Jumaat, 24 Disember 2010

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


22 jam mencari isteri dan anak

Posted:

22 jam mencari isteri dan anak

22 jam mencari isteri dan anak

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR



SEJAK tiba di sebuah hotel bajet, Siam's Place Resort yang terletak di Pantai Kamala, Phuket, Thailand, Norzeela Sulaiman, 36, atau lebih mesra dengan panggilan Nozie tidak pernah terfikir mengenai kekerapannya bertemu seorang wanita tempatan di Phuket.

Kehadirannya bersama suami, Hanifah Yoong, 62, dan anak mereka, Aaliyah yang berusia 17 bulan ketika itu adalah untuk menikmati percutian akhir tahun sempena perayaan Krismas pada tahun 2004.

Sebaik sampai pada 23 Disember, Nozie memilih untuk memanjakan diri dengan menikmati satu sesi urutan. Phuket memang terkenal dengan khidmat tukang urut di tepi pantai.

Daripada puluhan tukang urut yang ada, entah bagaimana dia tergerak hati untuk memilih khidmat seorang wanita yang berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Lin. Dari situlah bermula perkenalan Nozie dengan Lin.

Memandangkan Lin agak kurang fasih bertutur bahasa Inggeris, jadi komunikasi mereka lebih banyak menggunakan isyarat tubuh untuk berbual. Namun, ia bukan penghalang untuk membuahkan kemesraan. Lin juga turut memperkenalkan suaminya berkenalan dengan suami Nozie.

Memori tsunami

Malah, setiap pagi Nozie sering melihat suami Lin yang menaiki motorsikal beroda tiga untuk menghantar ais ke kedai yang terdapat di sepanjang pantai Patong dan Karon bersama rakannya yang cacat.

Bagaimanapun, perkara itu bukanlah sesuatu yang luar biasa hinggalah berlaku tragedi yang tidak diduga pada percutian tersebut.

Tarikh 26 Disember pasti akan terpahat dalam ingatan Nozie buat selama-lamanya apabila tsunami yang mengorbankan kira-kira 230,000 nyawa melanda di 12 buah negara termasuk Malaysia.

Angkara ombak ganas itu, dia dan anaknya terpisah dengan suami yang dan terpaksa bertarung nyawa menyelamatkan diri dengan bantuan Lin.

"Selepas gelombang pertama melanda, suami cakap mahu berpatah semula ke bilik untuk mengambil barang-barang penting. Saya melarang keras, namun dia tidak peduli.

"Suami meninggalkan saya dan Aaliyah di tepi jalan berhampiran kompleks Fantasea seketika. Tiba-tiba Lin datang mengajak saya pergi dari situ kerana keadaan boleh menjadi semakin berbahaya.

"Meskipun hati agak keberatan untuk meninggalkan suami, tetapi saya tiada pilihan," terang Nozie yang kemudian menaiki motorsikal roda tiga bersama Lin, suaminya dan seorang rakan.

Apabila Nozie menoleh ke belakang apa yang dilihat hanyalah air bercampur lumpur yang sudah memenuhi semua kawasan peranginan tersebut. Malah, tembok tinggi yang dipanjat untuk menyelamatkan diri sewaktu gelombang pertama melanda sudah pun roboh menyembah bumi.

Keadaan itu menyebabkan Nozie putus harapan sambil menganggap bahawa suaminya mungkin sudah terkorban. Badannya lemah longlai untuk menerima hakikat tersebut.


TRAGEDI tsunami yang melanda pada 26 Disember 2004 meninggalkan kesan yang begitu mendalam di kalangan mereka yang melaluinya.


Lin yang menyedari kesedihan Nozie hanya mampu mengurut-urut bahu Norzie sambil menunjukkan wajah simpati. Suami Lin pula terus memandu hingga sampai ke kaki pergunungan Naka.

Kemudian, mereka terus meredah semak-samun dan mendaki bukit tersebut hingga sampai di satu kawasan yang dipenuhi ramai orang yang terselamat daripada bencana tersebut. Bagaimanapun, ramai di kalangan mereka kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata.

Sementara itu, Hanifah yang disangka meninggal dunia oleh isterinya berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi korban tsunami selepas melalui satu detik cemas iaitu pemisah antara hidup dan mati.

Sebaik sampai di hotel, Hanifah tidak dapat membuka pintu biliknya kerana bilik tersebut telah dipenuhi air. Tetapi di luar bilik, air yang bertakung hanya separas betis. Dia kemudian bertindak memecahkan cermin tingkap untuk mengurangkan paras air di dalam bilik.

Dengan seluruh kekuatan mengharung kedalaman air yang berbaki separas tingkap itu, Hanifah berjaya membuka pintu bilik bagi melepaskan semua air keluar sebelum menemui beg dan komputer riba di atas almari pakaian.

Selang beberapa minit, Hanifah terdengar jeritan kuat dari luar bilik. Dia kemudian berlari keluar dan tiba-tiba melihat ombak setinggi enam meter merempuhnya sekali gus menggelamkannya.

Dalam situasi sukar itu juga, Hanifah berumur 56 tahun ketika itu tetap berdegil dan enggan melepaskan beg paspot serta komputer riba yang dipegangnya. Beliau terus menggunakan kudrat kakinya untuk timbul.

"Beg yang ada di bahu kanan saya terpelanting apabila mengenai sekaki payung pantai. Di keliling saya penuh dengan sampah sarap, batang pokok, motosikal dan kepingan papan yang dihanyutkan bersama arus.

"Akhirnya saya memutuskan untuk melepas beg komputer riba kerana memerlukan kedua-dua belah tangan untuk menyelamatkan diri," jelas Hanifah yang merasakan saat kematiannya sudah tiba pada masa itu.

Bersama dengan puing-puing runtuhan dan sampah sarap, Hanifah sampai ke tempat dia meninggalkan isteri dan anaknya. Beliau baru tersedar apa yang dilakukannya itu sebagai satu yang bodoh dan sia-sia.

Seribu penyesalan terbit daripada jiwanya kerana terlalu mengikut kata hati. Justeru, meskipun keletihan dan mengalami luka-luka yang teruk, beliau tetap berusaha untuk mencari keluarganya.

Sewaktu Hanifah bertanya petugas di pusat bantuan sementara di Fantasea, sama ada mereka melihat seorang wanita bertubuh kecil memakai kemeja-t warna biru dengan seorang bayi, beliau menerima jawapan yang positif.

Ujar petugas itu, wanita itu mengalami keretakan di kaki dan telah dihantar ke hospital di Patong tetapi bayinya berada di pusat tersebut berhampiran pintu masuk.

"Saya terus bergegas ke sana, malangnya bayi yang dilihat bukan Aaliyah. Lantas saya keluar semula di tengah-tengah keriuhan penduduk tempatan membantu mangsa yang tercedera dan menjerit nama Nozie.

"Bukan sekali dua tetapi ratusan kali nama isteri saya panggil dengan sekuat hati, tetapi tiada sebarang jawapan," imbau Hanifah yang kemudian diberikan rawatan apabila petugas di hospital terbabit menyedari pendarahan teruk yang dialaminya.

Menjelang pukul 11 pagi, Hanifah mengeluarkan kad sim daripada telefon bimbitnya yang sudah tidak berfungsi lagi. Dia cuba mencari seseorang yang boleh membantu meminjamkan telefon mereka.


NOZIE (kiri) bersyukur kerana sepanjang 'kehilangan' suami, Aaliyah langsung tidak meragam terutama ketika mereka bermalam di hutan di pergunungan Naka.


Panggilan telefon isteri

Orang pertama yang ditanya merupakan pekerja di Fantasea yang menjadi sukarelawan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat. Tanpa membuang masa, pekerja itu terus mengeluarkan dan memasukkan kad sim kepunyaan Hanifah.

Panggilan terhadap Alex, anaknya di Kuala Lumpur berjaya dilakukan pada percubaan kedua walaupun ketika itu talian sangat teruk.

"Ayah, is that you? Are you ok?" suara Alex kedengaran cemas di hujung talian.

"Yes, I'm ok. Thank God. Did Nozie called you?" balas Hanifah.

"Yes, she and Aaliyah are saved and it's in the news. She told that she was up in the hills with many others," tutur Alex sekali gus memberi khabar gembira yang tidak terhingga buat Hanifah.

Selepas dirawat di hospital, Hanifah dan pelancong asing yang terlibat dalam bencana itu dihantar menginap di hotel lima bintang, Pacific International di Thalang.

Pada pukul 5 pagi 27 Disember, akhirnya Hanifah dikejutkan dengan panggilan telefon daripada isterinya. Sebaik mendengar suara Hanifah, kedengaran esakan Nozie yang waktu itu berada di pejabat daerah Phuket.

Dua jam kemudian, pasangan itu dan anak mereka bersatu kembali selepas 22 jam terpisah angkara tsunami. Ternyata Nozie dan Aaliyah dijaga dengan baik oleh Lin, seorang sahabat yang baru dikenalinya tiga hari sebelum tragedi itu.

Dalam pada itu, Aaliyah, 7, berkata, dia memang tidak dapat mengingati kejadian malang yang menimpa keluarganya sewaktu bercuti di Phuket.

Tetapi, Aaliyah memberitahu, dia gembira kerana mengikut apa yang diceritakan mamanya, sepanjang semalaman berada di hutan, dia langsung tidak meragam.

Meskipun berdepan dengan risiko kehilangan nyawa dalam bencana tsunami, Hanifah Yoong yang merupakan bapa kepada bekas pelumba Formula Satu negara, Alex Yoong mengakui dia tidak pernah trauma dengan laut.

Malah, peristiwa itu membuatkannya menyedari kepentingan menguasai kemahiran berenang di air terbuka seperti laut dan sungai untuk survival diri dalam apa-apa situasi.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ma'rof Redzuan berkata, trauma merupakan penyakit psikologi yang dikenali sebagai kecelaruan stres pascatraumatik atau dikenali sebagai Postraumatic Stress Disorder (PTSD).

"Dalam bidang psikologi ia tergolong dalam bidang kecelaruan kebimbangan atau keresahan disebabkan peristiwa lampau yang pernah dialami.

"Namun, tidak mustahil ada individu yang langsung tidak berdepan dengan masalah trauma walaupun mereka pernah mengalami satu tragedi yang dahsyat.

"Keadaan ini mungkin bergantung kepada kekuatan dalaman mereka dalam menghadapi peristiwa tersebut," jelas Ma'rof mengulas mengenai kesan trauma yang tidak menjejaskan mangsa.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

ASUS mengiktiraf penggerak sukan

Posted:

ASUS mengiktiraf penggerak sukan

ASUS mengiktiraf penggerak sukan

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my


MOHID (enam dari kanan) bergambar kenangan dengan para pemenang anugerah ASUS yang berlangsung di PICC baru-baru ini.


LELAKI ini tidak pernah terfikir untuk menerima sebarang penghargaan atau membolot sebarang anugerah berkaitan dunia sukan. Penglibatannya sebagai 'orang kuat' yang memajukan sukan bot laju di Malaysia menerusi Formula 1 Powerboat Malaysian Grand Prix sejak tahun 2001 dilakukannya kerana kecintaannya terhadap sukan tersebut.

Namun, jerih payah memajukan sukan itu melalui syarikatnya H2O Sports Sdn. Bhd. menyebabkan Datuk Yahya Abd. Jalil hari ini boleh tersenyum bangga. Tiga hari lalu, dia diangkat sebagai penerima anugerah Tokoh Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) 2010.

"Saya bersyukur dan berasa amat terharu di atas pengiktirafan Kementerian Belia dan Sukan kepada saya sebagai Tokoh ASUS 2010," kata Yahya yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM5,000 dan sijil.

Katanya, pemilihan itu bertitik tolak daripada kepercayaan dan sokongan padu kerajaan terutamanya kementerian, persatuan-persatuan sukan, orang perseorangan dan syarikat swasta yang bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan sukan air bermotor mendapat perhatian daripada masyarakat.

ASUS berlangsung dengan jayanya pada 22 November lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Ia dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamed yang mewakili menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Selain Kategori Tokoh, sebanyak tujuh anugerah lain disediakan pada tahun ini iaitu Kategori Pemimpin Lelaki ASUS, Kategori Pemimpin Wanita ASUS, Kategori Persatuan Sukan ASUS, Kategori Keluarga Aktif ASUS, Kategori Penggerak/Sukarelawan ASUS, Kategori OKU Pemimpin ASUS dan Kategori Kelab Sukan Komuniti (KSK) Cemerlang.

Secara amnya, objektif Anugerah ASUS itu diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada pihak yang telah menyahut seruan kerajaan ke arah menjayakan sukan untuk semua.

Selain itu, bagi mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan penggerak sukan di negara ini dan meningkatkan kesedaran serta penglibatan yang menyeluruh masyarakat.

Antara jenis-jenis sukan yang diberi pengiktirafan ialah kategori sukan kecergasan, sukan paralimpik, sukan rekreasi, sukan seni mempertahankan diri dan sukan tradisional.


PENGGERAK sukan tradisional mendapat pengiktirafan Kementerian Belia dan Sukan dalam ASUS.


Pada tahun ini, sebanyak 140 pencalonan diterima dari seluruh negara melibatkan semua kategori.

Pemenang dipilih oleh panel penilai berdasarkan kepada kriteria penilaian yang telah ditetapkan.

Sementara itu, pemenang bagi kategori Penggerak Sukan dan Sukarelawan berjaya dirangkul oleh Nafeesa Bee Habib Abdul Majid.

Beliau merupakan seorang jurulatih senamrobik yang aktif serta kreatif dalam mengendalikan kelas aerobik. Beliau juga mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang luas dalam bidang kecergasan.

Di samping itu, dia mempunyai ciri-ciri kualiti peribadi yang cemerlang sebagai penggerak sukan untuk semua. Nafeesa berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Bagi kategori OKU Pemimpin pula anugerah itu dimenangi oleh Ir. Shaharuddin Sidek. Beliau yang menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Persatuan Sukan dan Rekreasi OKU (Pesron) Negeri Sembilan itu sememangnya bergiat aktif dan memegang beberapa jawatan penting dalam pelbagai persatuan sukan di samping menjadi presiden, pengurus, jurulatih dan Ketua Pasukan Persatuan Catur Negeri Sembilan.

Beliau yang termasuk dalam kategori cacat penglihatan itu juga menjadi Timbalan Presiden Pengelola Kejohanan Taekwando Terbuka Negeri Sembilan, tidak menyangka dipilih sebagai pemenang.

"Jutaan terima kasih kepada pihak Majlis Sukan Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua insan istimewa OKU. Tanpa kerjasama anda semua saya tidak mampu mencapai ke tahap ini," katanya ketika ditemui.

Bagi kategori Keluarga Aktif pula, ia dimenangi oleh Dr. Abdul Halim Abdul Manaf manakala kategori Pemimpin Wanita berjaya diraih Habibah Ahmad. Maniam Manikkam yang aktif dalam menggerakkan sukan lumba basikal dan kabbadi pula dianugerahkan kategori Pemimpin Lelaki.

Kategori Kelab Sukan Komuniti Cemerlang pula telah diberikan kepada Kelab Sukan Komuniti Bayan Lepas, Pulau Pinang manakala kategori Persatuan pula dimenangi Persatuan Permotoran Melaka sementara Persatuan Muaythai Malaysia pula meraih Anugerah Khas juri.

Apa yang pasti pengiktirafan kerajaan melalui ASUS akan menjadi pemangkin kepada individu serta organisasi untuk menyumbang tenaga, jasa dan khidmat bakti mereka secara lebih gigih untuk memartabatkan sukan untuk semua.

Diharapkan ASUS dapat mempertingkatkan peratus masyarakat aktif melakukan aktiviti fizikal daripada 34 peratus kepada 40 peratus menjelang tahun hadapan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan