Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Keajaiban alam cakerawalaOleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM KERDIPAN bintang-bintang di alam cakerawala bagaikan menjadi teman setia kepekatan hitam gelap langit malam. Gugusan bintang di langit yang membentuk pola dan corak tertentu menghiasi kegelapan malam seolah-olah ingin menyampaikan rahsia alam cakerawala untuk diteroka oleh penghuni bumi. Keunikan alam cakerawala dipenuhi pelbagai misteri boleh dianggap sebagai khazanah dunia yang tiada tolok bandingnya. Namun, tidak ramai menyedarinya kerana mereka jarang sekali mendongak ke ruang angkasa untuk melihat keajaibannya. Bagaimanapun, terdapat sekelompok individu yang sentiasa memburu bintang alam cakerawala untuk merakam imej pegun dan video khazanah itu. Ia dilakukan bukan kerana minat mendalam terhadap seni fotografi astro semata-mata tetapi kerana ingin berkongsi pengalaman. Pada masa yang sama mahu memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keindahan alam cakerawala. Bahkan, hobi seni fotografi astro yang masih hijau dan asing di negara ini mempunyai komuniti tersendiri dalam menghasilkan karya-karya imej pegun untuk tatapan umum. Fotografi astro merupakan seni fotografi yang merakam imej objek astronomi dan langit malam. Lazimnya, hobi tersebut diminati oleh penggemar astronomi tetapi ia mula mendapat sambutan daripada penggemar fotografi. Seorang penggiat seni fotografi astro, Chin Wei Loon, 29, berkata, kebanyakan orang tidak perasan apa yang ada di langit. "Kalau diperhatikan dengan teliti pola bintang-bintang ataupun buruj di langit kelihatan begitu cantik dan mempesonakan. Ia tidak bertaburan di langit secara rawak tetapi mempunyai gubahan tersendiri. LANDSKAP fotografi astro merupakan salah satu cabang seni. "Bintang-bintang bukan sekadar kerdipan di langit tetapi mempunyai cerita tersendiri seperti buruj Pari, buruj Belantik, buruj Biduk, buruj Skorpio dan banyak lagi," katanya ketika ditemui di Planetarium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau yang berpengalaman hampir 13 tahun dalam bidang astronomi menambah, seni fotografi astro sering di salah erti bahawa ia merupakan hobi yang menuntut perbelanjaan besar. Katanya, penggemar fotografi dan astronomi yang mempunyai kamera kompak digital ataupun kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) bersama tripod sudah memadai untuk merakam imej pegun fotografi astro yang menarik. "Selain daripada itu, mereka juga perlu memahami dan memahirkan diri membaca peta langit untuk mengetahui subjek yang bakal dirakam dapat memberi makna kepada orang ramai. "Dalam seni fotografi astro terdapat beberapa cabang seperti fotografi landskap astro, fotografi objek deep sky, gerakan planet, matahari dan banyak lagi," ujarnya. Sambil berseloroh, dia mengajukan soalan, pernahkah melihat cincin terbesar di dunia? Tanpa berlengah dia menjawab kalau kita memerhatikan fenomena gerhana matahari ia seolah-olah seperti cincin besar di angkasa malah sungguh menakjubkan sehingga penggemar seni fotografi astro tidak mahu ketinggalan merakam imej berkenaan. Ekspedisi gerhana Dalam pada itu, pemilik laman web www.falak-online.net, Shahrin Ahmad, 36, yang meminati dunia astronomi sejak tahun 1984 memberitahu, dia sering menyertai ekspedisi menjejaki gerhana untuk merakam imej mengagumkan untuk dijadikan kenangan. Pengarah Urusan syarikat Equatorial Sky Innovations itu pernah mengikuti ekspedisi gerhana di dalam dan luar negara termasuk Turki, Indonesia dan China untuk memburu dan merasai gerhana.
"Pertama kali saya menyaksikan keindahan gerhana adalah ketika mengikuti ekspedisi gerhana di Turki pada tahun 2006. Ia sungguh menakjubkan sehingga membuatkan hati tertarik untuk menceburi hobi fotografi astro. "Pada waktu itu, saya hanya melakukan cerapan sahaja tetapi terfikir pengalaman tersebut perlu dikongsi bersama orang ramai melalui imej pegun," katanya. Shahrin menambah, dia boleh menceritakan pengalaman melihat keajaiban tersebut tetapi merasakan ia lebih memberi impak apabila orang ramai dapat melihat sendiri kejadian tersebut. Sejak itu, dia sentiasa berkongsi pengalaman bersama orang ramai melalui laman webnya dan jatuh cinta kepada hobi fotografi astro. Bagi Mohd. Aziz Mahmood, 59, yang menceburi hobi fotografi astro sejak dua tahun lalu berkata, penggemar fotografi astro perlu memiliki kesabaran yang tinggi untuk menghasilkan imej pegun menarik. "Kita perlu sentiasa bersabar untuk mendapat hasil yang cantik. Sebagai contoh, kalau hendak merakamkan meteor kita perlu sentiasa peka dan menanti dengan sabar untuk detik itu. "Adakalanya kita bertuah kerana berpeluang merakam imej tersebut dan kadangkala kita pulang dengan tangan kosong tetapi tidak boleh berputus asa," katanya. Cabaran yang perlu dilalui oleh penggemar hobi itu kata Mohd. Aziz, mereka perlu memastikan langit sentiasa gelap dan bebas daripada pencemaran cahaya. "Kriteria ini amat penting kerana pencemaran cahaya akan menyukarkan kita melihat keindahan yang ditawarkan alam cakerawala. "Selain daripada itu, cuaca juga memainkan peranan kerana apabila keadaan langit berawan ia menyukarkan proses merakam imej pegun," ujar bekas jurutera itu. Mereka yang ingin merakam imej di kawasan pedalaman juga perlu sentiasa bersedia berdepan dengan serangga dan haiwan liar. Kata lelaki peramah itu, semasa berada di kawasan pedalaman yang gelap gelita, penggemar fotografi astro perlu memastikan tiada cahaya. Mereka juga hanya menggunakan lampu suluh berwarna merah untuk memastikan penglihatan tidak terjejas ketika mendongak ke atas langit. "Kita juga perlu mempunyai kemahiran dalam mengendalikan kamera ketika keadaan gelap gelita," katanya yang meminati merakam imej burung sebelum berkecimpung dalam hobi terbaru itu. Seorang lagi penggemar hobi berkenaan, Mohammad Redzuan Tahar, 27, memberitahu, perkembangan teknologi banyak membantunya dalam bidang seni fotografi astro ini.
Kamera digital "Kalau dahulu kita terpaksa membaca peta langit menggunakan kertas tetapi sekarang terdapat pelbagai perisian peta langit yang digunakan oleh penggemar hobi ini. "Kita juga sudah boleh memuat turun perisian seperti Sideralis untuk digunakan bersama telefon pintar yang semakin canggih," katanya yang bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (Angkasa). Mohammad Redzuan menambah, perkembangan teknologi kamera digital juga memainkan peranan dalam seni fotografi astro ini. "Pada waktu dahulu, mereka yang terlibat dalam fotografi astro terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk merakam imej menggunakan kamera analog. "Kadangkala hanya enam keping gambar sahaja yang dapat dirakam dan belum tentu ia menjadi seperti diingini," katanya. Sementara itu Penolong Pegawai Penerangan, Planetarium Negara, Asmidar Zainol, berkata, sejak 1 Disember lalu penggemar fotografi dan astronomi boleh menyaksikan pameran Fotografi Landskap Astro - The World At Night (TWAN). "Pameran ini menghimpunkan pelbagai karya menarik rakaman imej fotografi landskap astro daripada komuniti astronomi dalam dan luar negara untuk dijadikan tatapan umum. "Kita berharap dengan pameran ini, orang ramai akan lebih berminat dan menghargai alam cakerawala yang merupakan khazanah dunia," ujarnya. Planetarium Negara juga dalam perancangan untuk menganjurkan bengkel fotografi landskap astro bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai hobi berkenaan. | ||||
Posted: Diet baru rakyat IndonesiaTIDAK ramai penduduk Indonesia yang bersedia menukar nasi dengan ubi kentang atau jagung. INDONESIA sememangnya dikenali sebagai antara pembekal dan pengguna beras tertinggi di dunia. Namun, ekoran kesedaran mengenai kesihatan awam dan pelestarian makanan kerajaannya melancarkan kempen untuk mendidik rakyatnya supaya mengetepikan makanan ruji kegemaran mereka itu. Bagi rakyat Indonesia biasa seperti Andi Santoso, 23, yang juga seorang pelajar, hidup tanpa nasi sebagaimana yang disarankan kerajaan seperti tidak masuk akal. "Saya makan nasi untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Sekiranya saya tidak makan nasi saya rasa seperti tidak makan sepanjang hari. Apa lagi yang saya boleh makan?" soalnya. Setiausaha Agung Kementerian Kebajikan, Indroyono Soesilo berkata, jawapannya mudah, walaupun ia kedengaran gila kepada negara yang menghasilkan lebih 40 juta tan beras setahun dan menggunakan sekitar 33 juta tan. Beliau menyarankan rakyat negara berkenaan untuk beralih kepada sumber nutrisi alternatif dan menggesa perokok berhenti merokok. "Kami menggesa rakyat Indonesia untuk menghentikan tabiat memakan nasi. Kita perlu mempelbagaikan diet kita kerana ramai rakyat Indonesia masih berfikir sekiranya mereka tidak makan nasi, mereka tidak makan dengan betul. "Indonesia menghasilkan 66 sumber karbohidrat lain seperti jagung, sagu, ubi kayu, ubi kentang, ubi kentang manis dan sebagainya. Semua sumber makanan ini dapat menggantikan nasi untuk dua ke tiga hidangan sehari. "Kami menggesa rakyat Indonesia untuk mempelbagaikan tabiat makanan mereka bermula sejak kecil," tambah beliau. Beras penyambung kehidupan Dengan 240 juta mulut yang perlu disuap, Indonesia mempunyai populasi penduduk keempat tertinggi dunia selepas China, India dan Amerika Syarikat (AS). Purata penggunaan beras seorang rakyat Indonesia melebihi 100 kilogram setahun melebihi penggunaan rakyat Jepun dan China. Teknik pertanian yang dipertingkatkan dan pengaruh keselamatan makanan pasca-kolonial menjadikan negara berkenaan sebagai pengimport beras terbesar dunia pada tahun 1960-an sebelum bertukar kepada negara jelapang padi. Tetapi dahulu, beras begitu banyak dan murah. Hari ini kerajaan mulai bimbang negara tersebut menjadi terlalu bergantung dengan hanya satu sumber tanaman. Bijian yang berpunca dari sawah-sawah padi merentasi Indonesia itu mudah terjejas akibat perubahan pola cuaca global, sebagaimana hujan tidak bermusim tahun ini yang menurunkan suhu permukaan laut Pasifik, dikenali sebagai fenomena La Nina. Kebimbangan lain termasuk peningkatan populasi dan kekurangan tanah yang sesuai untuk pertanian ekoran pembangunan dan peningkatan paras laut akibat pemanasan global, yang mana ditakuti kerajaan bakal menjejaskan penghasilan beras. Bagaimanapun, bagi jutaan rakyat miskin Indonesia, beras bukan sahaja makanan ruji mereka, tetapi rezeki yang menyambung kehidupan mereka serta layak dipuja sebagai hadiah kepada para dewa. BERAS menjadi makanan ruji hampir kebanyakan penduduk Indonesia yang mengambilnya tiga kali sehari. "Beras adalah kehidupan. Ia memberi pekerjaan dan makanan," kata Djati Kusuma, Ketua Kampung Cigugur di tengah Kepulauan Jawa yang percaya perayaan tahunan Seren Taun diadakan bagi meraikan dewa beras iaitu Dewi Sri. Penduduk kampung akan berkumpul selama tiga hari untuk memohon perlindungan daripada bencana alam dan memohon hasil tuaian yang melimpah ruah, katanya. Tiada sesiapa pun di Cigugur pernah berfikir untuk menanam tanaman lain di ladang sawah yang subur hijau dalam kawasan gunung berapi di kampung berkenaan. Penduduk di perkampungan yang melakukan aktiviti bersawah di Jawa memandang tinggi bijian beras berkenaan yang menduduki tangga yang paling tinggi dalam hierarki pertanian berbanding asal usul ubi kayu yang dikaitkan dengan kemiskinan. Industri pertanian pula melihat potensi tanaman lain seperti ubi kayu dan sagu sebagai pilihan kedua sebagai makanan serta bio bahan api. Laporan Institut Kajian Beras Antarabangsa (IRRI) dan Persatuan Asia berpangkalan di Amerika Syarikat September lalu berkata, negara Asia perlu meningkatkan pengurusan stok beras mereka bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan di rantau berkenaan kerana 65 peratus penduduk miskin dunia berada di Asia. Kawasan penghasilan beras Asia menempatkan hampir 560 juta penduduk miskin tegar yang hidup bergantung kepada pendapatan kurang AS$1.25 (RM3.93) sehari. Kira-kira 90 peratus beras ditanam di rantau berkenaan di lebih 200 juta ladang. Nasi merupakan makanan ruji kepada lebih tiga bilion manusia, kira-kira separuh daripada populasi dunia. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan