Khamis, 4 April 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Jasin Sentral mercu tanda baharu Jasin

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

Mohd. Ali Rustam melawat Jasin Sentral yang menempatkan perhentian bas, teksi, pasar raya Econsave dan kedai-kedai selepas majlis perasmiannya di Jasin, Melaka, kelmarin.

JASIN 3 April - Jasin Sentral yang menempatkan terminal bas dan teksi di bandar ini, kini menjadi mercu tanda baru bagi Jasin hasil kerjasama Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan pasar raya Econsave Cash and Carry Sdn. Bhd. (Econsave).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, terminal di tapak seluas 0.8 hektar itu yang dinaik taraf pihak Econsave dengan nilai mencecah RM3 juta, juga dilihat bakal memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, kawasan lebih selesa dan strategik itu turut akan membantu meningkatkan pendapatan para pengusaha teksi dan bas selain memberi ruang kepada peniaga kecil menjana ekonomi sendiri.

"Selain pasar raya, Jasin Sentral turut menempatkan sebanyak 12 gerai jualan bagi peniaga kecil serta ruang menunggu berhawa dingin dan kemudahan internet tanpa wayar secara percuma untuk orang ramai," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Jasin Sentral dan Econsave Jasin di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Yunos Husin; Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Murad Husin.

Jelas Mohd. Ali, lebih banyak projek perkongsian melalui dasar penswastaan akan dapat dilaksanakan melalui persefahaman antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan syarikat swasta.

"Konsep perkongsian seperti ini merupakan sesuatu yang patut dicontohi dan diharap dapat diperluaskan lagi ke pekan-pekan kecil seperti di Merlimau, Masjid Tanah dan kawasan-kawasan lain," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Hamdan Mohd. Sharif, 48, berkata, projek menaik taraf Jasin Sentral amat diharapkan kerana mampu memberi keselesaan selain memudahkan para peniaga dan masyarakat setempat.

"Projek ini memberi peluang kepada peniaga mencari pendapatan lebih namun PBT perlu memantau jenis perniagaan yang beroperasi supaya lebih pelbagai dan mampu menarik ramai pengunjung," ujarnya.

Seorang penduduk tempatan, Zulkifli Kalil, 43, pula memberitahu, dia gembira dengan adanya kemudahan serba moden di Jasin Sentral.

"Dengan adanya kemudahan seperti ini, orang ramai tidak perlu bersusah payah mendapatkan perkhidmatan bas dan teksi selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi orang ramai," tambahnya.

Padang sintetik pertama di negara ini

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

Padang rumput sintetik jenis fieldturf yang telah siap dipasang di padang Kompleks Belia dan Sukan Paroi yang terletak di kawasan Ampangan.

SEREMBAN 3 April - Kompleks Belia dan Sukan Paroi yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, dekat sini mendapat penghormatan sebagai lokasi pertama pemasangan padang sintetik jenis 'fieldturf' di negara ini.

Kerja-kerja memasang padang sintetik itu bermula 10 Januari lalu dan telah siap pada 1 Mac dengan menelan belanja lebih RM2.4 juta yang dibuat secara Private Finance Initiative II (PFI II).

Sebanyak 30 padang bola sepak sintetik telah dicadangkan untuk dibina di seluruh Malaysia dengan anggaran peruntukan sebanyak RM50 juta oleh Kementerian Kewangan yang disediakan di bawah peruntukan PFI II.

Sebanyak lima padang bola sepak itu akan dibina di Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perlis dalam fasa pertama dengan Syarikat Blondal All-Turf telah dilantik bagi melakukan kerja pemasangan tersebut.

Padang bertaraf antarabangsa itu mempunyai akreditasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA dan digunakan dalam pertandingan sukan di luar negara.

Pembinaan padang bola sepak sintetik itu merupakan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sukan tiga Bulan Tanpa Henti untuk belia Melaka

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

MELAKA 3 April - Jabatan Ketua Menteri melalui Bahagian Sahabat Belia kini sedang menganjurkan Program Santai Belia dan Sukan Tiga Bulan Tanpa Henti 2013 melibatkan beberapa jenis sukan dan aktiviti untuk rakyat negeri ini khususnya golongan belia.

Pengarah Bahagian Sabahat Belia, Mohd. Firdauz Hamzah berkata, program yang bermula sejak Februari dan berakhir pada Mei ini diadakan bagi mencapai objektif Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang mahu menjadikan Melaka dikenali sebagai sebuah negeri belia dan sukan.

Melalui program ini jelasnya, Ketua Menteri mencadangkan sebanyak enam jenis sukan termasuklah drag challenge (sprintest), kayak, tenis, bola sepak, futsal dan berbasikal untuk dijalankan.

Menurut beliau, setiap daripada sukan itu pula mempunyai agensi angkat bagi melancarkan setiap aktiviti yang dianjurkan.

"Program selama tiga bulan tanpa henti ini diadakan bagi mengisi masa lapang golongan belia dalam negeri ini dengan aktiviti riadah dan bersukan,

"Dengan adanya program seperti ini, ia akan membantu melahirkan atlit sukan berkemahiran yang sekali gus meningkatkan pencapaian negeri dalam bidang sukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program tersebut di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Antara agensi dan badan kerajaan yang terlibat menjayakan program ini termasuklah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, Yayasan Melaka, Syarikat Air Melaka, Bahagian Perbadanan Ketua Menteri dan Majlis Sukan negeri.

Selain itu Mohd. Firdauz berkata, program berkenaan juga mampu mengurangkan aktiviti tidak berfaedah di kalangan belia seperti merempit dan melepak serta mengelak mereka dari terlibat dengan dadah sekaligus membantu mengurangkan kadar jenayah negeri ini.

"Oleh yang demikian, golongan belia dari seluruh negeri ini dijemput menyertai semua aktiviti yang dijalankan kerajaan negeri yang amat bersesuaian dengan kehendak remaja," gesanya.

Tambahnya, beberapa aktiviti telahpun mula dijalankan sejak Januari lalu seperti pertandingan sprintest, kayak, bola sepak dan berbasikal.

"Kesemua aktviti ini diadakan di beberapa lokasi berbeza termasuk di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka bagi sprintest, Taman Rempah dan Dataran Sungai Melaka bagi kayak, tenis di Kompleks Tenis Hang Tuah Jaya dan bola sepak di Stadium Hang Jebat," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan