Utusan Online - Utara |
Warga emas 100 tahun sambut hari lahir Posted: Warga emas 100 tahun sambut hari lahirPADANG BESAR 21 Dis. - Warga emas, Munah Jusoh sudah berusia 100 tahun namun tubuh badannya masih sihat dan daya ingatannya tetap kuat kerana boleh mengingati peristiwa penjajahan Jepun dan Inggeris di Tanah Melayu. Berdasarkan tarikh lahir pada kad pengenalannya, Munah dilahirkan pada 20 Disember 1910 di Kampung Padang Lati, di sini. Namun keluarganya mendakwa, dia sebenarnya telah berusia 106 tahun. Menurut Munah, dia tidak mempunyai pantang larang atau petua-petua tertentu dalam menjaga kesihatannya namun yang pasti dia tidak pernah lalai membaca al-Quran setiap kali selesai solat lima waktu. "Tok bersyukur kepada Allah dalam usia begini masih mempunyai daya ingatan yang kuat tidak terkena penyakit nyanyuk malah tok boleh berjalan-jalan di sekeliling rumah kerana mata tok masih terang," katanya. Munah berkata demikian kepada para pemberita semasa Majlis Kesyukuran Hari Lahir Ke-100 yang diadakan di rumahnya di Jalan Datuk Kayaman di sini, semalam. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi, Sabry Ahmad. Menurut Munah, dia juga tidak menghidap sebarang penyakit yang serius cuma kadang kala dia mengalami sakit urat dan tekanan darah yang sederhana dan kurang pendengaran. "Tok makan seperti biasa sejak dahulu lagi, makan nasi dan lauk pauk lain serta ulam-ulaman malah kadang kala tok minum juga air batu, cuma tok tidak makan makanan moden yang ada sekarang seperti makanan segera," katanya. Munah juga berkata, dia masih boleh mengayuh basikal di sekeliling kampung namun aktivitinya itu telah ditinggalkan sejak tiga tahun lalu kerana tidak dibenarkan oleh cucu-cucunya yang bimbang tentang keselamatannya. Dia pernah bersekolah sehingga Darjah 4 di Sekolah Melayu Jalan Alor Sena sebelum mendirikan rumah tangga dengan Daud Jusoh ketika berusia 16 tahun namun tidak dikurniakan cahaya mata. Dia kemudian mengambil anak saudaranya, Ismail Daud sebagai anak angkat manakala suaminya meninggal dunia pada 1990. "Tok dan suami menjalankan perniagaan menjual pakaian, barang kemas, periuk belanga dan beras yang dibeli di pekan Padang Besar dengan menaiki kereta api kemudian dijual kepada penduduk kampung," katanya. Munah juga berkebolehan menjadi Mak Andam dan pernah mengandam pengantin ke serata Malaysia. Menurutnya, dia merupakan anak bongsu dari tiga beradik manakala abang dan kakaknya telah meninggal dunia. Dia juga suka menonton filem-filem lama terutama lakonan Tan Sri P. Ramlee dan menjadi penonton setia filem itu setiap kali disiarkan di televisyen malah dia masih mengingati kedatangan seniman itu ke Perlis untuk menyambut hari lahir Raja Perlis suatu ketika dahulu. Mengimbau kembali kisah lama, Munah berkata, semasa usia remaja dia menolong keluarganya menanam padi dan menoreh getah dan ketika zaman penjajahan Inggeris dan Jepun dia tidak terlepas daripada penderitaan. "Tok masih ingat ketika itu makanan hanya ubi rebus malah pakaian kami semua diperbuat daripada kain guni," katanya. Selepas mengharungi pahit getir penjajahan asing termasuk kekejaman komunis, Munah bersyukur kerana semua ahli keluarganya sekarang dapat hidup dalam keadaan aman dan tenteram di negara ini. |
Bom tangan masih aktif ditemui Posted: Bom tangan masih aktif ditemui Oleh MARZITA ABDULLAH ARAU 21 Dis. - Seorang pekerja di tapak pelupusan sampah milik Majlis Perbandaran Kangar (MPK) di Padang Siding di sini terkejut apabila menemui sebutir bom tangan yang masih aktif di tapak pembuangan itu malam tadi. Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Supritendan Lee Swee Meng berkata, pekerja itu dikatakan sedang memandu jentolak untuk mengumpulkan sampah di kawasan berkenaan kira-kira pukul 8 malam. "Ketika sedang menolak timbunan sampah, dia ternampak satu objek bulat kecil jatuh bergolek menuruni timbunan sampah sarap," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurut beliau, pekerja berkenaan yang curiga dengan objek itu mengutipnya dan mendapati ia sebutir bom tangan. "Dia kemudian bergegas membuat laporan polis di sini. Sepasukan anggota polis pergi ke tempat kejadian untuk mengenal pasti objek berkenaan," katanya. Kata beliau, kerja memusnahkan bom itu dilakukan pukul 8.30 pagi ini. Swee Meng memberitahu, seramai lima anggota Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri diketuai Inspektor Sohaimi Md. Said memusnahkan bom berkenaan. Beliau berkata, penemuan bom tangan itu merupakan yang pertama dilaporkan di Perlis sepanjang tahun ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan