Rabu, 3 April 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Seri Iskandar hab pendidikan baharu

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

Zambry Abd Kadir bersama Muhamat Roli Hassan (dua dari kanan) dan penerima-penerima bantuan Sekolah Mubaligh dan Sekolah Jenis Kebangsaan di Ipoh kelmarin.

IPOH 2 April - Selepas Tanjung Malim, Bandar Seri Iskandar dekat sini dipilih menjadi lokasi terbaharu pembangunan hab pendidikan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, satu pelan tindakan oleh Perbadanan Menteri Besar telah disediakan bagi pembangunan di atas tanah seluas 404.7 hektar di bandar tersebut.

''Kerajaan negeri telah merangka 'blue print' untuk mewujudkan hab pendidikan di negeri ini dan selain Tanjung Malim, kita telah memilih Seri Iskandar dan Kampar untuk tujuan tersebut.

''Hab pendidikan ini dijangka memakan masa 10 hingga 15 tahun untuk dibangunkan. Hal ini kerana pembangunan ini bergantung kepada permintaan atau kesediaan sesebuah kolej dan universiti untuk bertapak di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan kepada Sekolah Mubaligh dan Sekolah Jenis Kebangsaan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah Pelajaran negeri, Muhamat Roli Hassan.

Terdahulu, pada majlis tersebut, Zambry menyampaikan bantuan utiliti berjumlah RM474,568.96 kepada 111 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan 85 sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini.

Selain itu, turut menerima bantuan ialah 19 buah sekolah mubaligh dan 17 sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK), yang masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM429,739.25 dan RM570,260.75.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Perak merupakan negeri terawal yang memperkenalkan pendekatan memberikan bantuan kepada sekolah pelbagai aliran di negeri ini.

Katanya, sejak empat tahun lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan kira-kira RM176 juta untuk tujuan pendidikan termasuk pinjaman pelajaran, dermasiswa, tuisyen dan bantuan utiliti.

''Kebiasaannya, peruntukan untuk pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan Pusat, namun kerajaan negeri cuba menambah baik dari segi kaedah dan sistem pembelajaran bagi melahirkan pelajar yang berjaya dalam konteks negeri Perak," ujarnya.

PUO lakar sejarah

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

ROSEAZAH Ramly (kanan) serta kakitangan PUO yang mendapat anugerah serta penghargaan pada Malam Citra Inovasi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

IPOH 2 April - Politeknik Ungku Omar (PUO) berjaya melakar sejarah apabila ciptaan penyedut daun keringnya berjaya mendapat pengiktirafan dalam Malam Citra Inovasi anjuran Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini.

Ketua penyelidik ciptaan tersebut, Roseazah Ramly yang juga pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PUO berkata, alat dinamakan 'Dried Leaves Vacuum and Grinder' itu menggunakan konsep penyedut hampagas yang mana daun-daun kering yang disedut akan dikisar sebelum dikumpulkan dalam mesin tersebut.

"Proses pengisaran ini memberikan ruang penyimpanan yang lebih banyak, sekali gus membolehkan lebih banyak daun-daun kering dikutip dalam satu-satu masa.

"Mesin ini mempunyai kelebihan dari segi penjimatan kos dan masa mengutip daun kering jika dibandingkan dengan cara konvensional yang menggunakan 'blower'," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Majlis penyampaian penghargaan tersebut disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Yang turut hadir Ketua Pengarah kementerian, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa dan Pengerusi Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia (Minds), Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Augustine Ong.

Selain PUO, sebanyak 91 produk lain dari 35 institusi pengajian tinggi (IPT) turut menerima penghargaan dalam majlis tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan