Khamis, 18 April 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Lima calon Kedah jadi tumpuan

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR, MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

CALON termuda BN Kedah, Nor Sabrina Mohd Noor menunjukkan borang pendaftaran calon yang lengkap diisi sebelum menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Alor Setar, Kedah semalam. - BERNAMA

ALOR SETAR 17 April - Ketua Puteri UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu, Datin Nor Sabrina Mohd. Noor, 34, dan Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Dr. Zaki Zamani Abdul Rashid, 35, merupakan calon paling muda di negeri ini bagi membawa cabaran Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung, 58, pula akan bertanding bagi penggal keenam manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah, 63, dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sarif, 58, masing-masing bertanding untuk penggal kelima.

Nor Sabrina akan membawa lambang parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim-Bandar Baharu sementara Dr. Zaki Zamani di Parlimen Kuala Kedah, Chee Heung (Parlimen Alor Setar), Ahmad Bashah (DUN Bakar Bata) dan Abu Hassan di DUN Kota Siputeh.

Bagi Nor Sabrina, beliau tidak mempunyai masalah memberi khidmat terbaik kepada masyarakat meskipun merupakan calon paling muda.

"Apa yang saya lihat, tiada langsung pembangunan di kawasan Kulim-Bandar Baharu selama lima tahun pembangkang memerintah dan berazam membawa pembangunan demi kesejahteraan penduduk," katanya ketika ditemui selepas pengumuman senarai calon BN Kedah bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 di sini semalam.

Sementara itu, Zaki berkata, pemilihannya sebagai calon BN merupakan pengiktirafan kepada golongan belia.

"Ini adalah transformasi politik dengan meletakkan calon muda bagi menarik pengundi muda yang mewakili kira-kira 40 peratus pengundi di Kuala Kedah.

"Apa yang saya boleh lakukan ialah memberi khidmat terbaik selain membawa suara generasi muda di Dewan Rakyat," katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah menyifatkan lebih banyak pembangunan bakal dibawa ke kawasan DUN Bakar Bata yang berada dalam bandar raya ini.

"Ini kali kelima saya menjadi calon dan akan menggunakan pengalaman yang ada untuk terus berkhidmat demi kepentingan rakyat. Insya-Allah kita akan buat yang terbaik," katanya.

Penyandang kerusi DUN Kota Siputeh, Abu Hassan pula menyifatkan pencalonan beliau buat kali kelima merupakan tanggungjawab yang harus dipikul sebaik-baiknya demi parti.

"Saya rasa terharu dengan kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan dan sebagai orang lama, saya akan terus membangunkan rakyat di kawasan ini," katanya.

Calon BN Kedah beri tamparan hebat kepada pembangkang

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my

SENARAI 15 calon Parlimen dan 36 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Barisan Nasional (BN) yang diumumkan kelmarin bukan sahaja dilihat sebagai calon boleh menang tetapi boleh dianggap sebagai bayangan kepemimpinan kerajaan negeri yang baru.

Barisan tersebut bukan sahaja diyakini mampu menawan semula Kedah daripada pakatan pembangkang tetapi juga boleh menyumbang lebih banyak kerusi Parlimen untuk membantu BN membentuk Kerajaan Pusat dengan majoriti dua pertiga.

Di atas kertas dan berdasarkan situasi akar umbi, calon-calon BN mempunyai banyak kelebihan di mata pengundi berikutan populariti parti itu berbanding pakatan pembangkang yang terbukti gagal walaupun sudah diberi peluang mentadbir negeri selama lima tahun.

Calon-calon BN adalah pasukan transformasi yang merupakan gandingan mantap antara muka lama yang berpengalaman serta muka baharu daripada golongan profesional seperti doktor, pensyarah dan ahli perniagaan berjaya.

Sebab itu, penganalisis politik melihat calon-calon yang diumumkan di Wisma Persekutuan Anak Bukit oleh Pengerusi BN, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah itu menepati hasrat rakyat untuk memastikan kesinambungan pembangunan negeri dengan Kerajaan Pusat demi kesejahteraan rakyat.

Seramai 28 orang adalah muka baharu iaitu sebanyak 22 calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala seramai enam calon di kerusi Parlimen. Seramai 14 orang calon BN berusia 45 tahun ke bawah.

Calon baharu kerusi Parlimen Jerai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom cukup menyerlah kewibawaannya dan pencalonan beliau merupakan tamparan hebat kepada calon Pas di kawasan itu.

Begitu juga, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail yang selalu disebut-sebut namanya di bibir penduduk Pokok Sena berikutan pendekatan turun padang bertemu rakyat di peringkat akar umbi yang kerap dilaksanakan.

Pencalonan Dr. Zaki Zamani Abdul Rashid, 35, di Parlimen Kuala Kedah pula membuktikan BN sentiasa bersama hasrat pengundi muda untuk menampilkan calon berwibawa, disegani dan segar dengan idea baharu.

Golongan akademik juga tidak ketinggalan diangkat menjadi calon BN antaranya Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Prof. Dr. Ismail Daut (Merbok) yang merupakan tenaga pengajar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Shamsul Anuar Ismail di Sungai Petani dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sik, Dr. Mansor Abdul Rahman (Sik).

Calon DUN Bandar Baharu, Nor Sabrina Mohd. Noor, 34, yang merupakan Ketua Puteri UMNO bahagian muncul sebagai calon paling muda di negeri itu untuk bersama rakan muda lain berjuang di Kedah seperti Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Nor Saidi Nayan di Kuah dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Badrol Hisham Hashim (Kuala Nerang).

Muka baharu lain ialah Kama Noriah Ibrahim di DUN Pedu, Mokhtar Mohd. Nor (Bukit Pinang), Loh Gim Hui (Kota Darul Aman) dan Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah (Alor Mengkudu).

Selain itu, Datuk Latt Shariman Abdullah di Kubang Rotan, Noor Hasita Mat Isa (Pengkalan Kundur), Najmudin Darus (Tokai), Fadzilah Mohd. Ali (Sungai Limau), Mahadzir Abdul Hamid (Jeneri), M.L Maran (Bukit Selambau), Ali Yahya (Pantai Merdeka), Lee Yean Wang (Bakar Arang) dan Bee Sieong Heng (Sidam) adalah calon baharu DUN.

Calon baharu DUN lain ialah Harun Abdul Aziz di Kupang dan Mohd. Khairul Abdullah di Kuala Ketil, Datuk Marlia Abdul Latif (Merbau Pulau), Chua Thiong Gee (Kulim) dan Aminuddin Omar (Jitra).

Badrul Hisham berkata, sebanyak enam muka baharu adalah daripada sayap Pemuda Kedah manakala gandingan antara orang muda dan lama merupakan kekuatan kepada BN untuk menawan semula Kedah.

"Calon muka lama yang masih dikekalkan ialah mereka yang berpengalaman dan masih diperlukan untuk memantapkan barisan kepimpinan negeri," jelasnya.

Apa yang pasti, ramai yang tertarik dengan percaturan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berpindah dari kerusi Parlimen Jerlun ke DUN Ayer Hitam manakala kerusi Parlimen itu diganti oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz.

Selain itu, penyandang kerusi DUN Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga bekas menteri besar beralih ke kerusi Parlimen Padang Terap.

Senarai calon BN juga menyaksikan kemunculan semula, Datuk Othman Abdul untuk dipertaruhkan di Parlimen Pendang, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Hashim Yahya untuk bertanding di DUN Anak Bukit dan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mencuba sekali lagi nasib di Baling.

Ahmad Bashah pula mempertahankan kerusi DUN Bakar Bata buat kali kelima manakala Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharom kekal di Kubang Pasu dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung kekal di Parlimen, Alor Setar.

Apa pun, terserah kepada para pengundi untuk memilih wakil rakyat mereka selepas pucuk pimpinan negeri menawarkan barisan calon terbaik untuk para pengundi pada pilihan raya umum kali ini.

BN yakin pertahan tiga kerusi di Langkawi

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

ALOR SETAR 17 April - Calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) di Langkawi bertekad mempertahankan kesemua tiga kerusi yang dipertandingkan di pulau tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 Mei ini.

Calon Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad yang bertanding di kerusi Parlimen Langkawi dan calon DUN Ayer Hangat, Mohd. Rawi Abd. Hamid serta calon DUN Kuah, Nor Saidi Nayan yakin boleh mencapai sasaran tersebut untuk kesinambungan pembangunan penduduk di pulau itu.

Nawawi berkata, BN dijangka tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan kerusi-kerusi itu kerana Langkawi secara tradisinya adalah kawasan putih bagi BN.

"Tidak ada masalah bagi saya untuk menggalas tanggungjawab ini kerana sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi kepada BN," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman calon BN di Anak Bukit di sini hari ini.

Beliau berkata, pengalamannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco kerajaan negeri menambah lagi keyakinan para pengundi untuk memilih BN.

Mohd. Rawi pula berkata, penerimaan rakyat akar umbi terhadap program dan perkhidmatan selama ini meyakinkan beliau BN akan terus menguasai kerusi tersebut..

"Saya bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk memegang kerusi DUN Ayer Hangat dan yakin akan menang.

"Saya juga yakin BN dapat merampas semula pentadbiran kerajaan negeri kerana dalam tempoh lima tahun ini, pakatan pembangkang tidak membawa perubahan dan pembangunan kepada negeri," katanya.

Sementara itu, Nor Saidi yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Langkawi pula berkata, beliau amat berterima kasih dengan pucuk pimpinan yang memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan