Isnin, 15 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Stadium Felda lonjak imej peneroka

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

MARAN 15 April - Pembinaan Stadium Felda yang akan dimulakan tahun ini di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini akan melonjakkan imej warga Felda sebagai komuniti hebat di negara ini.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (gambar) berkata, majlis pecah tanah stadium yang menelan belanja RM90 juta itu akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi.

Menurut beliau, stadium yang serba lengkap itu dapat menampung jumlah kapasiti penonton sehingga 30,000 orang dan sesuai dijadikan gelanggang bagi perlawanan bola sepak Liga Malaysia.

"Pembinaan stadium itu akan membolehkan pasukan Felda United (FU) menjalani latihan dan tempat untuk menentang pasukan lain nanti," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pecah tanah litar lumba motosikal di Felda Jengka 14 di sini baru-baru ini.

Mohd. Isa berkata, kewujudan stadium itu sangat penting dalam usaha Felda melahirkan sebuah pasukan bola sepak yang mantap dan disegani.

"Stadium ini juga akan memberikan peluang kepada generasi baharu Felda dan peminat bola sepak memenuhi stadium bagi menyokong pasukan FU dalam menentang pasukan lawan nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pembinaan kemudahan sukan itu di Wilayah Jengka akan mendorong masyarakat peneroka hadir beramai-ramai menyokong FU.

"Pembinaan tersebut merupakan projek kerajaan BN yang bertujuan memberikan peluang kepada generasi baharu mendapat pendedahan dalam bidang sukan berprestasi tinggi seperti bola sepak," katanya.

SKSJ bantu 52,000 penunggang dapat lesen P - Zairi

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Zairi Mat Ali (lima dari kanan) dan Shahirudin Ab. Moin (enam dari kanan) bersama wakil penerima lesen P kelas B2 pada program SKSJ di Raub, Pahang, baru-baru ini.

RAUB 15 April - Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2009 telah membantu lebih 52,000 penunggang motosikal memiliki lesen P kelas B2.

Pengarah Korporat Dan Penyelidikan JPJ, Zairi Mat Ali berkata, dari 2009 hingga sekarang sebanyak 124 SKSJ dilaksanakan di setiap negeri bagi membantu rakyat yang sukar mendapatkan lesen memandu kerana tinggal di kawasan pedalaman dan jauh dari pejabat JPJ daerah.

Menurutnya, menerusi program tersebut, JPJ memberi kuota penganjuran sebanyak tiga kali setahun bagi negeri di Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak lima kali setahun.

"Sambutan sangat menggalakkan sehingga ada beberapa negeri memohon melaksanakan program itu melebihi kuota ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menutup program SKSJ di Dewan Orang Ramai Felda Lembah Klau di sini kelmarin

Turut hadir penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin.

Seramai 514 warga emas terdiri daripada 197 kaum Melayu, 12 India, 42 Cina dan 263 Orang Asli telah menerima lesen P motosikal kelas B2

Menurut Zairi, selain pengeluaran lesen secara berkelompok, program itu juga memberikan kemudahan kepada penduduk membuat pelbagai urusan berkaitan agensi tersebut seperti pembaharuan lesen memandu, menukar hak milik kenderaan dan sebagainya.

Malah, jelasnya, program itu wajar diteruskan kerana dapat mendekatkan warga JPJ dengan komuniti setempat selain memberi penerangan mengenai tugas pegawai dan anggota agensi berkenaan.

Beliau memberitahu, menerusi program tersebut peserta hanya dikenakan bayaran RM160 seorang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan