Selasa, 21 Disember 2010

Malaysiakini :: Berita

Malaysiakini :: Berita


Mayat 25 mangsa kemalangan diterbangkan ke Bangkok

Posted: 21 Dec 2010 07:12 PM PST

Mayat 25 warga Thailand yang terbunuh dalam kemalangan bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dua hari lepas dibawa ke Pangkalan TUDM Subang dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk dihantar pulang ke Bangkok.

Menteri Penasihat di Kedutaan Thailand, Somphong Kang Thong, berkata persiapan untuk membawa kesemua mayat itu mendapat kerjasama pihak hospital, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi memastikan perjalanan yang lancar.

Perjalanan dari Ipoh ke Subang dijangka mengambil masa dua jam tiga puluh minit sebelum mayat diterbangkan ke Thailand menggunakan buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Thailand.

Somphong berkata pihaknya belum membuat keputusan sama ada waris-waris dari Thailand yang tiba di Ipoh sejak dua hari lepas akan dibawa bersama.

Beliau berkata perbincangan sedang diadakan dengan pihak hospital bagi membolehkan lima daripada 10 pelancong Thai yang sedang dirawat di sini dibawa terus ke Hatyai, Thailand, menggunakan ambulans hospital itu.

Semalam, Setiausaha Pertama di Kedutaan Thailand, Suwit Mangkhala memberitahu Bernama pesawat akan berlepas ke Malaysia pada 8 pagi ini dari Terminal Tentera Udara Don Mueang dan dijangka tiba pada tengah hari.

Di hospital berkenaan, mayat-mayat disusun oleh pihak hospital, polis dan tentera di ruang legar Jabatan Forensik hospital itu.

Kedengaran suara tangisan waris-waris tersebut dan ada antara mereka dilihat berpelukan sesama sendiri.

Dalam kejadian dua hari lepas, bas yang membawa pelancong warga Thailand terbabas dan terbalik ketika dalam perjalanan menuruni pusat pelancongan CameronHighlands, mengorbankan 27 orang, termasuk dua rakyat Malaysia, dan mencederakan 10 yang lain dalam kemalangan jalan raya paling buruk dalam sejarah negara.

--Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Wang ehsan banjir mula diagih di Kedah

Posted: 21 Dec 2010 07:04 PM PST

Sumbangan wang ehsan RM500 kepada setiap keluarga terbabit dengan bencana banjir di Kedah sudah mula diagihkan secara berperingkat, bermula dengan mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Banjir Negeri Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata proses agihan wang berjumlah RM17.5 juta kepada hampir 35,000 keluarga di enam kawasan parlimen Alor Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Kuala Kedah dijangka selesai awal bulan depan.

Beliau berkata setiap mangsa banjir yang mendaftar dengan menggunakan borang khas pendaftaran, dan yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di pusat-pusat pemindahan banjir, layak menerima sumbangan itu.

"Pengagihan dijalankan secara berperingkat dan dilakukan oleh Umno Bahagian berkenaan dan ia akan mengambil sedikit masa kerana melibatkan bilangan yang ramai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang bantuan kepada 1,450 mangsa banjir dalam kawasan Parlimen Alor Setar, di Alor Setar semalam.

Semasa lawatan ke Kedah pada 9 Disember lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan kerajaan pusat RM500 kepada setiap keluarga di Kedah dan Perlis yang terlibat dengan banjir besar awal November lalu.

Ahmad Bashah meminta mereka yang belum mendapat wang itu supaya bersabar dan jangan bersangka buruk apabila melihat orang lain sudah menerimanya terlebih dahulu.

"Semua yang berdaftar akan mendapat wang masing-masing, fasa pertama ini kita beri kepada yang berpindah dulu iaitu kira-kira 16,000 keluarga sementara fasa kedua akan diberikan kepada mereka yang tidak berpindah. Proses pemberian itu kita jangka paling lewat dapat diselesaikan awal bulan hadapan," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah.

--Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan