Rabu, 10 April 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Dr. Sidek tinggalkan Anwar bukan kerana tekanan pihak tertentu

Posted: 10 Apr 2013 11:41 AM PDT

Sebahagian daripada para tetamu yang hadir pada Majlis Bicara Negarawan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 10 April - Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya tindakan tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba meninggalkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan kerana wang atau tekanan pihak-pihak tertentu.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu berkata, sebagai ahli akademik, sudah pasti Dr. Sidek lebih mempercayai kebenaran hasil kajian yang dilakukan sendiri berhubung pelbagai hal yang diperkatakan mengenai Anwar selama ini.

Bagaimanapun, beliau juga percaya parti pembangkang akan berbuat apa sahaja bagi menidakkan pandangan dan pendapat tokoh akademik itu.

"Sebagai seorang akademik, beliau (Dr. Sidek) berusaha untuk memahami kenapa Anwar tidak disukai oleh orang lain kerana sepatutnya mesti disukai seperti dirinya sendiri.

"Sebab itulah, beliau buat kajian dan akhirnya Anwar bukanlah seperti yang digambarkan dan tuduhan yang dilemparkan itu mempunyai asas walaupun beliau mengambil masa lama untuk meninggalkan Anwar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam Bicara Negarawan: Transformasi Minda Terbilang Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, selain Dr. Sidek, Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST) Dr. Chandra Muzafar dan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali turut mengambil tindakan yang sama.

"Pepatah Melayu ada menyebut, tak kenal maka tak cinta, kalau tidak kenal, susah nak cinta dan masa itulah keburukannya baru kita nampak.

"Mereka ini dekat dengan Anwar dan dapat memerhatikan tingkah laku, sikap dan macam-macam lagi dengan mendalam," jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Mahathir berpendapat, tindakan empat bekas pegawai tinggi angkatan tentera menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlaku mungkin kerana mereka tidak puas hati semasa berada dalam perkhidmatan.

"Saya kenal sesetengah daripada mereka dan semasa dalam perkhidmatan, mereka setia kepada kerajaan yang masa itu dipimpin oleh saya.

"Tidak ada pula mereka membuat aduan tidak puas hati pada masa itu tetapi sekarang ini kerana mungkin ada peluang nak jadi wakil rakyat," kata Dr. Mahathir lagi.

Keempat-empat bekas pegawai tinggi angkatan tentera yang menyatakan sokongan kepada PKR ialah Jeneral (B) Tan Sri Md. Hashim Hussein, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, Laksamana Pertama (B) Imran Abd. Hamid dan Brig. Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Khatab.

PRU-13 boleh jadi pilihan raya paling aman

Posted: 10 Apr 2013 11:41 AM PDT

PUTRAJAYA 10 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menjadi pilihan raya paling aman dan bersih sekiranya setiap parti politik dan penyokong mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof turut berharap kejadian merosakkan bahan kempen dan keganasan yang dilaporkan sejak kebelakangan ini tidak akan berterusan sehingga tempoh berkempen nanti.

"Saya tidak bersetuju bahawa PRU-13 akan menjadi antara yang paling kotor. Kita telah memperkenalkan pelbagai penambahbaikan selain mengatur persiapan dengan sangat teliti.

"Jika ia menjadi kotor di beberapa tempat maka ia bukan berpunca daripada SPR tetapi parti politik. Parti yang terlibat mesti menasihatkan penyokong mereka supaya jangan terlalu beremosi," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPR pada masa ini tidak berkuasa mengambil tindakan ke atas parti politik yang memasang bendera dan kain rentang di tempat awam kerana ia terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

"SPR hanya boleh menguatkuasa undang-undang mulai tempoh berkempen iaitu dari 20 April hingga 4 Mei. SPR tidak boleh menjalankan penguatkuasaan di luar tempoh berkempen," jelas beliau.

Mengenai pemasangan pondok panas pula, Abdul Aziz berkata, SPR akan merobohkan sebarang pondok panas milik parti politik sekiranya didirikan pada hari mengundi iaitu 5 Mei ini.

"Parti politik boleh dirikan sebanyak mungkin pondok panas sebelum hari mengundi, tetapi ia tidak dibenarkan pada hari mengundi," katanya.

Abdul Aziz juga berkata, selain pemerhati tempatan, PRU-13 juga akan dipantau oleh pemerhati asing dari lima negara ASEAN selain Sekretariat ASEAN.

"Setiap negara ASEAN boleh menghantar sehingga tujuh pemerhati pada PRU-13 nanti," kata Abdul Aziz.

Pada sidang akhbar itu, Abdul Aziz turut memberitahu, kerajaan sementara akan memutuskan sama ada menteri atau ketua setiausaha akan mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN di Brunei pada 24 hingga 25 April ini.

Ditanya mengenai kemungkinan 6 Mei diisytiharkan sebagai cuti umum beliau berkata, ia bukan terletak di bawah bidang kuasa SPR sebaliknya, terpulang kepada kerajaan untuk menentukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan