Utusan Online - Muka Hadapan |
Posted: Badan siasatan bebas ditubuhOleh THOMAS CHONG, ASSIM HASSAN,
PUTRAJAYA 22 Dis. – Kabinet hari ini mengarahkan penubuhan sebuah badan siasatan bebas untuk mengkaji struktur dan operasi kenderaan perdagangan di negara ini secara menyeluruh. Selain itu badan berkenaan juga akan bertanggungjawab menyiasat kemalangan bas persiaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Isnin lalu yang mengorbankan 27 nyawa. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kementeriannya akan menemui Peguam Negara, Tan Sri Abd. Gani Patail untuk meminta cadangan calon yang sesuai untuk mempengerusikan badan tersebut. "Kita akan menghubungi Peguam Negara hari ini juga untuk menentukan siapa yang akan mempengerusikan badan bebas ini, satu pasukan bebas akan ditubuhkan selepas calon pengerusi dikenal pasti. "Kabinet termasuk Perdana Menteri amat ambil berat dan sedih dengan kejadian ini, kami mahu badan bebas ini ditubuhkan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Cho Ha berkata, pelbagai agensi kerajaan dijangka menyertai badan itu atau sekurang-kurangnya dipanggil untuk mengemukakan hasil siasatan dan pandangan. "Antara agensi yang terlibat termasuk polis, Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom)," katanya. Dalam pada itu, Cho Ha menjelaskan, bas yang terlibat dalam kemalangan Isnin lalu bukan bas dua tingkat seperti yang dilaporkan oleh media. "Terdapat kekeliruan yang berlaku dalam laporan media, bas yang terlibat dengan kemalangan maut ini sebenarnya bas setingkat. "Saiz bas ini bagaimanapun lebih tinggi sedikit daripada bas biasa kerana terdapat satu tingkat dalam bas yang digunakan sebagai tempat menyimpan bagasi," katanya. Beliau berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan termasuk mengenal pasti siapa pemilik sebenar bas pelancongan tersebut. "Siasatan menyeluruh akan dilakukan untuk mengenal pasti semua aspek dalam kemalangan ini," katanya. | ||
Saya nampak penumpang pecah kepala - Mangsa Posted: Saya nampak penumpang pecah kepala - MangsaIPOH 22 Dis. - Perjalanan pulang semasa bercuti di pusat peranginan Cameron Highlands kelmarin tidak mungkin dapat dilupakan oleh Arrena Songserm, 20, seumur hidupnya. Percutian yang sepatutnya menjadi kenangan manis bagi pelajar jurusan Undang-Undang di Universiti Walailak, Sala, di Thailand itu bertukar menjadi tragedi ngeri yang akan menghantuinya seumur hidup. Kira-kira 40 minit selepas bergerak dari Cameron Highlands, bas yang dinaiki Arrena terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan 25 pelancong Thailand dalam bas itu. "Ketika itu, saya rasa bas tidak dipandu laju tetapi setengah jam selepas bergerak dari Cameron Highlands, saya nampak asap tebal keluar dari tepi bas. "Tidak lama selepas itu, saya rasa brek bas itu seperti tidak berfungsi apabila terus meluncur lalu melanggar tembok pembahagi jalan dan berpusing sebanyak dua kali sebelum terbalik. "Saya tidak tahu berapa lama saya pengsan tetapi selepas sedar, saya terkejut melihat begitu banyak mayat bergelimpangan dalam bas. Ada di antaranya pecah kepala," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini. Menurut Arrena, selepas itu, dia menggagahkan diri merangkak keluar dari bangkai bas sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat yang tiba sejurus kemudian. "Sehingga kini, saya masih terbayang asap tebal dan mayat-mayat yang bergelimpangan dalam bas. "Namun, saya bersyukur kerana masih hidup," katanya dengan nada perlahan dalam bahasa Melayu pelat Selatan Thai. Akibat kemalangan itu, Arrena yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala, badan dan kaki mungkin terpaksa menangguhkan pengajiannya yang kini sudah berada di tahun tiga. Seorang lagi penumpang bas itu yang terselamat, Rungnapa Klungsuwan, 53, cuma dapat mengingati dia sedang makan semasa bas tersebut sedang melalui laluan yang berliku. "Tiba-tiba saya terus tercampak dan tidak mengingati apa-apa selepas itu," katanya dengan menggunakan isyarat tangan untuk menerangkan apa yang berlaku. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan