Ahad, 7 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Kerajaan kaji perbesar kampung baharu Cina

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

Adnan Yaakob (tiga dari kiri) bermesra dengan seorang pemuda yang memenangi sebuah motosikal menerusi cabutan bertuah pada Majlis Jamuan Makan Malam Bersama Masyarakat Tionghua Daerah Temerloh yang dihadiri oleh lebih 4,000 penduduk di padang Majlis Perbandaran Temerloh, malam semalam.

TEMERLOH 7 April - Kerajaan Pahang akan mengkaji untuk membesarkan kampung-kampung baharu Cina di negeri ini yang kini sudah terlalu padat ekoran pertambahan penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, antara yang dipertimbangkan ialah Kampung Baharu Cina Temerloh, Triang, Bentong dan Raub yang kini sudah tidak mempunyai kawasan untuk membina rumah baharu.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus menyalurkan projek pembangunan yang mana sebahagian besar daripada 1,500 kampung baharu Cina telah menikmati projek pembanguan dan usaha itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

"Bagi memastikan kesinambungan pembangunan itu, rakyat termasuk juga kaum Cina perlu mengekalkan keamanan, keharmonian dan perpaduan antara kaum dengan memastikan keselamatan negara terus dipelihara setiap masa.

"Kebebasan mengamalkan cara hidup, budaya, pendidikan dan bahasa yang dinikmati oleh kaum Cina, India dan kaum-kaum lain tidak terdapat di negara lain," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Jamuan Makan Malam Bersama Masyarakat Tionghua Temerloh yang dihadiri lebih 4,000 orang di padang Majlis Perbandaran Temerloh, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah, Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin dan ADUN Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong.

Adnan berkata, kerajaan turut memberikan bantuan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil kerana memperakui bahasa dan pendidikan kedua-dua kaum tersebut amat penting bagi mereka.

"Kita bukan sahaja terkenal dengan rakyat hidup berharmoni dan bersatu padu, malah turut dikagumi bagi pengurusan ekonomi yang baik apabila mengekalkan pertumbuhan pada kadar enam peratus setahun dalam keadaan ekonomi dunia sekarang ini yang tidak menentu," ujarnya.

RapidKuantan perkenalkan laluan baharu hari ini

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

KUANTAN 7 April - RapidKuantan meluaskan perkhidmatannya sehingga ke Bukit Gambang Resort City (BGRC) bermula esok bagi menyokong pembangunan pelancongan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zohari Sulaiman berkata, laluan 100 iaitu Terminal Makmur-Gambang yang sebelum ini hanya tiba di Kolej Matrikulasi Pahang (KMP) dipanjangkan sehingga ke BGRC.

"Pembukaan ke BGRC ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 penduduk dan sebanyak 1,500 kakitangan resort berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, laluan 101 iaitu Terminal Makmur-Taman Indera Sempurna sebelum ini melalui Permatang Badak akan dibahagikan menjadi dua laluan supaya dapat memendekkan masa perjalanan ke kedua-dua lokasi tersebut.

"Laluan baharu iaitu 102 dari pusat bandar ke Permatang Badak turut diwujudkan esok dengan jarak perjalanan yang pendek iaitu hanya 18 kilometer," jelasnya.

Beliau memberitahu, laluan 200 iaitu Indera Mahkota 1-Teluk Chempedak turut dibahagikan menjadi dua laluan.

"Laluan 200 akan melalui pusat bandar ke Teluk Chempedak manakala laluan baharu iaitu 302 akan melalui pusat bandar ke Indera Mahkota 1.

"Laluan 300 yang asalnya Taman Impian-Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) Semambu turut dipecahkan kepada dua yang mana menggunakan laluan pusat bandar ke Taman Impian manakala laluan baharu 601 diwujudkan dengan melalui pusat bandar terus ke Polisas," katanya.

Tambahnya, maklumat mengenai perubahan itu boleh didapati di laman web rapidKuantan www.rapidkuantan.com.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan