Sabtu, 20 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Mahasiswa dan pentadbir universiti perlu terlibat untuk manfaat sejagat

Posted: 20 Apr 2013 12:15 PM PDT

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) dan Daing Nasir Ibrahim (empat dari kanan) bersama penerima anugerah penyelidikan pada Majlis Anugerah Cendekia Bitara Universiti Malaysia Pahang di Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 20 April - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, aktiviti penyelidikan dan inovasi kini tidak semata-mata bersifat eksklusif kepada golongan ahli akademik sahaja tetapi perlu dipelajari oleh pentadbir universiti serta mahasiswa.

Baginda bertitah, langkah itu merupakan sisi baharu dalam cabaran pemerkasaan aktiviti berkenaan iaitu sebahagian daripada pendekatan bukan konvensional.

"Dengan komitmen tersebut dan galakan yang diberikan secara berterusan, lebih banyak hasil penyelidikan dan inovasi berkualiti dapat dihasilkan untuk manfaat sejagat.

"Pada masa sama, iklim positif ini mampu mengekalkan minat warga universiti terhadap aktiviti berkenaan dengan lebih banyak bakat baharu yang mampu dicungkil setiap tahun," titah baginda pada Majlis Anugerah Cendekia Bitara Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Seramai 33 penerima iaitu warga akademik universiti itu menerima anugerah kecemerlangan dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi.

Tengku Abdullah bertitah, penyelidikan yang dihasilkan nanti perlu mengambil kira isu, keperluan dan permasalahan setempat bagi memberi nilai tambah terhadap kesejahteraan terhadap masyarakat.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah yang juga Canselor UMP bertitah, universiti tersebut memerlukan para pentadbir berkualiti yang mampu menerapkan elemen penyelidikan, kreativiti dan inovasi bagi meningkatkan keupayaan serta penyampaian perkhidmatan secara konsisten.

"Realiti dunia hari ini menuntut universiti ini untuk lebih merakyat dan bukan lagi memencil sebagai menara gading yang elitis sifatnya.

"Maka cabarannya kini ialah menghasilkan penyelidikan inovatif dan kreatif yang mengambil kira isu, keperluan dan permasalahan masyarakat," titah baginda.

Baginda bertitah, sekiranya perkara itu mampu direalisasikan, baginda percaya kewujudan universiti tersebut dapat dirasai kehadirannya dan didengari oleh rakyat negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan