Isnin, 9 Januari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Pemecatan Hasan Ali soal dalaman PAS: PM

Posted: 09 Jan 2012 01:25 PM PST

Nasional

 NAJIB   menerima kunjungan hormat   Naib Presiden Kenya,  Kalonzo Musyoka    di Bloemfontein, Afrika Selatan, semalam.

NAJIB menerima kunjungan hormat Naib Presiden Kenya, Kalonzo Musyoka di Bloemfontein, Afrika Selatan, semalam.

UMNO tak ada kena mengena, bukan urusan parti

DATUK Seri Najib Razak, berkata, pemecatan Datuk Dr Hasan Ali sebagai ahli PAS adalah soal dalaman parti itu dan dan tidak ada kena mengena dengan UMNO.

"Dari segi UMNO kita anggap ini sebagai soal dalaman PAS dan tidak ada kena mengena sama sekali dengan sebarang campur tangan UMNO," katanya.

Kita melihat ini bukan saja soal Hasan Ali, tetapi permasalahan ini ada sangkut paut dengan dasar dan hala tuju PAS. - Najib Razak, Perdana Menteri

Bercakap pada sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri Sambutan 100 Tahun Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) di sini, kelmarin, Perdana Menteri berkata, permasalahan dalam PAS adalah berkaitan dasar dan hala tuju parti itu.

Katanya, ada perbezaan pendapat besar di kalangan kepemimpinan PAS mengenai masa depan dan hala tuju parti itu.

"Kita melihat ini bukan saja soal Hasan Ali, tetapi permasalahan ini ada sangkut paut dengan dasar dan hala tuju PAS.

"Nampaknya ada perbezaan pendapat besar mengenai hala tuju dan masa depan PAS... tetapi perkara pokoknya kita anggap ini sebagai soal dalaman PAS, bukan urusan UMNO sama sekali," katanya.
Pemecatan keahlian Hassan yang juga Exco Hal-Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, yang berkuat kuasa serta-merta diputuskan pada mesyuarat PAS Pusat kelmarin.

Mengenai dakwaan pemimpin pembangkang kononnya pakatan itu menambah bilangan kerusi dan menawan beberapa negeri lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Najib berkata, beliau tidak pelik dengan kenyataan sedemikian.

Katanya, pembangkang juga mendakwa akan membentuk kerajaan pada 16 September 2008, tetapi impian mereka meleset sama sekali.

"Jadi, ini bukan satu kaedah kempen yang bersifat psikologi yang asing bagi kita... kita sudah menjangka inilah yang akan dilakukan oleh mereka," katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak boleh memandang ringan dalam sebarang pertandingan dan persaingan pada pilihan raya.

Full content generated by Get Full RSS.

Rai sambutan ANC simbolik kejayaan BN

Posted: 09 Jan 2012 01:17 PM PST

Nasional

Kehadiran Najib ke Afrika Selatan pamer kesungguhan Malaysia menentang dasar aparteid

KEHADIRAN Datuk Seri Najib Razak pada Sambutan 100 Tahun Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) di sini, kelmarin, adalah simbolik terhadap kejayaan dasar luar Malaysia serta Barisan Nasional (BN) yang berpegang kepada prinsip kemanusiaan.

Perdana Menteri berkata, UMNO, BN dan Kerajaan Malaysia sejak sebelum 1993 lagi menjadi penyokong tegar ANC yang berjuang menentang dasar aparteid yang kejam dan zalim.

Namun, sebagai sebuah parti dalam abad ke-21 yang berdepan dengan generasi baru, kita tidak boleh terperangkap dengan jasa lama kita... kita mesti berani untuk melihat ke depan supaya UMNO dan BN tetap relevan pada zaman ini dan akan datang. - Najib Razak, Perdana Menteri

Selain membantu perjuangan ANC secara politik, Malaysia memberi bantuan seperti bahan kempen dan panduan berkempen pada pilihan raya di republik itu pada 1993.

Malah, Najib juga secara kebetulan menghadiri majlis memperingati 300 tahun kematian ulama terkenal, Sheikh Yusuf, di Cape Town, pada 1993 dan berkongsi pentas dengan pemimpin ANC ketika itu, Nelson Mandela, bagi melahirkan sokongan UMNO dan negara kepada mereka.

Justeru, katanya, kehadiran beliau adalah simbolik kepada perjuangan ANC yang mendapat sokongan Malaysia yang berkesudahan dengan kejayaan mendapat pembebasan dan menolak rejim aparteid.

"Ini satu kebanggaan bagi kita bahawa dasar luar negara kita dan juga dasar BN yang berdiri atas prinsip kemanusiaan, di mana berlaku ketidakadilan di mana-mana tempat sekalipun tanpa mengira kaum dan agama, kita sedia bantu mengikut kemampuan kita.
"Prinsip yang sangat mulia dan murni ini kita masih pertahankan hingga hari ini dan sebab itulah saya rasa amat wajar dan patut sekali saya hadir sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN serta Perdana Menteri untuk tegaskan secara simboliknya prinsip yang sebati dengan parti dan kerajaan selama ini," katanya.

Perdana Menteri bercakap pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri sambutan itu yang dirasmikan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma di Stadium Ragbi Mangaung di sini, kelmarin.

Sebelum itu, Najib turut menerima kunjungan hormat Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo Musyoka di hotel persinggahan di sini.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah antara 46 ketua negara dan kerajaan yang menghadiri sambutan yang penuh bersejarah bagi memperingati perjuangan getir rakyat Afrika menentang rejim aparteid.

Najib berkata, sebagai sebuah parti yang ada persamaan dengan UMNO, ANC perlu melalui proses peralihan dari sebuah parti pejuang pembebasan kepada parti bertanggungjawab membina negara bangsa yang baru.

Justeru, katanya, kemahiran, strategi dan budaya juga perlu berubah sesuai dengan perbezaan fasa perjuangan serta mengambil kira keadaan dunia semasa.

Perdana Menteri berkata, ini menyamai dengan UMNO yang menjadi sebuah parti yang berjuang membebaskan negara daripada cengkaman penjajah dan seterusnya melakukan pembangunan bagi mengisi kemerdekaan.

"Namun, sebagai sebuah parti dalam abad ke-21 yang berdepan dengan generasi baru, kita tidak boleh terperangkap dengan jasa lama kita... kita mesti berani untuk melihat ke depan supaya UMNO dan BN tetap relevan pada zaman ini dan akan datang," katanya.

Mengenai hubungan dengan Afrika Selatan, Perdana Menteri berkata, ia perlu diperbaharui dan perlu diterjemahkan dalam bentuk hubungan dan kerjasama yang lebih sesuai dengan keadaan semasa.

Mengenai perjumpaan dengan Naib Presiden Kenya, Najib berkata, Musyoka kagum dengan program kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi.

"Beliau ingin mendapatkan maklumat lanjut dan menganggap Malaysia sebagai negara model untuk mereka ikuti," katanya.

Mengenai perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Mauritius, Ahmad Rashid Beebeejaun, ketika singgah di negara itu ketika dalam perjalanan ke Afrika Selatan, Najib berkata, negara itu mengharapkan hubungan dua hala dipertingkatkan.

Ini berikutan Mauritius mengalami tekanan ekonomi kesan daripada krisis hutang di Eropah kerana 65 peratus daripada perdagangan negara itu adalah dengan Kesatuan Eropah.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan