Utusan Online - Utara |
Estet padi mulai September 2011 Posted: Estet padi mulai September 2011ALOR SETAR 22 Dis. - Usaha menjana pendapatan tinggi di kalangan pesawah padi di negeri ini dijadualkan bermula pada September tahun depan apabila Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menggerakkan projek permulaan (EPP) tanaman padi. Agensi itu menyasarkan sawah padi seluas 5,000 hektar setiap tahun untuk dijadikan estet padi dengan matlamat 50,000 hektar pada tahun 2020. Pengerusi MADA, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, hasil purata bersih yang mahu dicapai melalui program estet padi ialah lapan tan sehektar berbanding lima tan pada masa ini. Beliau berkata, MADA mengunjurkan program estet padi itu akan menyumbang lebih RM1 bilion kepada EPP yang dilaksanakan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang telah digariskan oleh kerajaan. "Projek estet padi yang telah disebut-sebut sebelum ini kini akan menjadi kenyataan apabila ia mula dilaksanakan pada musim kedua penanaman padi pada September tahun depan. "Kita berharap ia adalah berita gembira untuk semua pesawah padi di MADA yang berharap pendapatan mereka akan ditingkatkan melalui program NKEA yang dirancang oleh kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah MADA, di sini semalam. Mesyuarat tersebut membincangkan dengan panjang lebar program NKEA pertanian yang akan dilaksanakan oleh MADA. Mahdzir berkata, MADA mempunyai masa kira-kira 10 tahun lagi mulai sekarang untuk mencapai matlamat tersebut. Untuk mencapai sasaran itu, katanya, tindakan yang perlu dilakukan iaitu pembangunan infrastruktur dan penglibatan petani dalam keseluruhan rantaian industri tersebut. Menurutnya, MADA akan menerima peruntukkan sebanyak RM89 juta bagi pembangunan infrastruktur sepanjang tahun depan dan RM77.6 juta lagi pada 2012. Beliau memberitahu, sebuah syarikat khas (SPV) juga akan ditubuhkan bagi mencari pilihan yang terbaik untuk memastikan kepentingan para pesawah tidak terabai melalui projek estet padi. "SPV itu akan terlibat dalam seluruh rantaian sektor padi termasuk dalam aktiviti seperti penyewaan tanah oleh para pesawah," ujarnya. Tambahnya, mekanisme kegiatan SPV itu akan dibincang dengan para pemimpin peladang bermula hari ini dalam usaha mencari modul yang terbaik bagi pelaksanaannya. |
Mayang masuk kampung dua kali sebulan Posted: Mayang masuk kampung dua kali sebulanBALING 22 Dis. - Dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan kualiti pendidikan, Majlis Kebajikan dan Pembangunan Penyayang (Mayang) serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Parlimen Baling melaksanakan program masuk kampung setiap dua kali sebulan. Pengerusi Mayang Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, langkah itu dilakukan bagi mengenal pasti golongan sasar. Menurutnya, Mayang dan JKKKP Parlimen itu akan digerakkan sepenuhnya bagi menjadi tulang belakang kepada kerajaan dalam mengenal pasti golongan sasar untuk diberikan bantuan. ''Kita akan menggerakkan JKKKP dan Mayang secara serius supaya taraf hidup penduduk kampung dan bidang pendidikan anak-anak dapat ditingkatkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan NKRA 1Azam di pekarangan Pejabat Penyelaras Barisan Nasional (BN) Pulai di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Timbalan Pengarah II Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zakaria Taib dan Penolong Pegawai Kanan JKM Baling, Faridah Ahmad. Pada majlis itu, seramai 545 masyarakat yang layak, menerima bantuan berupa makanan dan sebanyak 1,849 pelajar mendapat bantuan pakaian sekolah dan 54 orang mendapat tilam serta bantal. Mengenai program masuk kampung, Abdul Azeez berkata, ia diadakan bagi memastikan pihaknya tidak terlepas pandang golongan sasaran yang memerlukan bantuan tanpa mengira ideologi politik, kaum dan agama. Beliau yang juga Penyelaras Parlimen Baling berkata, pihaknya akan menggerakkan anggota Mayang dan JKKKP bagi membasmi kemiskinan sehingga penurunan kadar paling rendah. Menurutnya, pelbagai bantuan akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan termasuk melatih usahawan wanita bagi meningkatkan taraf hidup dalam bidang ekonomi. "Inilah usaha dan perancangan yang sedang dilakukan bagi mengenal pasti mereka yang berminat diberi peluang untuk menceburkan diri dalam bidang itu kerana kita mempunyai pelbagai agensi kerajaan yang sentiasa menyediakan peluang," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan