Isnin, 15 April 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


31 rumah, premis perniagaan rosak

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

Khemah majlis perkahwinan terbalik dan menghempap bumbung rumah selepas ribut melanda Taman Anggerik, Telok Kemang, Negeri Sembilan, awal pagi semalam.

TELOK KEMANG 14 April - Sebanyak 31 buah rumah dan premis perniagaan mengalami kerosakan akibat dipukul ribut yang melanda sekitar Port Dickson dekat sini awal pagi ini.

Kejadian berlaku pada pukul 1.20 pagi itu turut menyebabkan papan tanda, bendera parti politik dan tiang elektrik tumbang.

Penduduk, Norisah Abdul Latif, 56, berkata, selain rumahnya mengalami kerosakan, deretan khemah yang dipasang sempena meraikan majlis perkahwinan anaknya turut diterbangkan angin dan menimpa bumbung rumah jirannya.

"Namun mujurlah majlis telah selesai semalam. Angin tiba-tiba bertiup sangat kuat dan beberapa minit selepas itu berlaku hujan.

"Setelah reda, saya melihat khemah dan tiang lampu menghempap rumah saya dan jiran-jiran," katanya yang menginap di Taman Anggerik dekat sini.

Penduduk di Kampung Air Meleleh, Md. Rusdi Hamid, 63, memberitahu, beberapa perabot di dalam rumahnya rosak selepas atap rumahnya diterbangkan ribut.

"Antaranya tilam, perabot dan beberapa peralatan elektrik. Ini pengalaman kedua berlaku selepas kali pertama tahun lepas. Kerugian dianggarkan sebanyak RM20,000 bagi memulihkan keadaan seperti sedia kala," jelasnya.

Peniaga, Sahar Jantan, 56, berkata, dia mengetahui khemah tempatnya berniaga rosak selepas menerima panggilan telefon berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3 pagi.

"Khemah dan pelbagai pakaian yang dijual rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Ini menyebabkan saya tidak dapat menjalankan perniagaan sehingga segala kerosakan dibaiki dan membeli pakaian baru daripada pembekal.

"Apa yang mengecewakan, kejadian ini berlaku pada hari minggu yang menjadi tumpuan pelancong," ujar peniaga di pesisir pantai Telok Kemang itu.

Sementara itu, Pegawai Barisan Nasional (BN) Telok Kemang, Kamil Aziz memberitahu, semua kerosakan rumah penduduk di kawasan Parlimen Telok Kemang yang terlibat dalam ribut itu akan dibaiki.

"Pengerusi BN Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah mengarahkan pegawainya untuk melihat kawasan rumah penduduk yang terlibat bagi menilai kos untuk membaikinya.

"Penilaian awal kami mendapati sebanyak 31 rumah terlibat yang mana anggaran membaik pulih ialah sebanyak RM100,000," katanya.

Sembilan rumah rosak akibat ribut

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

Salleh Hassan hanya mampu melihat bumbung ruang tamu rumahnya diterbangkan angin di Taman Desa Molek, Air Molek, Melaka pagi semalam.

MELAKA 14 April - Sebuah rumah di Taman Desa Molek, Ayer Molek di sini rosak teruk dalam kejadian ribut yang melanda taman itu awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, lapan lagi rumah masing-masing lima rumah di Taman Bemban Utama, dua rumah di Taman Bemban Baru dan sebuah rumah Taman Bemban, Jasin turut mengalami kerosakan kecil di bahagian bumbung.

Salleh Hassan, 47, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri, Rafidah Rosli, 38, dan empat anak mereka sedang nyenyak tidur.

"Hujan lebat disusuri angin kencang secara tiba-tiba telah menerbangkan bumbung di bahagian tempat letak kereta dan di bahagian ruang tamu.

"Saya bertambah panik apabila air hujan mula memasuki rumah menyebabkan anak-anak saya mula menangis.

"Bagaimanapun, syukur anak-anak saya semuanya selamat cuma saya mengalami sedikit luka kecil ketika cuba menyelamatkan beberapa barang termasuk kereta dan motor ketika kejadian," katanya.

Selain bumbung rumah dan tempat letak kereta, turut mengalami kerosakan ialah beberapa tingkap di bahagian depan rumah.

Menurut Salleh yang bekerja di sebuah kilang, jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM10,000.

Sementara itu, seorang penduduk di Taman Bemban Baru, Maruwan Endun, 48, berkata, sebelum kejadian hujan agak lebat diikuti angin kencang.

"Ketika kejadian, saya bersama lapan ahli keluarga nyenyak tidur tetapi dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat secara tiba-tiba.

"Pada awalnya, saya ingatkan ada benda jatuh atas bumbung rumah, rupa-rupanya bumbung rumah kami tercabut dan air terus masuk ke dalam ruang tamu dan bilik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan