Utusan Online - Jenayah |
Posted: Mangsa dakwa bas dipandu lajuIPOH 21 Dis. - "Bas dipandu laju". Itulah satu-satunya gambaran yang dapat difahami menerusi bahasa isyarat oleh seorang penumpang yang terselamat dalam tragedi bas persiaran mengorbankan 27 nyawa di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands semalam. Chirarot Bunthichinwiwatn, 43, ketika ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini cuba menceritakan detik-detik cemas itu namun tidak dapat difahami kerana dia hanya boleh bertutur dalam bahasa Thai. Chirarot mengalami kecederaan pada badan dan kedua-dua tapak kakinya akibat kejadian tersebut. Bapa kepada Areena Songserm, 19, iaitu Nasir Ismail, 51, berkata, dia mengetahui bahawa anaknya terselamat dan dirawat di HRPB selepas mendapat panggilan telefon pada pukul 3 petang semalam. Nasir yang merupakan seorang pengusaha restoran berkata, ketika kejadian, anaknya yang juga penuntut tahun ketiga jurusan Undang-Undang Walailak University di Sala, Thailand sedang bercuti. Menceritakan tentang pengalaman anaknya dalam nahas tersebut, dia berkata, anaknya memberitahu, dia ternampak asap di bahagian tepi bas ketika menuruni bukit. "Anak saya kemudian menceritakan, dia sedar bas itu melanggar pembahagi jalan sebelum melambung dan masuk ke longkang. "Anak saya terpaksa merangkak keluar daripada bas yang musnah dengan luka di kaki dan kepala," katanya. Sementara itu, seorang lagi mangsa, Thanvarat Poolsaeng, 36, tidak mampu bertutur lama dan sebutannya juga tidak jelas kerana kepalanya masih terasa sakit. Namun, dia sempat bercerita kepada Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong yang mewakili minoriti Siam di negara ini bahawa dia kehilangan suami, Poonporn Poolsaeng, 41, dan anak perempuannya, Natkritta Poolsaeng, 6, dalam tragedi itu. Somchai Polanan, 62, pula tidak mampu bertutur kerana kepalanya masih berbalut dan menggunakan alat bantuan pernafasan. Seorang lagi penumpang, Rungnapa Klungsuwan juga sukar ditemu bual kerana hanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Thai. Rungnapa yang mengalami kecederaan pada bahagian mukanya dilihat termenung dan masih trauma dengan kejadian menyayat hati itu. Achara Wiwat, 36, pula dilihat terbaring sahaja dengan kecederaan pada kedua-dua belah matanya. | ||
Posted: 'Tumpahan minyak bukan punca'
IPOH 21 Dis. - Polis menolak dakwaan bahawa tumpahan minyak hitam menjadi punca nahas ngeri bas persiaran yang meragut 27 nyawa di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam. Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof sebaliknya berkata, beliau percaya nahas tersebut berpunca daripada sama ada kecuaian pemandu atau kerosakan mekanikal. Namun, katanya, terpulang kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Puspakom Sdn. Bhd. untuk menentukan hasil siasatan mereka. "Polis dan bomba sampai awal lebih kurang 10 minit selepas menerima panggilan telefon daripada orang ramai. "Tempat tersebut adalah kering dan minyak itu hanya muncul selepas kita mengangkat bas tersebut. Tiada sebarang tumpahan minyak yang berlaku semalam," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias. Nahas terburuk dalam sejarah kemalangan membabitkan bas ekspres negara itu mengakibatkan 27 maut dan 10 lagi cedera parah berlaku di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam. Kemalangan yang meragut nyawa 15 wanita dan 12 lelaki yang rata-ratanya pelancong warga Thailand itu turut mengorbankan dua rakyat tempatan. Menurut Zakaria, pengecaman mayat akan dibuat oleh waris-waris mangsa dari Thailand yang dijangka tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tengah hari esok. "Apa yang saya tahu, pihak Tentera Udara Thailand dengan kerjasama Pejabat Kedutaan negara itu akan terbang ke Subang dan dijangka tiba di Ipoh melalui jalan darat. "Pengurusan mangsa-mangsa ini sama ada melalui jalan darat mahupun udara masih belum ditentukan lagi," katanya. Sementara itu, ketika ditanya sama ada pemandu bas terbabit memiliki rekod saman, beliau berkata, perkara itu masih belum dipastikan. Selain itu, katanya, sehingga sekarang, pihak polis masih belum berjumpa dengan pihak pengurusan agensi pelancongan yang terbabit. "Kita sudah mengarahkan mereka tampil untuk berjumpa dengan Ketua Polis Daerah Ipoh bagi memastikan sama ada pihak San Express Holiday atau SK Murni Travel and Tours yang terlibat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan