Berita Harian: Wilayah |
Posted: 22 Dec 2010 11:54 PM PST Wilayah Jambatan buluh usang membahayakan penduduk Kuala Renggil. LOJING: Bertarung nyawa! Lebih 20 keluarga Orang Asli di Kampung Kuala Renggil, dekat sini, tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa menggadai nyawa setiap kali melalui titian buluh yang dibina sendiri selepas jambatan gantung di kawasan berkenaan runtuh, lima tahun lalu. Tinjauan Berita Harian di kampung berkenaan mendapati, penduduk menyatakan kegusaran masing-masing dengan kekukuhan titian buluh itu terutama ketika hujan lebat dan aliran arus deras sungai di Sungai Hulu Brooke. Penduduk bimbang berlaku kejadian tidak diingini termasuk dihanyutkan arus deras apabila ditakdirkan titian buluh itu runtuh secara tiba-tiba sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jiwa. Penduduk, Riang Ujang, 35, berkata masalah perhubungan bagi penduduk di kampung pedalaman dekat Pos Brooke Lama itu sentiasa menjadi isu yang tidak berkesudahan.Beliau juga bimbang dengan keselamatan ahli keluarga terutama kanak-kanak yang kerap menggunakan titian buluh untuk menyeberang sungai berkenaan terutama pada musim hujan. "Kita terpaksa membina sendiri titian buluh itu bagi mengelakkan masalah terputus hubungan ke kawasan seberang berikutan jambatan gantung yang pernah dibina Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) runtuh selepas dihanyutkan arus deras lima tahun lalu. "Kami sudah tak sanggup mengharungi sungai setiap hari, sebab itu kami mengadakan gotong-royong membina jambatan buluh bagi kemudahan penduduk berulang alik dari kampung itu ke Pos Brooke setiap hari," katanya.
"Kebanyakan kampung terbabit masih menggunakan jalan yang digunakan lori balak, penduduk tidak mempunyai pilihan lain memandangkan mereka tidak mempunyai jalan perhubungan yang selesa," katanya. Berikutan itu, beliau berharap kerajaan segera mengambil perhatian serius untuk meningkatkan taraf hidup penduduk Orang Asli terutama di luar bandar dengan menyediakan jalan perhubungan yang selesa. |
Posted: 22 Dec 2010 11:53 PM PST Wilayah Pengguna pertikai DBKL abai Jalan Cerdas, Taman ConnaughtBANDAR TUN RAZAK: Cakap tidak serupa bikin. Pengguna yang sering menggunakan Jalan Cerdas, Taman Connaught di sini mempersoalkan kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunaikan janjinya apabila membiarkan jalan terbabit rosak hampir sebulan tanpa mengambil tindakan membaikinya. Jaminan aduan akan diselesaikan dalam tiga hari selepas penubuhan pasukan khas pada 1 April lalu yang dikenali sebagai 'flying squad DBKL' dari Jabatan Kerja Awam (JKA) DBKL, hanya 'manis kata di bibir' kerana kerosakan jalan terbabit semakin teruk. Kerosakan jalan sepanjang 300 meter di hadapan stesen minyak yang menghubungkan deretan bangunan komersial dan sebuah pusat beli-belah itu, berpunca daripada sikap kontraktor yang menampal jalan secara sambil lewa. Tinjauan Sentral mendapati jalan berkenaan berlubang dan sebahagian lagi ditampal tidak rata menyebabkan pengguna yang menggunakan jalan itu terpaksa memperlahankan kenderaan sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas.Seorang pemandu teksi, Harchand Singh, 58, berkata keadaan jalan ini akan menjadi bertambah teruk apabila hujan kerana boleh menyebabkan kereta tersekat lebih 20 minit. "Jalan yang berlubang dan tidak rata itu sangat menyusahkan pemandu dan penunggang motosikal yang kebanyakannya bekerja di kawasan komersial, selain pelajar sebuah kolej swasta di sini," katanya kepada Sentral di sini, semalam. Seorang penunggang motosikal, Lee Yun Hee, 33, berkata keadaan jalan yang berlubang itu sangat berbahaya ketika hujan terutama kepada penunggang motosikal yang kali pertama menggunakan jalan itu.
Seorang lagi penunggang motosikal, Nor Baya Yusop, 46, berkata beliau melalui jalan itu hampir setiap hari untuk pergi dan pulang dari bekerja di sebuah bangunan berdekatan jalan berkenaan. "Jalan itu sudah rosak sejak beberapa bulan lalu tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil oleh DBKL. "Mana perginya flying squad DBKL, yang sepatutnya mengambil tindakan segera untuk menangani masalah jalan berlubang itu," katanya. April lalu, akhbar ini melaporkan (DBKL) akan memastikan setiap aduan mengenai jalan berlubang, longkang dan pemasangan lampu sekitar bandar raya diambil tindakan segera sebaik menerima aduan daripada orang ramai. Tugas mengendalikan kerja penyenggaraan itu dilaksanakan satu pasukan khas ditubuhkan pada 1 April lalu dan dikenali sebagai 'flying squad DBKL' dari Jabatan Kerja Awam (JKA) DBKL. Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata DBKL memberi jaminan bahawa tindakan segera akan diambil dalam tempoh satu hingga tiga hari bekerja dari tarikh aduan diterima. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan