Sabtu, 27 April 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Peruntukan RM38 juta sudah dilulus

Posted: 27 Apr 2013 12:51 PM PDT

Oleh Ali Mahmood
utusanpahang@utusan.com.my

Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan penduduk Kampung Batu Papan semasa menghadiri Program Santai Pengguna Bersama KPDNKK di Kampung Batu Papan malam semalam.

BERA 27 April - Semua perkara yang dibangkitkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Bera kononnya untuk membaiki kehidupan rakyat di daerah itu sebenarnya sedang diatasi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara isu yang dibangkitkan pembangkang mengenai masalah infrastruktur seperti jalan raya, isu tanah Orang Asli dan bekalan air semuanya dalam proses pelaksanaan.

Katanya, sebagai contoh, kerajaan sudah memperuntukkan RM18 juta bagi kerja-kerja menaik taraf dan melebar jalan antara simpang Triang Satu ke Felda gugusan Tembangau.

"Sebanyak RM10 juta lagi diluluskan untuk kerja-kerja yang sama bagi jalan raya dari Kerayong ke Simpang Sebertak dan RM10 juta lagi jalan dari Simpang Pos Iskandar menuju ke Ladang Bera Kemayan turut dibaiki dan dinaik taraf.

"Mengenai masalah tanah pula, ia sedang diproses dan mengambil sedikit masa kerana kerja-kerja menyukat tanah bukan satu proses yang mudah kerana setiap inci tanah yang disukat perlu tepat, tidak boleh silap kerana ia akan membabitkan tanah orang lain," kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Santai Pengguna Bersama Penduduk Batu Papan di sini malam tadi.

Menurut beliau, permohonan itu tidak dapat dilulus dengan segera kerana butir-butir peribadi yang dibuat pemohon tidak lengkap termasuk alamat yang sukar dihubungi semula.

Tambahnya, masalah geran tanah tidak perlu dirisaukan kerana cepat atau lambat akhirnya ia akan menjadi hak milik mereka juga kecuali mereka memerlukan geran yang cepat untuk tujuan tertentu.

Mengenai masalah bekalan air paip, beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera memberitahu, kerja-kerja menukar paip lama yang sudah rosak dan pecah sedang dijalankan kontraktor membabitkan peruntukan lebih RM50 juta termasuk menaik taraf beberapa buah loji bekalan air.

Tambahnya, semua tuduhan calon PKR, Zakaria Abd. Hamid tidak benar sama sekali kerana kerajaan sedang melaksanakan kerja-kerja membaiki dan menaik taraf kemudahan asas selain daripada membawa pembangunan dari semasa ke semasa.

"Zakaria mungkin tidak tahu perkembangan kerana telah lama tinggalkan kawasan ini dan tidak tahu mengenai perkembangan yang berlaku di Bera jadi tuduhannya itu tidak betul," ujarnya.

BN jamin akan terus bela rakyat

Posted: 27 Apr 2013 12:51 PM PDT

Orang ramai yang hadir pada Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia Negeri Pahang di Markas 4 Briged Mekanize Kem Batu 10, Kuantan, semalam.

KUANTAN 27 April - Setiap lapisan masyarakat diseru mempertahankan keamanan yang dikecapi dengan terus memberi kepercayaan kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi menjamin kesinambungan agenda membela rakyat.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob (gambar) berkata, dasar-dasar kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah terbukti membawa pelbagai transformasi yang bermanfaat kepada setiap lapisan rakyat.

"Seharusnya kita pertahankan keamanan yang dikecapi dan kalau kita tak dapat nak balas jasa kerajaan sekali pun, tak perlu kita menentang kerajaan.

"Kadang-kadang saya terfikir kalau kita menentang kerajaan yang cukup berjasa sama seperti kita melawan guru-guru atau ibu bapa yang banyak berbakti atas kejayaan kita pada hari ini," katanya ketika berucap di Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia Negeri Pahang di 4 Briged Mekanize, Batu 10 di sini malam tadi.

Yang hadir sama pada majlis meraikan kira-kira 5,000 warga 4 Briged Mekanize ialah Panglima 4 Briged Mekanize, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Rahim Abdul Mutalib dan Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani.

Turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Khairuddin Mahmud dan calon DUN Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar.

Ketepikan sentimen

Posted: 27 Apr 2013 12:51 PM PDT

KUALA LIPIS 27 April - Pengundi muda termasuk penduduk Orang Asli di kawasan Jelai diminta mengetepikan sentimen mahu menukar kerajaan kerana perubahan yang diinginkan terbukti mampu dilakukan dengan lebih baik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengundi tidak wajar terikut-ikut 'lagu dan irama' pembangkang kerana kerajaan BN terbukti berkemampuan mengubah nasib rakyat serta menjamin masa depan yang lebih baik menerusi dasar transformasi negara.

Beliau berkata, pengundi muda mestilah bertindak matang dengan memberikan kepercayaan kepada BN yang boleh melakarkan pembangunan demi kesejahteraan penduduk pada masa akan datang.

"Kebajikan penduduk dan agenda pembangunan direncanakan dengan baik mengikut acuan yang betul, manakala di pihak agensi kerajaan, kita mempunyai pentadbir profesional yang cekap, berintegriti dan berwawasan.

"Apa sebab nak tukar kerajaan kerana diasak dengan isu yang remeh-temeh oleh pembangkang semata-mata berhasrat untuk mentadbir Putrajaya," katanya selepas meninjau operasi perniagaan dan bertemu dengan pengunjung pasar malam di pekan Sungai Koyan dekat sini semalam.

Menurut Wan Rosdy, pengundi muda tidak wajar terikut taktik pembangkang yang menggunakan strategi mendesak kerana segala dakyah mereka sebelum ini ditolak oleh rakyat yang lebih yakin dengan kredibiliti serta integriti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Lagipun, haluan antara pemimpin pembangkang nampaknya berkecamuk dan sudah tidak sekata dalam beberapa hal iaitu membabitkan kepentingan agama, rakyat dan negara ini.

"Senario ini sudah cukup menzahirkan mereka bukanlah pemimpin yang ikhlas dan berwawasan sekali gus tidak mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat melainkan hanya kerajaan BN," ujarnya.

Wan Rosdy berkata, BN merupakan parti yang menterjemahkan permuafakatan tulen antara semua kaum dan ini perlu diakui oleh rakyat kerana semua kaum di negara ini mampu menikmati pembangunan yang sama rata dan adil.

0 ulasan:

Catat Ulasan