Rabu, 17 April 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


DUN Kuala Semantan tidak diabai

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

HAMPIR kesemua institusi kewangan dan perbankan utama terdapat di bandar Temerloh yang terletak dalam kawasan DUN Kuala Semantan.

TEMERLOH 17 April - Kedai Ikan Patin Pak Usup yang terletak di deretan gerai Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di Lurah Semantan cukup sinonim bagi penggemar masakan ikan patin gulai tempoyak di bandar Temerloh.

Sejarah bandar Temerloh bermula di Lurah Semantan sebagai pusat perniagaan dan pertukaran barangan dagangan yang dikenali sebagai bandar Temerloh lama.

Sejarah bandar itu yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan menjadi pertemuan dua sungai iaitu Sungai Pahang dan Sungai Semantan menyebabkannya berkembang pesat walaupun kerusi itu sekarang dimenangi oleh Pas.

Daripada sebuah bandar kecil, Kuala Semantan kini membangun dan berkembang sehingga hampir tidak mampu lagi menampung pembinaan bangunan-bangunan baharu.

Bagi memenuhi keperluan golongan peniaga, satu lagi kawasan perniagaan baharu dibangunkan yang dikenali sebagai bandar baharu Temerloh.

Bagi penduduk Temerloh, kawasan perniagaan terutama gerai makan Lurah Semantan mempunyai nostalgia yang tersendiri kerana menjadi pusat pertemuan dan pertukaran barangan sejak ratusan tahun dahulu semasa sungai menjadi laluan utama pengangkutan.

Selain terkenal dengan ikan patin, laluan Lurah Semantan sepanjang lebih satu kilometer itu menjadi tumpuan orang ramai dan juga pelancong pada setiap hari minggu untuk membeli barangan keperluan harian di pekan sehari.

Pekan sehari itu direkod sebagai pekan sehari terpanjang di negara ini menempatkan lebih 250 peniaga kecil yang datang dari seluruh pelosok daerah termasuk peniaga dari Kuantan, Maran, Jerantut, Bentong, Bera dan sebagainya.

Pasar itu menjadi tumpuan kerana terdapat pelbagai jenis jualan barangan terutamanya barangan dapur, ikan sungai, sayur-sayuran dan ulam kampung yang tidak terdapat di kedai-kedai runcit biasa boleh didapati di sini.

Penduduk di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan turut tidak ketinggalan menerima pelbagai program ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun kerusi DUN itu dikuasai pembangkang.

Antara projek ekonomi yang dilaksanakan bagi membantu penduduk di kawasan berkenaan menambah pendapatan melalui skim pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, skim pembiayaan mikro tanpa faedah, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sebagainya.

Menerusi pinjaman tersebut mereka boleh menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti membuka perniagaan secara-kecil-kecilan dengan membuka gerai, ternakan ikan sungai, penanaman sayur-sayuran dan sebagainya.

Menurut Penyelaras Barisan Nasional (BN) DUN Kuala Semantan, Muhammad Anuar Mohd. Yunus, kesemua bantuan yang disalurkan itu bertujuan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dalam usaha untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

''Kesemua bantuan yang disalurkan itu diberikan kepada mereka yang layak tanpa mengambil kira sama ada mereka penyokong kerajaan BN ataupun tidak.

''Sebagai contohnya, skim pembiayaan mikro tanpa faedah yang dilancarkan baru-baru ini banyak membantu peniaga dan penjaja kecil berdaftar di sekitar DUN Kuala Semantan.

''Skim tersebut banyak membantu mereka bagi meningkatkan atau menambah modal dan membeli peralatan tetapi tidak membebankan kerana skim tersebut merupakan pembiayaan tanpa faedah, tanpa cagaran dan tanpa penjamin," kata Muhammad Anuar.

Malah katanya, mereka yang memohon skim itu dikecualikan daripada rujukan kredit, Credit Tip Of Service Sdn. Bhd. (CTOS) dan tempoh bayaran balik antara lima hingga sembilan tahun.

Selain itu, bagi penduduk yang ingin menternak ikan sangkar seperti ikan patin dan talapia di Sungai Pahang turut diberikan bantuan modal menerusi pinjaman TEKUN, AIM dan Mara.

Pinjaman yang disediakan berjaya membawa sinar baharu kepada para peserta dan peminjam terbabit apabila menambah pendapatan keluarga serta menikmati kehidupan yang lebih baik.

Muhammad Annuar berkata, menerusi program ekonomi seperti itu membuktikan kerajaan BN tidak pernah mengabai atau menganaktirikan penduduk yang tinggal di kawasan yang dimenangi pembangkang kerana menjadi matlamat kerajaan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengambil kawasan itu DUN pembangkang atau BN.

''Bagi golongan muda terutamanya mereka yang tercicir dalam akademik pula, kerajaan menyediakan pelbagai institusi kemahiran yang terdapat dalam Parlimen Temerloh bagi melatih golongan tersebut seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti dan Pusat Latihan GiatMara," kata beliau.

Menerusi institusi tersebut, ilmu kemahiran yang dipelajari para belia dapat dimanfaatkan kepada mereka untuk mencari pekerjaan dalam bidang automotif seperti di bengkel membaiki kenderaan, motosikal, mengimpal dan sebagainya.

Malah melalui agensi berkaitan, kerajaan turut menyediakan bantuan modal untuk membantu mereka menjadi usahawan dengan membuka perniagaan sendiri seperti kedai jahitan, bengkel kimpalan, kereta, motosikal, mengecat kenderaan dan sebagainya.

Selain itu, pembangunan fizikal yang sangat dihargai penduduk pastinya Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh atau lebih dikenali sebagai Hoshas.

Hospital yang dibina dengan kos sebanyak RM480 juta itu bagi menggantikan Hospital Mentakab yang telah beroperasi hampir satu abad.

Peranannya bukan sahaja kepada penduduk di Temerloh malah menjadi hospital rujukan bagi penduduk daerah Kuala Lipis, Raub, Maran, Bentong, Jerantut dan Bera.

Manifesto tambahan BN Pahang

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh HERMAN HAMID
utusanpahang@utusancom.my

KUANTAN 17 April - Barisan Nasional (BN) negeri akan membentangkan manifesto tambahan tidak lama lagi yang bakal memberi satu lagi khabar gembira buat rakyat negeri ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, antara kandungan utama manifesto itu ialah projek perumahan mampu milik untuk rakyat kurang berkemampuan dan golongan muda termasuk generasi kedua Felda dan penduduk kampung baru.

"Selain yang dikendalikan kerajaan Pusat, kerajaan negeri sendiri akan turut bina rumah mampu milik sehingga 15,000 buah dalam tempoh lima tahun akan datang. Harganya pula antara RM90,000 hingga RM200,000.

"Kita juga berjanji akan menurunkan bayaran lesen perniagaan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 30 peratus. Turut disentuh mengenai kedudukan tanah rumah- rumah ibadat bukan Islam yang akan dikeluarkan geran bukan lagi digazet seperti sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon BN negeri di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Adnan mengakui tugas memaklumkan nama-nama mereka yang digugurkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah satu tanggungjawab yang cukup berat.

Sambil menahan sebak, Adnan berkata, nama-nama yang tidak dipilih bertanding telah dimaklumkan dalam pertemuan pagi semalam dan ada yang dihubungi melalui telefon.

"Saya terpaksa beritahu mereka tidak bertanding lagi. Bukan senang kerja ini. Kita memberitahu orang, apa kita rasa pula bila kita diberitahu orang.

"Namun saya jalankan tugas ini dengan sebaik-baik mungkin dan apa yang diputuskan ini saya harap kita semua terima dengan penuh khusyuk dan tawaduk bahawa ini semua ketentuan Allah. Kepada kawan-kawan yang telah berkhidmat tetapi tidak terpilih saya ucapkan berbanyak terima kasih," katanya.

Dalam majlis itu, Adnan mengumumkan 11 muka baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga di Parlimen di negeri ini.

Sementara itu, Adnan mengingatkan pemimpin UMNO dan BN tidak menjadikan kepentingan peribadi mengatasi keutamaan parti sehingga mewujudkan keadaan tidak harmoni.

"BN wajib menang kerana kita yakin BN boleh jadi kerajaan yang sangat baik dan boleh melakukan keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat berbilang kaum.

"Menukar kerjaan bukan seperti menukar barangan. Hanya kerajaan yang zalim patut ditukar tetapi kerajaan BN sejak merdeka terbukti menjaga kepentingan semua rakyat.

''Dalam proses itu, kita tahu ada kelemahan tetapi kalau dikaji kesemuanya, kekuatan kita mengatasi kelemahan yang ada dan kelemahan ini pun akan diatasi dengan konsep BN," jelasnya.

Adnan dalam ucapan itu turut mengingatkan kepada yang terpilih tidak terlalu ghairah dan yang belum dipilih mereka harus bersabar menunjukkan bukti komitmen mereka kepada parti.

"Kita kena ingat, salah satu sebab rakyat meluat kepada kita kalau kita menunjukkan sikap takbur, sombong, berlagak dan pengundi lebih marah kalau kita bergaduh sesama sendiri.

"Kita boleh lihat bagaimana parti-parti pembangkang berkelahi sesama sendiri, satu kerusi, dua parti umum calon, ini semua menimbulkan kebencian kepada rakyat," jelasnya.

Calon BN tekad rampas Kuantan, Indera Mahkota

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

KUANTAN 17 April - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan bertekad merampas kembali kerusi berkenaan bagi membalas kepercayaan kepimpinan parti kepada mereka.

Calon BN di Parlimen Indera Mahkota, Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata, beliau dan seluruh jentera parti akan bekerja keras bagi mendapat kembali sokongan rakyat di kawasan berkenaan.

''Ini tanggungjawab yang besar dan saya sendiri bukan baharu di Parlimen Indera Mahkota kerana pernah menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan pada 2004 hingga 2008 lalu.

''Kita percaya mampu meraih keyakinan pengundi Indera Mahkota kerana pembangkang yang memenangi kerusi ini gagal membawa kesejahteraan kepada rakyat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, BN kalah di dua daripada 14 kerusi Parlimen di negeri iaitu di Kuantan dan Indera Mahkota kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, calon BN Parlimen Kuantan, Datuk Mohd. Suffian Awang terharu dengan kepercayaan kepimpinan tertinggi UMNO dengan mengetengahkan orang muda sepertinya untuk merampas kembali Parlimen Kuantan.

Beliau yang merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuantan yakin sekiranya BN berjaya merampas kerusi tersebut, pembangunan di bandar ini akan terus dipertingkatkan dan kehidupan rakyat lebih terjamin.

"Saya menyeru warga Parlimen Kuantan untuk bersama-sama dengan saya membangunkan bandar ini sebagai bandar tersohor di Malaysia," ujarnya.

Bagi calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah, Datuk Mohd. Hazmi Yusoff, beliau yakin kerusi tersebut akan kembali semula kepada BN yang sebelum ini dimenangi oleh Pas pada Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota menjelaskan, pihaknya telah berusaha keras membantu penduduk kawasan itu sejak 2008 setelah wakil rakyatnya gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

Katanya, keyakinan itu dapat dilihat apabila beberapa program dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan selain membantu menyelesaikan masalah penduduk termasuk golongan nelayan.

"Penduduk Beserah bakal menikmati kemudahan lebih baik seperti dirancang sebelum ini dan sekiranya berjaya menawan kerusi itu, mereka akan menerima limpahan pembangunan yang lebih banyak," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan