Rabu, 10 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Membangun seiring dasar Pusat

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Pang Tsu Ming (empat dari kanan) menyampaikan bantuan kerusi roda kepada seorang kanak-kanak kurang upaya di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 10 April - Pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu yang meliputi bandar Indera Mahkota, kampung-kampung tradisi seperti Kampung Bukit Setongkol, Kampung Cenderawasih dan Kampung Padang dilihat semakin rancak seiring dengan dasar yang digariskan oleh Kerajaan Pusat.

Kepesatan itu dilihat seiring dengan pembangunan perumahan apabila pejabat-pejabat kerajaan sebahagiannya dipindahkan ke bandar Indera Mahkota dari pusat bandar Kuantan di sini.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming, pembinaan beberapa kompleks pentadbiran kerajaan yang telah pun memulakan operasinya, turut menggalakkan sektor swasta melabur dalam pelbagai bidang hartanah seperti perumahan dan komersial yang nyata memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

"Pejabat-pejabat kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Arkib Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia antara sebahagian yang kini berpindah ke Indera Mahkota.

"Sejajar dengan itu, lebih 20 buah kawasan perumahan dibina termasuk yang terbesar di KotaSAS.

"Selain itu, pelbagai kemudahan yang disediakan termasuk pembinaan Terminal Bas Bersepadu Indera Mahkota bernilai RM43.8 juta yang bakal beroperasi awal Mei ini," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Bukit Sekilau di sini.

Tsu Ming yang telah berkhidmat selama sembilan tahun sebagai ADUN Semambu berkata, pembangunan di kawasan berkenaan cukup seimbang kerana bukan sahaja aspek ekonomi diberi perhatian malah sektor pendidikan, kesihatan dan sosial juga tidak dipinggirkan.

"Sepanjang menjadi wakil rakyat, saya akan memastikan kebajikan masyarakat setempat terbela kerana di DUN ini terdapat dua kelompok masyarakat yang berbeza iaitu yang tinggal di bandar dan pinggir bandar," jelasnya.

Tambah beliau, selain menyediakan dua buah klinik kesihatan dan sebuah Klinik 1Malaysia di DUN Semambu, beliau telah memohon sebuah lagi klinik bagi keperluan masyarakat setempat.

"Permohonan saya kepada Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan sebuah lagi klinik kesihatan di Bukit Setongkol telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM12 juta.

"Saya harap klinik berkenaan selepas di Indera Mahkota, Bukit Sekilau dan Kampung Padang dapat memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat di DUN Semambu," ujarnya.

Bagi memudahkan beliau berinteraksi dengan masyarakat setempat, Tsu Ming sering menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan di DUN Semambu selain program kemasyarakatan anjurannya atau jabatan kerajaan.

"Pendekatan turun padang ini lebih mudah untuk kita berinteraksi dengan masyarakat khususnya para pengundi untuk bersama-sama menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

"Saya juga sentiasa berada di pusat khidmat di Bukit Sekilau bagi memudahkan masyarakat berjumpa," ujarnya selain turut mengaplikasikan komunikasi melalui media sosial.

Sementara itu, menurut seorang penduduk, Fazeedah Abdul Manaf, 38, pembinaan kompleks kerajaan dan perumahan seperti KotaSAS pastinya akan memberi limpahan rahmat kepada penduduk sekitarnya.

"Kepemimpinan Barisan Nasional (BN) melalui wakil rakyatnya telah melakukan yang terbaik di kawasan ini demi manfaat dan faedah rakyat.

"Semua ini memudahkan penduduk dan dalam masa yang sama, dapat mengurangkan kesesakan di bandar Kuantan dengan kemudahan yang disediakan di Indera Mahkota," jelasnya.

Bagi Mohd. Noor Abdul Razak, 50, limpahan pembangunan di sini adalah hasil usaha dan perancangan kerajaan BN termasuk peranan yang dimainkan sektor swasta.

"Pelabur swasta amat yakin untuk membangunkan DUN Semambu termasuk pembinaan kawasan industri, hab perubatan seperti kewujudan sebuah hospital pakar swasta dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Indera Mahkota.

"Dengan pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan untuk membangunkan kawasan ini, nilai hartanah dilihat turut meningkat dari semasa ke semasa," katanya yang tinggal di Indera Mahkota.

Hindari dakyah pembangkang

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Lau Lee (kanan) meninjau kerosakan dan menyampaikan peralatan binaan bernilai RM3,000 kepada mangsa ribut di Taman Muhibbah, Jerantut, kelmarin.

JERANTUT 10 April - Penduduk yang memerlukan bantuan kebajikan diminta tampil memaklumkan perkara itu kepada kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing untuk membolehkan bantuan segera diberikan.

Ketua MCA Jerantut, Datuk Lau Lee berkata, jabatan dan agensi di negeri ini mempunyai dana yang mencukupi untuk membantu menyelesaikan keperluan kebajikan penduduk.

Beliau berkata, jabatan kerajaan peringkat negeri dan Persekutuan akan bertindak segera jika mendapat laporan dan permohonan menerusi pemimpin BN, penghulu dan JKKK agar penduduk tetap hidup selesa menjalani rutin harian.

"Jangan percaya pihak pembangkang yang masuk ke kampung dan datang ke rumah kita dengan melemparkan dakyah mengatakan kerajaan negeri dan agensi berkenaan tidak mampu untuk menangani kebajikan penduduk.

"Ini bohong semata-mata kerana mereka ingin memancing pengaruh lebih-lebih lagi hari mengundi semakin hampir," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan untuk tiga buah keluarga mangsa ribut di Taman Muhibbah di sini semalam.

Sempena program turun padang itu, Lee telah menyumbangkan peralatan binaan bernilai RM3,000 kepada mangsa berkenaan untuk membaik pulih kediaman yang dipukul ribut dua hari lalu.

Menurut beliau, agensi kerajaan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat daerah, balai penghulu dan jabatan lain bersedia membantu jika penduduk menghadapi kesulitan seperti bencana alam, penyakit kronik dan masalah lain.

"Pemimpin parti komponen BN negeri kerap turun padang menjelajah ke kampung dan taman perumahan untuk mendengar masalah penduduk dan mereka boleh membuat aduan supaya dapat dipertimbangkan bantuan.

"Kita berharap penduduk yang ada masalah kebajikan tampil mengadu supaya bantuan segera dapat disampaikan untuk menjamin mereka lebih selesa sesuai dengan 'Janji Ditepati'," katanya.

Sehubungan itu, Lee yang juga Naib Pengerusi MCA Pahang berkata, penduduk tidak perlu mendengar hasutan pembangkang yang hanya bertujuan menimbulkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

Tambahnya, lebih penting, penduduk menyalurkan maklumat atau masalah kebajikan menerusi agensi dan pihak yang diiktiraf oleh kerajaan agar bantuan segera dihulurkan.

Parti bawa pembangunan harus diberi mandat

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

KUALA LIPIS 10 April - Rakyat negeri ini digesa memberikan mandat kepada pemimpin yang mampu melakarkan perubahan dan pembangunan untuk transformasi ekonomi negeri pada masa akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemimpin berintegriti yang menjadi pilihan akan terhutang budi serta bertanggungjawab untuk memastikan rakyat dan negeri ini meniti landasan pembangunan moden dan kesejahteraan.

Beliau berkata, penduduk sepatutnya menggunakan kematangan menilai dan memilih pemimpin yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat termasuk mencorakkan pembangunan setempat menerusi agenda transformasi yang telah digariskan.

"Berilah mandat kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lebih memahami denyut masalah dan kebajikan penduduk termasuk Orang Asli, selain tahu merencana pembangunan untuk kesejahteraan semua.

"Sejak sebelum dan pasca merdeka, pemimpin Perikatan dan BN yang berbilang kaum sentiasa memfokus kebajikan dan pembangunan kerana mereka tahu sebenarnya itulah keperluan rakyat setempat," katanya kepada pemberita selepas program ziarah di Felda Sungai Koyan 2 dan Sungai Koyan 3 dekat sini semalam.

Sempena program itu, Wan Rosdy singgah di rumah enam warga emas yang uzur dan turut menyampaikan bantuan kepada penduduk berkenaan.

Yang hadir sama, Penghulu Mukim Jelai, Abdullah Zawawi Kamaluddin.

Menurut Wan Rosdi, ini bertentangan dengan hasrat pemimpin pembangkang sejak dahulu lagi ingin berkuasa, tetapi pada masa yang sama menabur janji kosong dan suka menggalakkan perpecahan.

Katanya, pembangunan juga seiring dengan usaha pemimpin BN menangani masalah kebajikan dan merangsang pelbagai perubahan dalam kehidupan rakyat sesuai dengan misi dan visi wawasan negara.

Wan Rosdy berkata, peruntukan yang besar bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan selaras dengan intipati manifesto BN khususnya untuk penduduk luar bandar negeri ini.

"Pemimpin BN negeri sentiasa berusaha menaik taraf hidup rakyat dengan pelbagai projek pembangunan termasuk bantuan kebajikan, namun tidak dapat dicapai sekiranya penduduk tidak memberi sokongan padu," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan