Utusan Online - Mahkamah |
Posted: Hukuman penjara ditambahOleh RADHUAN HUSSAIN KUALA TERENGGANU 21 Dis. - Seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyifatkan kesalahan rasuah seumpama penyakit kanser yang amat berbahaya dan jika dibiarkan boleh menyebabkan runtuhnya sebuah negara. Menurut Hakim Datuk Abdul Rahim Uda, bukan sahaja dalam Islam tetapi agama lain juga mengharamkan rasuah kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa tetapi juga orang lain dan jika dibiarkan boleh menyebabkan runtuhnya struktur masyarakat. Beliau berkata demikian semasa menolak rayuan Deputi Supritendan Nordin Ahmad, 52, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 14 hari serta denda RM25,000 yang dihadapinya atas kesalahan rasuah. Hakim tersebut sebaliknya menjatuhkan hukuman yang lebih berat terhadap pegawai kanan polis tersebut iaitu penjara dua tahun manakala jumlah denda dikekalkan. Menurut Abd. Rahim, beliau tidak nampak perayu kesal dengan kesalahan yang telah dilakukannya itu. Sebagai pegawai polis, tegas beliau, perayu seharusnya menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab serta sedar bahawa rasuah merupakan satu kesalahan yang serius. Nordin mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen Kemaman pada 25 April lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM25,000 atau penjara enam bulan setelah disabitkan bersalah atas pertuduhan rasuah. Nordin didapati bersalah menerima rasuah RM5,000 daripada Mohd. Nizam Abd. Hamid sebagai balasan membantu mengeluarkan lelaki itu dari tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam kepada perintah buang daerah di Kemaman. Kesalahan tersebut dilakukan kira-kira pukul 8.05 malam, 23 Oktober 2005 di rumah bernombor 4/3 Blok J, Flat Kampung Fikri, Kemaman ketika dia bertugas sebagai pegawai polis berpangkat DSP di Bahagian Tahanan Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman, Kuala Lumpur. Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama. Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun serta boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee meminta mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap Nordin kerana kes itu melibatkan kepentingan awam apatah lagi perayu merupakan seorang penjawat awam. Menurut beliau, hukuman yang dijatuhkan sebelum ini terlalu minimum berbanding hukuman penjara maksimum 20 tahun mengikut pertuduhan yang dihadapi oleh perayu. Peguam Maanor Yusoff yang mewakili Nordin pula memohon hukuman yang lebih ringan ke atas anak guamnya dengan alasan perayu telah menerima hukuman yang setimpal. Selain itu, kata peguam tersebut, Nordin bukan sahaja menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung, malahan telah disisih oleh ahli keluarganya serta hilang punca pendapatan. | ||
Bapa mertua Raisuddin ada calon lain Posted: Bapa mertua Raisuddin ada calon lain
SHAH ALAM 21 Dis. - Bapa mertua Raisuddin Hamzah memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini bahawa beliau tidak merestui perkahwinan penyanyi dan pelakon itu dengan anaknya berikutan perbezaan umur yang amat ketara antara pasangan tersebut. Suberi Abdullah, 50, berkata, beliau juga mempunyai dua pilihan yang lebih sesuai termasuk anak lelaki Raisuddin sendiri iaitu Hamzah sebagai calon suami untuk Siti Fatimah. ''Saya tidak setuju dengan perkahwinan itu sebab perbezaan umur 31 tahun. Anak saya baru berusia 19 tahun (ketika bernikah) dan masih anak dara sedangkan Raisuddin berusia 50 tahun serta sudah ada isteri. ''Saya juga ada dua calon suami untuk Siti Fatimah iaitu anak Raisuddin sendiri dan anak seorang doktor yang dipanggil along,'' katanya semasa disoal oleh peguam syarie Roshdan Sujak Rafie. Suberi memberi keterangan bagi permohonan untuk membubarkan perkahwinan Raisuddin dan Siti Fatimah secara faraq. Menurut Suberi, kedua-dua defendan bukan sahaja tidak pernah meminta izin malah langsung tidak memaklumkan hasrat mereka untuk bernikah di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007. Beliau yang masih sihat serta tidak pernah hilang kelayakan sebagai wali hanya mengetahui tentang pernikahan itu selepas Raisuddin dan Siti Fatimah kembali dari sempadan Thailand itu. ''Saya tidak pernah mewakilkan wali kepada sesiapa untuk menikahkan Siti Fatimah. Saya juga tidak pernah dihubungi melalui telefon bimbit atau telefon rumah untuk dimaklumkan tentang pernikahan itu. ''Saya langsung tidak tahu mereka ke Songkhla. Siti Fatimah sedang menuntut di Unisel (Universiti Industri Selangor) dan dia sepatutnya balik ke rumah pada masa itu,'' jelas beliau. Pernikahan Raisuddin, 53, yang juga penyanyi era 80-an dengan Siti Fatimah, 22, di Songkhla pada 2 Januari 2007 menimbulkan kontroversi apabila Suberi memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu secara faraq. Beliau membuat permohonan tersebut dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu. Sementara Raisuddin dan Siti Fatimah pula memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahan mereka yang kini didengar di Mahkamah Tinggi Syariah yang sama. Pasangan yang telah diperintah tinggal berasingan sehingga perkahwinan mereka disah dan didaftarkan itu diwakili peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif. Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Zainur Rasyid Hassin bersambung pada 23 Februari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan