Selasa, 23 April 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Balik Pulau terus maju bersama BN

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
utusanp.pinang@utusan.com.my

Rangkaian jalan raya bertaraf lebuh raya melalui kawasan berbukit tanpa menjejaskan alam semula jadi dari Teluk Kumbar ke Balik Pulau merupakan satu lagi projek kerajaan BN yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.

BALIK PULAU 22 April - Pekan Balik Pulau yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong, bukanlah asing buat penduduk Pulau Pinang.

Biarpun pekan kecil ini terselindung di sebalik bukit yang memisahkan Balik Pulau dan kawasan lain, pembangunannya tetap dirasai.

Siapa sangka pekan yang dahulu terlalu jauh untuk dilawati kini mempunyai kemudahan infrastruktur yang boleh dikatakan terbaik sehingga berdirinya beberapa institusi pengajian tinggi seperti kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kesungguhan membawa institusi pengajian tinggi awam itu ke Balik Pulau menunjukkan betapa komited pemimpin Barisan Nasional (BN) tempatan mahu menjadikan kawasan tersebut sebagai hab pendidikan di negeri ini.

Walaupun BN merupakan pembangkang di negeri ini kini, kebajikan penduduk Balik Pulau tidak sesekali dilupakan atau diabai.

Pelbagai peruntukan disalurkan seperti elaun sara hidup nelayan, subsidi diesel dan baja serta usaha-usaha daripada agensi Kerajaan Persekutuan seperti GiatMara dalam membangunkan sosioekonomi penduduk.

Terbaharu, dalam merealisasikan impian melahirkan setiap rumah di kawasan berkenaan dengan sekurang-kurangnya satu kemahiran, GiatMara telah berkampung selama dua hari di Kuala Sungai Pinang untuk menjalankan bengkel dan menarik penduduk setempat bagi mendalami ilmu-ilmu kemahiran.

Seorang nelayan, Zulkifle Hassan, 53, berkata, dia terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan BN dalam membantu meringankan beban rakyat.

"Bayangkan sebagai nelayan, adakalanya kami turun ke laut langsung tidak membawa pulang hasil. Jadi dengan elaun sara hidup yang diberikan secara bulanan oleh kerajaan sedikit sebanyak meringankan beban kami," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Selain itu, seorang lagi penduduk, Lok Nyok Sin, 66, memberitahu, dia gembira dan sangat berpuas hati dengan dasar-dasar kerajaan yang begitu memahami keperitan rakyat.

"Langkah memperkenalkan pelbagai insentif jelas menunjukkan kerajaan begitu mengambil berat terhadap beban rakyat.

"Jadi besar harapan rakyat seperti kami supaya pendekatan seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa hadapan," jelasnya.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, Balik Pulau mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai bandar lestari moden dan hab pendidikan.

Katanya, sudah menjadi agenda utama beliau sejak kali pertama menjadi wakil rakyat pada 2004 untuk memastikan pendidikan di Balik Pulau dibangunkan.

"Pendidikan ini penting dalam memastikan generasi muda Balik Pulau hari ini dapat bersaing dan tidak ketinggalan daripada arus pembangunan apabila negara mencapai taraf negara maju kelak.

"Sebab itu saya mahu pembangunan Balik Pulau dirancang dengan baik tanpa menjejaskan kehijauan dan pembangunan institusi pengajian tinggi diberi perhatian kerana saya tidak mahu lagi selepas ini anak muda kawasan ini hanya belajar setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Tunjukkan bukti - Ahmad Bashah

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 22 April - Barisan Nasional (BN) Kedah hari ini menafikan mempunyai sebarang kaitan berhubung kain rentang yang mempunyai unsur fitnah dan provokasi yang digantung di beberapa kawasan di negeri ini seperti didakwa oleh Pas Kedah.

Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, selain menempelak tuduhan yang dianggap melulu itu, BN turut menuntut agar pihak terbabit mengemukakan bukti tentang tuduhan tersebut.

"'Apa bukti yang menunjukkan BN bertanggungjawab menggantung kain rentang ini? Ini adalah tuduhan melulu tanpa bukti. Jika ada bukti tunjukkan.

"Seluruh jentera pilihan raya parti berada dalam mood semangat berkobar-kobar untuk membantu parti tetapi kita sekali-kali tidak akan bertindak di luar undang-undang sehingga mencemar keharmonian ramai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Kedah mengulas kenyataan Pas Kedah pada sidang akhbar hari ini yang mendakwa BN terlibat dalam mengantung kain rentang berunsurkan provokasi dan fitnah di beberapa kawasan, termasuk di bandar raya ini.

Setiausaha Jabatan Pilihan Raya Pas Kedah, Zamri Ibrahim mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam atau pihaknya akan mengambil tindakan sendiri menurunkan kesemua bendera tersebut jika tidak sebarang tindakan diambil.

Sementara itu, Pengarah SPR Kedah, Juhari Abd. Rahman SPR ketika dihubungi memberi amaran petugas pilihan raya Pas Kedah itu agar tidak mengambil tindakan sendiri sehingga melanggar peraturan di bawah Akta Kesalalah Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata, pihak terbabit dinasihatkan membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan seterusnya mengambil tindakan mengikut undang-undang.

"Jangan ambil tindakan sendiri. Buatlah laporan kepada pihak berkuasa SPR atau polis. Kami akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

"Sebarang tindakan sendiri dikhuatiri hanya mencetuskan kekecohan dan mengugat keharmonian ketika tempoh berkempen ini," katanya di sini hari ini.

Kata Juhari, pihaknya telah berulang kali mengingatkan semua parti, calon bertanding mahupun petugas pilihan raya parti masing-masing supaya mematuhi semua peraturan ditetapkan demi keharmonian sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

BN bertekad bangunkan Pokok Sena demi rakyat

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

SHAHLAN Ismail (dua dari kanan) dan Mukhtar Md. Noor (kanan) beramah mesra dengan para peniaga Pasar Tani Langgar di Pokok Sena, Kedah, semalam.

POKOK SENA 22 April - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Shahlan Ismail berazam untuk membangunkan infrastruktur di kawasan itu termasuk menaik taraf pasar Pokok Sena demi keselesaan semua pihak jika diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat di situ.

Beliau berkata, kawasan Pokok Sena berpotensi dimajukan dan antara janji yang ditawarkannya kepada pengundi di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah untuk membangunkan kawasan tersebut.

"Kita mempunyai iltizam untuk membangunkan infrastruktur di Pokok Sena, sebab itu kita minta mandat daripada rakyat. Seharusnya penduduk di sini menikmati infrastruktur yang berkualiti seperti di pasar serta kebersihan persekitaran lebih baik.

"'Insya-Allah wawasan ini dapat ditepati oleh kerajaan yang stabil seperti BN," katanya kepada pemberita selepas melawat pasar pagi di Pekan Langgar di sini hari ini.

Beliau bergandingan dengan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang, Muhd. Mukhtar Noor yang juga gurunya meluangkan masa lebih sejam beramah mesra dengan peniaga serta pelanggan di pasar berkenaan sebagai rutin kempen pilihan raya selepas penamaan calon kelmarin.

Shahlan berkata, antara perkara yang akan beliau beri perhatian jika dipilih sebagai wakil rakyat di Parlimen itu ialah meningkatkan keselesaan pasar Pokok Sena yang berusia lebih 50 tahun.

Katanya, kerja-kerja tersebut akan dilakukan dengan mengambil kira semua aspek termasuk kepentingan penjaja di kaki lima kerana prinsip BN ialah menggalakkan masyarakat berniaga.

"Kalau kita tidak bela nasib peniaga siapa lagi hendak diharapkan. Kita memahami denyut nadi rakyat dan saya akan berhubung dengan pihak-pihak bertanggungjawab untuk membincangkan perkara ini.

"Kita akan kembalikan khidmat terbaik kepada rakyat dengan menyediakan kemudahan yang selesa kepada mereka bersesuaian dengan wawasan Pokok Sena Maju sekiranya pengundi sudi memberi mandat," katanya.

Sementara itu, Muhd. Mukhtar berkata, walaupun Pokok Sena terletak bersebelahan dengan Alor Setar yang semakin maju namun kawasan itu masih ketinggalan khususnya dari segi pembangunan.

"Kalau beri kepercayaan kepada kami, Insya-Allah Pokok Sena akan menempoh era baru dalam pembangunan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan