluskan 455 lesen penjaja membabitkan 10 Parlimen dan operasi perniagaan dimulakan pada 9 Januari dan berakhir 7 Februari.

Katanya, peniaga hanya dibenar menjalankan perniagaan buah-buahan, peralatan atau kelengkapan ibadat, daging salai dan lain-lain berkaitan sambutan Tahun Baru Cina.


"Kami juga memastikan setiap peniaga memakai apron dan penutup kepala serta mendapatkan suntikan pelalian TY2 selain tidak membenarkan menggunakan kipas elektrik bagi jualan daging salai," katanya.



Full content generated by Get Full RSS.

Tiada kelonggaran

Posted: 13 Jan 2012 02:10 PM PST

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah memberi kelonggaran kepada mana-mana pemegang sijil halal supaya menggunakan logo halal lama yang diperoleh daripada syarikat swasta kerana ketetapan mengenainya tidak berubah.

Pengarah Hab Halal Jakim, Hakimah Mohamad Yusuf, berkata sehubungan itu tempoh setahun yang ditetapkan untuk pemegang sijil mengemukakan permohonan mendapatkan logo halal Malaysia seperti ditetapkan pihaknya sebelum ini masih dikekalkan.


"Pihak badan pensijilan swasta menganggap tindakan Jakim mewajibkan penggunaan logo Malaysia kepada pemegang sijil halal sebagai tidak memberi kesan kepada mereka, malah maklumat diterima daripada pemegang sijil yang mereka masih boleh menggunakan logo halal lama.

"Lebih mengecewakan mereka (syarikat swasta) juga mendakwa Jakim tidak akan mengambil sebarang tindakan (jika tidak mengemukakan permohonan logo halal Malaysia). Kita ingin mengingatkan penggunaan logo halal Malaysia sebagai wajib," katanya.


Hakimah berkata, Jakim menguar-uarkan kepada pemegang sijil halal keluaran syarikat swasta supaya mengambil peluang mengemukakan permohonan mendapatkan sijil halal Malaysia kerana tempoh ditetapkan masih panjang iaitu setahun.


"Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang diluluskan Parlimen pada 11 Julai lalu memutuskan hanya logo halal Malaysia saja dibenarkan dan ketetapan mengenainya tidak pernah berubah dan bagi sesiapa yang mahu mendapatkannya perlu memohon kepada Jakim.

"Mereka tidak boleh berurusan dengan badan swasta lagi selepas ini dan sepatutnya bila perkara berkenaan dihebahkan, aktiviti (mengeluarkan logo halal swasta) dihentikan. Kita tetap bertegas mengenainya dan tindakan akan diambil selepas itu (tempoh setahun permohonan tamat)," katanya.


Beliau berkata, pada 2013 jika ada yang masih tidak mendapatkan sijil halal Malaysia, tindakan lebih tegas seperti diperuntukkan dalam APD 2011 akan diambil pihaknya.

"Mereka yang ingkar berdepan dengan denda sehingga RM250,000 bagi organisasi dan RM100,000 bagi individu atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.



Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan