Utusan Online - Dalam Negeri |
Posted: Pekan pusat automotif ASEANOleh SARAH NADLIN ROHIM
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Pemain industri automotif tempatan perlu sentiasa berinovasi dan menggunakan teknologi baharu untuk kekal relevan dalam pasaran dinamik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya, kemasukan pemain industri automotif asing seperti Volkswagen AG (VW) yang membawa teknologi serta kepakaran terkini akan membantu memastikan pekerja tempatan dapat menambah nilai selari dengan rantaian nilai automotif. ''Peningkatan kadar kemasukan syarikat multinasional ke dalam pasaran tempatan menggambarkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi dan polisi mesra pelabur negara. ''Di bawah Dasar Automotif Negara, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif termasuk pelepasan cukai bagi menarik minat pembuat automotif untuk memindahkan operasi ke Malaysia. ''Penekanan diberikan untuk menarik minat pengeluar kereta maju yang menggunakan teknik pembuatan nilai tinggi dan teknologi terkini seperti VW,'' katanya pada majlis pemeteraian perjanjian kerjasama eksklusif antara VW dan DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM) di sini hari ini. Menurut Najib, Malaysia berada pada kedudukan terbaik menjadi pusat automotif serantau ekoran kedudukan strategik serta rangkaian laluan laut, darat dan udara yang baik. ''Melalui kerjasama antara VW dan DRB-HICOM, ia dapat membantu menjadikan Pekan, Pahang sebagai pusat pengeluaran automotif ASEAN. ''Secara tidak langsung ia akan dapat mempromosi peluang pekerjaan, pembangunan skil dan peluang perniagaan bagi industri hiliran. Selain mengembangkan teknologi automotif tempatan dan pertukaran kepakaran dalam pemasangan, ujian dan kualiti bagi model di pasang dalam negara (CKD),'' jelasnya. Najib berkata, keadaan itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadi negara berpengetahuan dan berpendapatan tinggi. Sementara itu, Najib berkata, kerjasama antara kedua-dua syarikat itu melibatkan pelaburan hampir mencecah RM1 bilion. ''Melalui pengalaman selama 30 tahun dalam industri automotif, DRB-HICOM merupakan rakan ideal bagi VW. DRB-HICOM juga telah menunjukkan kepimpinan dengan menubuhkan Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM). ''Institusi seperti ini merupakan pelaburan pada masa hadapan bagi melahirkan pekerja dengan berkebolehan bagi ekonomi berpengetahuan,'' katanya. Bergerak ke hadapan, Najib berkata, usaha membangunkan industri automotif negara tidak hanya terletak di bahu kerajaan sahaja, sektor swasta juga turut berperanan penting. ''Kerjasama strategik seperti ini, dapat membantu mengembangkan industri melalui suntikan pelaburan baharu dan teknologi dinamik. Bagi jangka masa panjang, kerjasama tersebut perlulah berlandaskan rasa hormat dan saling mempercayai. ''DRB-HICOM dan VW juga merancang menggunakan komponen tempatan sebanyak 40 peratus selain membangunkan program vendor,'' katanya. | ||
CUEPACS ikrar terus sokong kepimpinan Najib Posted: CUEPACS ikrar terus sokong kepimpinan NajibKUALA LUMPUR 21 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berikrar untuk terus setia menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam apa jua keadaan. Dalam pada itu, kongres tersebut juga tidak lagi mahu hanya dipandang sebagai pejuang gaji dan bonus semata-mata, sebaliknya bercita-cita membantu kerajaan membasmi budaya tidak sihat seperti rasuah dan dadah di negara ini. Presidennya, Omar Osman berkata, sokongan itu adalah dasar mahu melihat negara ini mencapai Wawasan 2020 dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. "Apa saja di bawah pemerintahan Perdana Menteri, jatuh atau bangun, kita tetap akan bersama beliau bagi memastikan negara ini menjadi maju pada 2020 dan berpendapatan tinggi. "Kalau kita mahu itu, kita perlu berdiri di belakang Perdana Menteri untuk pastikan apa jua dirancang kepimpinan negara dapat dicapai," katanya ketika berucap sambil disambut tepukan gemuruh hampir 2000 perwakilan dan pemerhati CUEPACS pada Majlis Perasmian Konvensyen CUEPACS ke-25 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini hari ini. Omar menambah, beliau berharap soal integriti diangkat ke tahap tertinggi oleh penjawat awam selain berusaha menjadi kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas. "CUEPACS boleh menjadi tulang belakang kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras gejala itu. Siapa bagi rasuah, kita tangkap. "Tidak perlu lagi bekerja hanya disebabkan arahan kerana ia adalah pemikiran 'low class'. Kita perlu lebih kreatif dan inovatif dalam bertugas," tegasnya. Sementara itu, beliau ketika ditemui selepas majlis berkenaan berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas pengumuman pertambahan geran tahunan serta peruntukan khas diberikan kepada kongres tersebut. Menurutnya, wang tersebut akan digunakan sebaik mungkin bagi menggerakkan CUEPACS di samping menambah baik bangunan sedia ada. "Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana turut memberi penjelasan kepada penjawat awam mengenai ketiadaan bonus dalam ucapannya tadi dan kita faham keadaan kewangan negara kini. "Beliau sendiri katakan, kalau keadaan ekonomi kita baik, kerajaan akan pertimbangkan permohonan CUEPACS. Kita juga tidak mahu mendapat bonus tetapi akan menyebabkan rakyat menderita. Tidak seronoklah begitu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan