Sabtu, 6 April 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Hargai keamanan negara

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

MD. Isa Sabu (dua dari kanan) beramah mesra dengan kakitangan awam dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Besar di Kompleks DUN di Kangar semalam.

KANGAR 5 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu hari ini meminta rakyat supaya terus memberikan mandat yang besar kepada Barisan Nasional (BN) menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) supaya negara ini terus kekal dan aman.

Pada masa yang sama, kata beliau, rakyat perlu menghargai keamanan yang dinikmati sekarang supaya keamanan sedia ada dapat diwarisi oleh generasi yang terusnya.

"Sekalipun negara pernah dikejutkan dengan insiden di Lahad Datu, Sabah tetapi keadaannya cukup terkawal dan pada masa yang sama Perlis juga masih dalam keadaan aman dan damai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Mesra Bersama Menteri Besar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini yang dihadiri oleh kakitangan awam dari pelbagai jabatan di negeri ini.

Md. Isa memberitahu, dengan falsafah 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mahukan semua rakyat menghayatinya.

Kata beliau, salah satu mesej yang terkandung dalam falsafah berkenaan ialah mahukan seluruh warga Malaysia yang berlainan agama dan bangsa terus bersatu memelihara keharmonian masyarakat majmuk.

"Falsafah ini telah dibawa ke segenap pelosok negara yang mana semua rakyat sudah bersedia mengetahuinya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat diingatkan supaya membawa falsafah 1Malaysia ini untuk membuat pemilihan pada pilihan raya umum kali ini.

Menteri Besar itu memberitahu lagi, ini kerana selama ini BN telah berjaya membawa keamanan yang dinikmati oleh seluruh rakyati.

Katanya, jika tidak, mana mungkin segala pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Sepanjang berkhidmat selama lima tahun sebagai Menteri Besar, beliau berharap rakyat berpuas hati di atas kepimpinannya setelah dimandatkan dengan jawatan berkenaan..

Beliau berharap, kerajaan BN terus dapat melaksanakan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat dan generasi masa depan.

Dua keluarga terima bantuan rumah PBANK

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

NOOR Suzana Abdullah (tiga dari kiri) menyampaikan gambar model rumah sebagai simbolik penyerahan rumah baharu kepada Umai Kalsom Awang Kechik (kiri) di Baling, semalam.

BALING 5 April - Dua buah keluarga yang terlibat dalam kejadian bencana di sini bersyukur kerana menerima rumah baharu daripada Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBANK).

Salah seorang penerima, Umai Kalsom Awang Kechik, 72, dari Teluk Sera berkata, dia gembira kerana rumahnya yang terbakar pada 2010 telah digantikan dengan rumah yang lebih selesa.

"Saya bersyukur kerana rumah telah diganti baharu.

"Nasib baik ketika kejadian saya tiada di rumah, jika tidak, tak tahu apa yang akan berlaku kerana saya tidak sihat," katanya ketika ditemui hari ini.

Rumah yang dibina dengan kos sebanyak RM30,000 itu dilengkapi dengan tiga bilik tidur.

Selain rumah, mangsa kebakaran juga menerima pemberian barangan keperluan harian seperti gula, kopi, beras, minyak masak dan biskut.

Sementara itu, mangsa ribut dari Kampung Padang Che Mas, Dalam Wang, Mohd. Jais Md. Tahir, 38, turut menerima rumah baharu.

Mohd. Jais yang mengalami masalah kesihatan, diwakili oleh isterinya, Siti Mariam Manaf, 26.

"Syukur kerana mendapat rumah baharu, termasuk kelengkapan rumah, barang makanan dan pakaian.

"Kami sangat gembira kerana rumah yang roboh ketika kejadian ribut tahun lalu diganti baru dan keadaannya lebih selesa," kata Siti Mariam.

Hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah Naib Pengerusi PBANK, Toh Puan Bendahara, Noor Suzana Abdullah.

Shahidan sedia dicabar Haron di Parlimen Arau

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

KANGAR 5 April - Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak gentar untuk menentang Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din bagi merebut kerusi Parlimen Arau jika namanya diletakkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Menurutnya, sekalipun berdepan dengan Haron, beliau sanggup untuk menghadapinya serta mahu melakukan yang terbaik supaya kemenangan berpihak kepada BN sebagaimana kehendak majoriti rakyat di Arau dan seluruh negara sendiri.

Bagaimanapun kata beliau, soal pencalonan terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sama ada akan meletakkan namanya di Parlimen Arau atau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya yakin para pengundi di kawasan Parlimen Arau masih terus memberikan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada BN," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas menghadiri Majlis Mesra Bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu bersama kakitangan awam dari jabatan di negeri ini di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Jika Haron bertanding di Parlimen Arau, ini merupakan percubaan kali ketiga beliau di kawasan berkenaan selepas tewas pada 2004 dan 2008.

Shahidan juga menyatakan, pihaknya memang telah lama bersiap-sedia mengerakkan jentera BN Arau selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata, adalah menjadi harapannya agar BN Perlis memperoleh kemenangan 100 peratus iaitu bagi tiga kerusi Parlimen dan semua kerusi DUN menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Beliau berharap, rakyat Perlis memberikan sokongan penuh terhadap parti BN pada hari pengundian nanti.

Shahidan juga sentiasa percaya bahawa seluruh pengundi di negeri ini yang merangkumi kawasan Parlimen Kangar, Arau dan Padang Besar akan memberikan mandat yang lebih tinggi buat BN menerusi PRU-13 tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan