Utusan Online - Pahang |
Posted: Bina tujuh gelanggang futsalOleh ALI MAHMOOD TEMERLOH 21 Dis. - Kerajaan memperuntukkan RM700,000 untuk membina tujuh gelanggang futsal di beberapa kawasan dalam Parlimen Kuala Krau di sini. Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, selain gelanggang tersebut, kerajaan menerusi Jabatan Belia dan Sukan juga akan membina beberapa buah lagi kemudahan sama di perkampungan Orang Asli di kawasan Parlimen berkenaan. Menurut beliau, dengan wujudnya gelanggang tersebut, generasi muda Orang Asli mempunyai tempat untuk beriadah dan menjalani aktiviti sukan bagi memenuhi masa lapang mereka. ''Selain gelanggang futsal, kawasan Parlimen Kuala Krau bakal mempunyai sebuah kompleks sukan mini yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk asrama bertujuan mencungkil bakat-bakat muda di kalangan generasi muda. ''Kita telah mengenal pasti kawasan seluas lima hektar di Kampung Desa Murni, Kerdau dekat sini untuk membina kompleks sukan mini tersebut yang mampu memuatkan 200 ahli sukan pada satu-satu masa," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan futsal antara Parlimen Kuala Krau dengan kakitangan Parlimen Malaysia di Desa Murni Kerdau di sini, hari ini. Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau berkata, sebahagian daripada kawasan Parlimen tersebut telah mempunyai gelanggang futsal, sepak takraw, badminton dan bola jaring yang membabitkan peruntukan lebih RM380,000. Menurut Ismail, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam masa terdekat bagi mendapatkan peruntukan untuk membina kompleks tersebut. |
Orang Asli Kg. Penderas bakal dapat geran Posted: Orang Asli Kg. Penderas bakal dapat geranTEMERLOH 21 Dis. - Kerajaan Pahang memberi jaminan akan memberikan geran tapak rumah kepada 156 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli Kampung Penderas, Kuala Krau, dekat sini dalam tempoh terdekat ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, pemberian geran tapak rumah itu merupakan kali pertama dilakukan dalam daerah ini. ''Perkampungan Orang Asli yang lain juga akan menerima geran tapak rumah masing-masing selepas Kampung Penderas," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan perlawanan futsal tertutup Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krau, Rodzuan Zaabar. Perlawanan anjuran Persatuan Belia Taman Seri Desa bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Krau itu melibatkan 20 pasukan dalam DUN berkenaan. Menurut Mohamed, pihaknya kini menunggu proses pemberian geran itu selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri dan berharap supaya penduduk Kampung Penderas bersabar menanti hari penyerahan tersebut. ''Kita gembira kerana penduduk Orang Asli daerah ini terutama dalam DUN Jenderak merupakan yang pertama menerima geran bagi tapak rumah masing-masing. Ini membuktikan kerajaan tidak berat sebelah malah sentiasa memikirkan untuk membantu masyarakat minoriti itu. "Masyarakat Orang Asli kampung lain perlu bersabar menunggu giliran mereka kerana bukan mudah urusan pemberian geran ini dibuat. Pihak Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh perlu melukis pelan dan menyukat keluasan tanah mereka. "Sebab itu, ia mengambil masa yang panjang kerana proses mengukur tanah memerlukan sukatan yang tepat," katanya. Dalam perkembangan lain, Mohamed berkata, dia bangga melihat remaja dan belia dalam DUN tersebut yang bergerak aktif dalam kegiatan sukan bagi mengisi masa terluang dengan kegiatan berfaedah. Beliau berharap, persatuan belia setiap kampung dalam DUN itu dapat mengadakan pelbagai kegiatan berfaedah untuk mengelak golongan muda terlibat dalam kegiatan negatif. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan