Khamis, 4 April 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Demi keselesaan penghuni

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (bertopi) diiringi Shafei Abdullah (depan, empat dari kiri) tekun mendengar penerangan daripada seorang mangsa kebakaran di Kampung Puah dalam lawatan dan penyerahan sumbangan di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR 3 April - Seramai 17 keluarga mangsa kebakaran di Batu 3 3/4 Kampung Puah, Jalan Gombak di sini ditawarkan mendiami unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, tawaran itu diharap dapat memberi keselesaan kepada mangsa dan keluarga yang kini ditempatkan sementara di Madrasah Nazariah berhampiran.

Menurutnya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga memberi pengecualian sewa selama tiga bulan bagi meringankan beban ditanggung selepas kejadian.

"Mereka boleh berpindah dalamtempoh terdekat ini .

"Dalam masa sama, DBKL akan meneliti kekosongan unit di PPR berdekatan jika terdapat antara mangsa menghadapi kesukaran untuk berpindah ke sana atas faktor tertentu," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke lokasi di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju, Datuk Shafei Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang semalam, sebanyak 18 buah rumah setinggan di kawasan itu musnah dijilat api namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Menurut Raja Nong Chik, berikutan tiada kekosongan di PPR berdekatan, hanya PPR Pinggiran Bukit Jalil ditawarkan kepada mangsa.

Raja Nong Chik menambah, kawasan setinggan yang menjadi penempatan mangsa sebelum ini termasuk dalam rancangan kerajaan untuk dibangunkan kelak.

"Ia akan dibangunkan untuk jangka masa panjang, dan sudah tentunya kepentingan penduduk tidak akan dipinggirkan,"jelasnya. penduduk," tegasnya.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Muhamad Johanis Mohd Razib, 33, berkata, kejadian kebakaran di kawasan itu merupakan kali kedua berlaku namun sebelum ini hanya melibatkan lapan buah rumah.

"Ketika kejadian saya bekerja. Ketika sampai, rumah saya sudah musnah dijilat api, namun bersyukur semua ahli keluarga selamat termasuk dokumen penting," ujarnya.

Seorang lagi mangsa, Fazidayu Mohd Nazir, 32, berkata, mereka sekeluarga mengalami kerugian kira-kira RM30,000 akibat kejadian itu.

"Saya bersyukur atas keprihatinan menteri, DBKL dan UMNO waWangsa Maju turun padang dan membantu kami sekeluarga dan mangsa lain,"katanya.

Dalam perkembangan sama, Raja Nong Chik turut mengulas mengenai pembubaran parlimen yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

"Strategi mesti mahu menang. Selama empat tahun pelbagai program dilaksanakan di seluruh Wilayah Persekutuan dalam usaha menawan kembali kerusi-kerusi yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) lalu. Jadi, buat masa sekarang hanya menunggu penamaan calon," katanya.

Killiney Kopitiam sumbang RM20,000 kepada Rumah Aman 2

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

Ahmad Ramzi Mohamad Zubir (tengah, baju hitam) berkongsi kegembiraan dengan anak-anak yatim selepas majlis sumbangan kepada Rumah Aman 2 di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR 3 April - Menyedari kepentingan membela nasib anak-anak yatim, rangkaian Kopitiam Killiney tampil menghulurkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada pusat perlindungan Rumah Aman 2, di Saujana Utama di sini.

Pengerusi Eksekutif Estinwira Sdn. Bhd., Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, sumbangan itu bagi membantu pengurusan Rumah Aman 2 membeli keperluan harian penghuninya memandangkan mereka baru berpindah dari premis lama di Seksyen 2 di sini Januari lalu.

"Kita faham untuk mengendalikan rumah anak yatim terutamanya yang baru berpindah memang memerlukan kewangan besar.

"Kami juga bercadang memberi bantuan dari segi kelengkapan belajar seperti komputer, projektor serta buku-buku sekolah untuk penghuni rumah perlindungan tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan itu kepada pengasas Rumah Aman, Abdul Rehman Dakri di sini hari ini.

Ahmad Ramzi berkata, pihaknya berbangga kerana menjadi syarikat muslim pertama menghulurkan sumbangan kepada rumah anak yatim tersebut.

"Kami sangat berbesar hati dapat membantu dan diharapkan lebih banyak syarikat korporat terutamanya yang dimiliki usahawan Islam tampil menghulurkan bantuan kepada rumah anak-anak yatim ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Rehman berkata, pihaknya berterima kasih atas keprihatinan Kopitiam Killiney yang sudi membantu Rumah Aman meneruskan operasi dengan sempurna.

Dalam masa sama, tambah beliau, pihaknya kini mengalu-alukan kira-kira 50 anak yatim lelaki dari seluruh negara untuk meneruskan kehidupan di rumah tersebut.

"Anak-anak yatim yang diterima masuk di sini akan ditanggung sepenuhnya sehingga mereka mencecah umur 18 tahun," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh mengunjungi Rumah Aman 2 di alamat No. 51 Jalan Seroja 1/1, Sungai Buloh Country Resort, Saujana Utama di sini, atau menghubungi Abdul Rehman di talian 016-2062546.

MPS laksana sistem 'siapa cepat, dia dapat'

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

SELAYANG 3 April - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan melaksanakan sistem terbuka 'siapa cepat dia dapat'bagi menyelesaikan isu segelintir pemandu teksi yang memonopoli kawasan di bandar Rawang.

Sistem tersebut akan dijalankan di Terminal Bas dan Teksi Pekan Rawang dan Stesen KTM Komuter Rawang berkuatkuasa 15 April ini selama sebulan.

Yang Dipertua MPS, Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, langkah itu diharap dapat menyelesaikan masalah pemandu teksi berebut dan bergaduh untuk mendapatkan pelanggan sebelum ini.

Menurutnya, isu tersebut telah lama dibangkitkan kepada MPS oleh dua persatuan teksi iaitu Persatuan Teksi Bajet Rawang dan Persatuan Kebajikan Teksi Rawang.

"Persatuan Teksi Kebajikan Rawang sebelum ini mempersoalkan ada persatuan teksi lain memonopoli kawasan itu sehingga mereka kehilangan pelanggan, sedangkan persatuan telah membayar sewa kepada syarikat operator parkir di Stesen KTM Rawang, selain gangguan daripada kereta sapu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan sesi dialog bersama wakil dua persatuan terlibat dan wakil SPAD di MPS, hari ini.

Menurutnya, selain menyerahkan semula petak parkir kepada syarikat operator, MPS akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan setiap hari, manakala secara berkala oleh SPAD.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan