Berita Harian: Nasional |
Bank digesa bantu projek kerajaan Posted: 22 Dec 2010 01:58 PM PST Nasional NAJIB melancarkan arca Segerak 1Malaysia pada majlis Makan Malam Maybank di Kuala Lumpur, malam tadi. Turut memerhati, Megat Zaharuddin (kiri) dan Abdul Wahid. KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menggesa institusi perbankan membantu membiayai projek yang dirancang kerajaan bagi memacu ekonomi, sekali gus mencapai hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Perdana Menteri berkata, matlamat kerajaan untuk mencapai taraf pendapatan perkapita sekurang-kurangnya RM47,000 (AS$15,000) setahun yang kini mencapai AS$8,700 memerlukan pelaburan sebanyak RM1.4 trilion dalam tempoh lebih 10 tahun. Beliau berkata, institusi perbankan turut meraih manfaat pembangunan dirancang kerajaan dengan aktiviti ekonomi domestik akan berkembang dan menawarkan peluang kewangan berpotensi sebanyak RM1.29 trilion dalam tempoh berkenaan. "Lebih 90 peratus kewangan datang daripada sektor swasta dan tidak meragukan bahawa bank juga antara penerima manfaat daripada pembangunan pesat ekonomi negara."Bank juga akan mendapat peluang lebih luas menerusi 10 projek permulaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi perkhidmatan kewangan iaitu satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Ia membabitkan penyertaan dalam bentuk ekuiti dan pasaran bon, pembayaran, insurans, pencen swasta, kekayaan dan pengurusan aset selain perbankan Islam. "Saya berterima kasih kepada Maybank yang terus memberi komitmen membiayai projek yang menyumbang kepada pembangunan negara," katanya pada majlis Makan Malam Maybank sempena Ulang Tahun ke-50 di sini, malam tadi. Turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Nor dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Perdana Menteri turut melancarkan Yayasan Maybank dengan suntikan permulaan RM50 juta bagi membantu program khidmat masyarakat membabitkan bidang pendidikan, kebajikan, alam sekitar, pemuliharaan dan sukan. Menjelas lanjut, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sumbangan institusi kewangan besar seperti Maybank sangat diperlukan untuk menerajui dan membantu pembangunan masa depan negara. |
MoU imigresen KL-London Januari Posted: 22 Dec 2010 08:34 AM PST Nasional Kabinet lulus kerjasama babitkan pertukaran maklumat pengurusan migrasiPUTRAJAYA: Kabinet semalam bersetuju supaya Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama Imigresen antara Jabatan Imigresen dan Imigresen United Kingdom (UK), memorandum persefahaman (MoU) ketiga seumpamanya selepas Australia dan Belanda. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerjasama formal pertama negara ini dengan UK dalam bidang imigresen itu akan membabitkan pertukaran maklumat mengenai pengurusan migrasi termasuk maklumat pengganas, jenayah kolar putih, penyaluran wang haram ke luar negara, kawalan sempadan, sistem biometrik, dokumen perjalanan, teknologi serta kerjasama latihan. MoU itu dijangka ditandatangani bulan depan di Kuala Lumpur. Keputusan terbaru ini adalah agenda besar yang amat signifikan kepada hubungan yang sememangnya sudah lama terjalin antara kedua-dua negara meliputi pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan dan pengajian tinggi, katanya dalam kenyataan di sini, semalam.Beliau berkata, MoU itu akan membolehkan kerjasama dalam bidang imigresen dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan antara kedua-dua negara sekali gus membolehkan Jabatan Imigresen memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai. Katanya, cadangan MoU itu dikemukakan oleh pihak UK selepas beberapa sesi rundingan antara kedua-dua negara berhubung usaha menangani aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan sejak 2008. MoU sama dengan Australia ditandatangani pada 22 Mac 2007 manakala dengan Belanda, 27 Mei lalu.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan