Utusan Online - Jenayah |
Posted: Empat sekeluarga matiOleh ROKIAH ABDULLAH
PULAU PINANG 22 Dis. – Seorang bapa tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan bagaimana empat ahli keluarganya maut selepas rumah kedai dua tingkat yang mereka duduki musnah dalam kebakaran di Jalan Perak, di sini awal pagi ini. Heoh Hooi Poh, 57, yang kehilangan isteri, ibu serta dua anak dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu menangis teresak-esak ketika menceritakan usaha anak lelaki yang turut maut dalam kejadian itu ketika menyelamatkan ahli keluarga mereka "Anak lelaki saya naik semula ke atas untuk menyelamatkan ibu dan kakaknya selepas berjaya membawa neneknya turun. Saya tidak sangka dia juga turut terkorban bersama mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang hari ini. Kebakaran itu meragut nyawa isterinya, Goey Siew Keow, 56; anak lelakinya, Neoh Soon Aik, 16, dan anak perempuan, Neoh Li Hong, 18. Ibunya, Lim Chai Hwa, 73, yang berjaya diselamatkan Soon Aik meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dipercayai akibat sesak nafas. Mayat Siew Kiow dan Li Hong pula ditemui berpelukan di dalam bilik air tingkat atas rumah itu. Menceritakan kejadian itu, Hooi Poh memberitahu, ketika kejadian, dia bersama semua ahli keluarganya itu sedang tidur di tingkat atas. Katanya, kebakaran itu hanya disedarinya setelah dia terjaga sebaik sahaja terdengar jeritan Soon Aik kira-kira pukul 2.30 pagi. Dalam keadaan kelam-kabut itu, katanya, dia bergegas turun ke bawah untuk membuka pintu dan berharap ahli keluarganya yang lain turun bersamanya. "Malangnya, saya hanya nampak kelibat Soon Aik sedang memapah ibu saya yang tidak boleh berjalan. Setelah meletakkan neneknya di tempat selamat, saya nampak dia berlari semua ke atas. "Selepas itu, saya langsung tidak melihatnya. Api yang marak, asap tebal serta keadaan yang gelap menyukarkan saya untuk masuk semula ke rumah untuk menyelamatkan mereka," katanya sambil menangis. Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) Pulau Pinang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 2.50 pagi. Beliau berkata, lima jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan empat pasukan sukarelawan bomba bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira 20 minit kemudian. Sementara itu, Bernama melaporkan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ahmad Izram Osman menafikan dakwaan kononnya pasukannya lewat tiba di tempat kejadian. Ahmad Izram berkata, dakwaan oleh seorang daripada anggota keluarga mangsa itu adalah tidak berasas kerana bomba tiba sejurus menerima panggilan. "Antara kesulitan ialah faktor struktur bangunan yang susah ditembusi dari pintu hadapan, lantai beralaskan kayu, susun atur barangan dalam kedai tersebut yang dipenuhi colok dan minyak serta papan tanda kedai hadapan bangunan menyukarkan anggota penyelamat untuk memasuki premis itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini. | ||
Pesawat tentera Thai bawa balik 25 mayat mangsa Posted: Pesawat tentera Thai bawa balik 25 mayat mangsaMAYAT 25 pelancong Thailand dihantar balik dengan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Thailand di Lapangan Terbang TUDM Subang, semalam. - Gambar/The Star SUBANG 22 Dis. - Mayat 25 pelancong warga Thailand yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan bas persiaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Perak kelmarin dibawa pulang ke negara mereka dengan dua pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Thailand hari ini. Kedua-dua pesawat itu berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini pada 5 petang ini. Selain 25 mayat terbabit, seorang daripada 10 pelancong Thailand yang cedera dalam kejadian itu juga dibawa pulang ke Bangkok menerusi penerbangan itu. Kesemua mayat dibawa dengan sebuah treler dan sebuah van dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh dan tiba di Subang pada pukul 3.30 petang. Kedua-dua pesawat itu tiba pukul 2 petang bersama kira-kira 30 ahli keluarga mangsa nahas yang maut dan terselamat dan masih dirawat di HRPB. Menurut Setiausaha kepada Menteri Luar Thailand, Chavanond Intara Komalyasut, ahli keluarga mangsa nahas yang tiba dari Thailand hari ini akan tinggal beberapa hari di Ipoh untuk menemani mangsa yang masih dirawat di sana. Chavanond turut menghargai bantuan dan sokongan kerajaan Malaysia berhubung insiden tersebut. "Kita sangat berterima kasih kepada Malaysia kerana membantu rakyat Thailand yang terlibat dalam kemalangan itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. Dalam kemalangan kelmarin, 25 pelancong warga Thailand terbunuh apabila bas persiaran yang mereka naiki terlibat kemalangan di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. Nahas ngeri itu turut meragut dua rakyat tempatan iaitu pemandu bas, Omar Shahidan, 48, dan Soontorn Kian, 38, pemandu pelancong keturunan Siam. Ketika kejadian, terdapat 37 orang dalam bas tersebut. Seramai 15 yang terbunuh dalam nahas adalah wanita manakala selebihnya 12 orang lelaki. Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie turut memberi penghormatan terakhir kepada keluarga mangsa nahas kemalangan ngeri itu. Menurutnya, beliau mewakili menteri dan kementerian melahirkan rasa terharu dan takziah ke atas ahli keluarga mangsa berhubung insiden yang berlaku. Katanya, insiden seperti itu diharap tidak menjejaskan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara. "Bagaimanapun, saya sedikit terkilan apabila pihak pengurusan syarikat bas pelancong itu tidak hadir ke sini untuk memberi penghormatan terakhir," katanya. Sementara itu di Ipoh, Duta Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana berkata, urusan untuk penghantaran pulang mayat warga Thailand itu berjalan lancar sejak awal pagi ini. Ketika ditanya mengenai kemungkinan keluarga mangsa mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat bas terlibat, Duangratana berkata: "Terpulang kepada keluarga mangsa untuk mengambil tindakan tersebut." Terdahulu, beberapa ahli keluarga mangsa yang datang ke rumah mayat HRPB menangis sambil memeluk keranda mangsa kerana tidak dapat menahan kesedihan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan