Berita Harian: Wilayah |
Posted: 21 Dec 2010 06:03 PM PST Wilayah PENJUAL telefon bimbit (tengah) mendekati pelanggan di pinggir jalan pekan Rawang. RAWANG: Pengguna yang tidak berhati-hati mungkin mudah tertipu dengan tindakan beberapa lelaki yang menjual telefon bimbit berjenama berharga murah yang berkeliaran di sekitar bandar ini. Dengan menjadikan pelanggan beberapa pasar raya di sini sebagai mangsa mereka, lelaki terbabit akan terus memujuk rayu bagi memastikan telefon bimbit yang tidak diketahui dari mana asalnya itu dapat dijual. Seorang pekerja swasta, Mohd Shafik Hambali, 25, berkata beliau hampir menjadi mangsa lelaki terbabit apabila cuba didekati mereka, baru-baru ini.Beliau berkata, lelaki terbabit menawarkan satu unit telefon bimbit jenama terkemuka yang dikatakan masih baru dan mempunyai pelbagai aksesori dengan harga RM150. "Penjual itu enggan memberitahu dari mana mereka memperoleh bekalan telefon bimbit terbabit, tetapi hanya menyatakan peralatan itu tahan lama dan ramai sudah membelinya," katanya kepada Sentral. Katanya, beliau menolak tawaran lelaki terbabit yang turut menurunkan harga daripada RM150 kepada RM100 bagi satu unit telefon bimbit kerana tidak mahu menjadi mangsa penipuan. "Telefon bimbit yang dibeli rakan saya itu hanya boleh digunakan selama dua hari, sebelum rosak. Telefon bimbit terbabit juga tidak boleh dibaiki ketika dihantar ke kedai," katanya. Muzaffar Ishak, 32, berkata, kegiatan kumpulan lelaki terbabit dikesan sejak dua minggu lalu dan mungkin ramai pengguna sudah menjadi mangsa. "Harga yang ditawarkan mungkin mencairkan hati kita dan kalau tidak berfikir panjang pasti akan membelinya," katanya. Suri rumah, Sharifah Hayati Munir, 45, berkata orang ramai juga rimas dan kurang selesa kerana sering diganggu kumpulan lelaki terbabit ketika hendak membeli-belah di pasar raya di bandar ini. "Saya bimbang ramai pengguna yang tertipu dan akan berputih mata selepas membeli telefon bimbit murah itu yang tidak berdaftar di mana-mana syarikat telekomunikasi sah. "Keselamatan pengguna pasar raya juga terancam apabila sering didatangi kumpulan lelaki terbabit," katanya. |
Posted: 21 Dec 2010 05:27 PM PST Wilayah Sidek (kiri) bersama penduduk kampung menunjukkan siling masjid yang terkopak dan uzur di kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling. JERANTUT: Penduduk Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling memohon kerajaan negeri membina sebuah masjid baru menggantikan masjid kayu berusia 60 tahun yang usang serta tidak mencerminkan rumah ibadat mempunyai persekitaran ceria. Selain itu, masjid berkenaan dikelilingi semak, manakala sistem perparitan dan kumbahan dari bangunan berdekatan tidak diselenggarakan dengan betul sehingga wujud persekitaran kotor dan berbau busuk. Tinjauan Berita Harian mendapati berlaku kebocoran di ruang jemaah sehingga sukar untuk mereka mendirikan solat ketika musim tengkujuh apabila air hujan menitis menerusi atap dan siling yang bocor.Selain itu, masjid itu yang terletak di pesisir Sungai Tembeling kini mengalami banyak kerosakan terutama pada dinding, lantai dimakan anai-anai, tiang reput serta atap dan siling bocor dan dikhuatiri tidak mampu menampung kira-kira 700 jemaah. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Sat, Sidek Mahusin, 58, berkata kerajaan negeri sepatutnya menyediakan peruntukan membina masjid baru kerana penduduk sudah mewakafkan tanah seluas dua hektar. "JKKK Kuala Sat dan Jawatankuasa masjid ini pernah beberapa kali membuat permohonan supaya kerajaan negeri membina masjid baru, tetapi hingga ke hari ini hasrat kami tidak kesampaian. Beliau berkata, penduduk kecewa apabila permohonan tidak diendahkan sedangkan di kampung berdekatan sudah mendapat masjid baru pada tahun lalu sedangkan jumlah penduduknya kecil. Sidek yang akan bersara sebagai ketua kampung akhir bulan ini berkata pihak berwajib pernah berjanji untuk membantu membina masjid baru, tetapi sehingga hari ini sebatang tiang pun belum kelihatan dan mencetuskan tanda tanya kepada penduduk tempatan. Pengerusi masjid berkenaan, Shaharuddin Mat Taha, 42, berkata, struktur masjid lama itu sudah terlalu uzur dan tidak selamat digunakan kerana ia boleh roboh pada bila-bila masa. "Awal bulan ini, sebahagian ruang masjid roboh selepas jemaah menunaikan solat akibat tiang dan rasuknya reput dimakan anai-anai," katanya. Penduduk, Siti Aminah Abdullah Hashim, 51, berkata, penduduk mengharapkan sebuah masjid baru yang selesa untuk melaksanakan solat dan program dakwah. Katanya, keadaan persekitaran dalam dan luar masjid yang tidak ceria juga mengundang ketidakselesaan pelawat dan musafir yang kerap singgah di kampung berkenaan. Seorang warga emas, Mahasan Awang Besar, 90, berkata, masjid itu kerap dibaiki hasil sumbangan kewangan dan kudrat penduduk sejak sebelum merdeka. "Sehubungan itu, saya harap kerajaan negeri membina masjid baru di tanah wakaf yang kami sediakan supaya jemaah lebih selesa beribadat kepada Allah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan