Kosmo Online |
2 lelaki yang hilang di gunung ditemui Posted: 2 lelaki yang hilang di gunung ditemui23/12/2010 9:44pm KAJANG – Dua lelaki berumur 22 tahun yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Nuang di Hulu Langat dekat sini tengah hari semalam ditemui semula kira-kira pukul 7.35 pagi ini. Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, kedua-dua mereka mendaki bersama tiga lagi rakan, kesemuanya dari Bangi, termasuk seorang daripadanya berumur 15 tahun. Beliau berkata, kira-kira pukul 7 petang seorang daripada mereka menghantar maklumat menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada ayahnya memaklumkan bahawa mereka sesat. "Ayahnya terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam dan kemudiannya 42 anggota kami terus melancarkan operasi mencari mulai pukul 11 malam," katanya kepada kepada pemberita di sini. Shahrul berkata, kira-kira pukul 2 pagi, kumpulan itu berpecah dengan tiga daripada mereka membuat keputusan berusaha mencari jalan keluar, dan mereka menemui jalan keluar pada pukul 5 pagi. Dua lagi tidak dapat mencari jalan keluar sehingga ditemui pagi tadi oleh pasukan penyelamat di satu lokasi pada ketinggian 1,948 meter. – Bernama |
Maut sekembali dari ambil keputusan PMR Posted: Maut sekembali dari ambil keputusan PMR23/12/2010 8:07pm KOTA BHARU – Kegembiraan Siti Aishah Zakaria bertukar tragedi sekelip mata apabila beliau dan ibunya maut ketika pulang mengambil keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) setelah terlibat dalam kemalangan Jalan Kuala Krai-Kota Baharu, di Pekan Kok Lanas, hari ini. Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Siti Aishah, 15, dan ibunya, Azizah Musa, 42, menaiki motosikal dan berhenti di lampu isyarat, telah dilanggar dengan sebuah lori muatan batu pasir dari simpang kanan, yang gagal keluar simpang jalan lalu terbabas serta melanggar lampu isyarat dan mangsa. Jurucakap Polis Daerah Kota Baharu berkata, akibat hilang kawalan itu juga, lori berkenaan turut terlanggar tiga buah kenderaan lain, yang berhenti di lampu isyarat dan berada di belakang motosikal mangsa, sebelum lori itu terbalik. "Dalam pelanggaran itu, Siti Aishah telah diseret oleh lori berkenaan dan tersepit di bawah lori itu apabila ia terbalik, manakala Azizah tercampak dari motosikalnya. Kedua-dua mereka mati di tempat kejadian akibat kecederaan di seluruh anggota badan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Allahyarham Siti Aishah telah memperoleh keputusan 4A, 4B dan 1C dalam PMR. – Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan