The Malaysian Insider :: Bahasa |
Konstabel polis bebas tuduhan cabul inspektor wanita Posted: 22 Dec 2010 01:03 AM PST PETALING JAYA, 22 Dis – Seorang konstabel polis dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada pertuduhan mencabul kehormatan seorang inspektor wanita yang merupakan rakan setugasnya, tahun lepas. Majistret Aishah Hijriah Arshad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yusri Yusof di akhir kes pendakwaan. Yusri, 35, dituduh menggunakan kekerasan jenayah ke atas inspektor wanita berumur 24 tahun itu dengan niat mencabul kehormatannya di pejabatnya di sini pada 5.35 petang, 26 Mei 2009. Yusri, yang sebelum ini digantung tugasnya, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan. Aishah ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah mendapati keterangan mangsa tidak konsisten dengan laporan yang diberikan. "Terdapat percanggahan keterangan yang diberikan oleh mangsa dalam kes ini kerana berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa menyatakan bahawa dia dipeluk dari arah belakang dan cuba dicium di pipi kanan serta peha kanannya diusap sebanyak dua hingga tiga kali oleh tertuduh. "Sebaliknya, ketika pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan, mangsa tidak dapat mengesahkan sama ada dia dipeluk ataupun tertuduh hanya memegang bahunya," katanya. Aishah berkata, mangsa juga dilihat teragak-agak untuk menjawab dan tidak yakin untuk memberi jawapan ketika pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan dan pembelaan. Selain itu, keterangan mangsa tanpa keterangan sokongan tidak dapat membuktikan tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah ke atasnya. "Tindakan mangsa yang tidak memaklumkan kejadian yang berlaku ke atas dirinya dengan serta-merta dilihat tidak munasabah kerana sebagai pegawai polis, mangsa mempunyai pengetahuan bahawa apa yang terjadi kepada dirinya adalah salah di sisi undang-undang dan mangsa sememangnya ada banyak peluang untuk bercerita masalah yang dihadapi dengan rakan sebiliknya," katanya. Sepanjang perbicaraan, empat saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Choong Kak Sen manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Laden. – Bernama |
Isu Syiah: Tiada masalah jika umat Islam faham mazhab pelbagai Posted: 21 Dec 2010 11:41 PM PST KUALA LUMPUR, 22 Dis — Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, tidak akan timbul sebarang masalah dalam masyarakat sekiranya umat Islam memahami perbezaan pandangan dalam pelbagai mazhab. Kata beliau, Ikim akan memberi tumpuan untuk mengadakan penjelasan terhadap pengikut Ahli Sunah Waljamaah terlebih dahulu sebelum melebarkannya kepada anggota mazhab Syiah. "Kerana tiada kefahaman, bukan sahaja Syiah sahaja kita boleh berbalah malah di kalangan mazhab Ahli Sunah Waljamaah pun boleh berbalah," kata beliau dipetik Bernama hari ini. Pada 14 Disember lepas, seramai 200 pengikut kumpulan itu termasuk dua ketua kumpulan ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves setelah dikatakan berbahaya kerana menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh. Dua ketua kumpulan itu termasuk seorang warga Iran dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, pada 16 Disember dan dibebaskan dengan jaminan. Dalam pada itu, Nik Mustapha berkata Ikim bercadang untuk memperluaskan siaran Radio IKIMfm pada tahun depan dengan menambah 10 lagi pemancar di seluruh negara. Kata beliau, dengan penambahan jumlah pemancar itu, radio IKIMfm dijangka dapat diakses kira-kira tiga juta penduduk khususnya di kawasan pedalaman. "Radio IKIMfm kini hanya tertumpu pada kawasan bandar sahaja iaitu sebanyak 13 bandar walhal menurut kajian kami, masih ada tiga juta orang penduduk yang berada di pedalaman," katanya pada majlis pelancaran buku terbitan Ikim dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Ikim 2009 hari ini. Menurut kajian AC Nielson, radio IKIMfm kini sudah mencapai sebanyak kira-kira satu juta pendengar termasuk pendengar di Singapura, Batam, Indonesia dan Pattani, Selatan Thailand, katanya. Selain itu, Nik Mustapha berkata radio streaming IKIMfm juga berjaya menembusi 70 buah negara dan diikuti sebanyak 2,000 pendengar pada sesuatu masa. "Kita tidak boleh nak buat perbandingan kerana produk yang kami ada, berbeza. Produk kami lebih kepada ilmiah dan peningkatan jumlah pendengar yang dicapai adalah besar," katanya. Radio IKIMfm beroperasi sejak 2001 dan 75 peratus daripada kandungan siarannya adalah berbentuk ilmiah. Terdahulu, Pengerusi Ikim Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya meminta supaya warga kerja Ikim meningkatkan kualiti kerja serta meperluaskan siaran rencana yang relevan dengan isu semasa. Pada majlis itu, Abdullah menyampaikan anugerah kepada para petugas cemerlang mereka serta melancarkan dua buah buku terbitan Ikim bertajuk "Pengurusan Kewangan Dan Pemilikan Harta Dalam Kalangan Wanita Islam: Satu Tinjauan" dan "Multi-Cultural Understanding of Filial Piety".
|
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan