Sabtu, 13 April 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Pembangkang makin berkecamuk

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Oleh Ainol Amriz Ismail
utusann9@utusan.com.my

SEREMBAN 12 April - Pakatan pembangkang dilihat semakin bercelaru di negeri ini ibarat retak menanti belah ekoran isu perebutan kerusi yang terus berpanjangan selain mendapat bantahan terbuka daripada ahli akar umbi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan menunjukkan perpaduan dalam pakatan pembangkang adalah lemah selain bukti pemimpin mereka mempunyai kepentingan sendiri dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.(PRU-13)

"Nampak jelas sesama mereka bercakaran antara satu sama lain termasuk dalam soal Chegu Bard dan calon Pas berebut di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh.

"Dahulu Chegu Bard kata dia akan ikut di mana sahaja Khairy Jamaluddin bertanding, apa sudah jadi. Ada juga pemimpin pembangkang yang terpaksa pindah kawasan selepas dua penggal kerana tidak sanggup kalah kerana selalu temberang," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya, di sini hari ini.

Semalam cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Telok Kemang, Port Dickson menolak Pengerusi PKR negeri, Datuk Kamarul Baharin Abbas sebagai calon di Parlimen Telok Kemang kerana mahu Chegu Bard bertanding di kerusi berkenaan.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, pembangkang selama ini tidak memberikan khidmat kepada rakyat sebaliknya memenangi pilihan raya untuk kepentingan peribadi.

Dalam masa sama, Mohamad memberitahu, cabaran besar wakil rakyat BN ialah mereka perlu mampu bekerja, mempunyai ilmu dan pengetahuan, dapat menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang selain berwibawa.

"Dengan kriteria ini, rakyat akan menanti calon-calon BN untuk dipilih dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sokongan orang muda terhadap BN makin kuat

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

IDRIS Haron (tengah) dan Yaakub Md. Amin (tiga dari kanan) bersama ahli Puteri UMNO Tangga Batu bersemangat melaungkan slogan 1Malaysia dalam Majlis Perlancaran Gerak Gempur Puteri UMNO Parlimen Tangga Batu bagi menghadapi PRU-13 di Dataran Klebang, Melaka malam kelmarin.

MELAKA 12 April - Peningkatan ketara bilangan pengundi muda Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tangga Batu membuktikan sokongan padu daripada golongan tersebut yang sekali gus menafikan kenyataan pembangkang bahawa mereka telah berjaya mempengaruhi orang muda pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron berkata, sehingga kini terdapat lebih 26,000 pengundi golongan tersebut daripada 73,282 yang layak mengundi mengikut daftar pemilih Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Sebanyak 12,600 pula adalah mereka yang mengundi buat kali pertama dan jumlah ini menunjukkan betapa kuatnya sokongan golongan belia dalam memastikan kemenangan besar BN di Tangga Batu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Puteri UMNO Parlimen Tangga Batu di pekarangan Bilik Gerakan Parlimen itu di Klebang di sini malam tadi.

Yang turut hadir Penasihat UMNO Tangga Batu, Datuk Yaakub Md. Amin; Ketua Puteri UMNO negeri, Mas Ermiyati Samsudin dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu, Azlieza Azizan.

Menurut Idris, lebih daripada 45 peratus pengundi di Parlimen itu adalah golongan muda manakala lebih 30 peratus daripadanya merupakan mereka yang mengundi buat kali pertama.

"Oleh itu, adalah mustahil bagi pembangkang untuk menarik sokongan golongan muda dengan meletakkan calon warga emas yang dilihat tidak mempunyai kesamaan dengan golongan tersebut.

"Tindakan tersebut menunjukkan bahawa pembangkang seolah-olah menganggap pilihan raya sebagai medan uji kaji mereka dengan meletakkan calon yang menjangkaui usia untuk bertanding," ujarnya.

Tambah beliau, tindakan pembangkang itu amat bertentangan dengan kepimpinan BN di peringkat nasional yang sentiasa meletakkan orang muda sebagai sasaran utama dalam agenda negara.

"Pelbagai perkara dilaksanakan dan disediakan untuk golongan muda bagi mengukuhkan sokongan yang seterusnya dapat membawa kepada kesinambungan kepimpinan negara pada masa akan datang," katanya.

Peniaga kecil diingat manfaat peralatan perniagaan 1Azam

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

NOORUL Ainur Mohd. Nur (depan, empat dari kanan) bersama para penerima bantuan Kar1sma dalam program 1Azam di Bukit Katil, Melaka semalam.

MELAKA 12 April - Peniaga kecil yang terpilih menerima set peralatan memulakan perniagaan di bawah program 1Azam diingatkan supaya memanfaatkan sepenuhnya peralatan itu dan tidak sesekali menjual atau menyewakan kepada pihak lain bagi mendapatkan keuntungan segera.

Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur berkata, matlamat program 1Azam adalah untuk menjana pendapatan tambahan rakyat miskin dengan menggalakkan golongan itu menceburi bidang keusahawanan.

Menurutnya, adalah menjadi satu kerugian dan kesalahan sekiranya peserta 1Azam menjual atau menyewakan peralatan perniagaan yang diberikan di bawah program itu kepada pihak lain.

"Saya amat berharap supaya set peralatan memulakan perniagaan ini digunakan sepenuhnya oleh peserta 1Azam untuk mengembangkan lagi perniagaan dan menjana pendapatan lebih tinggi.

"Hasrat kerajaan di bawah program ini ialah untuk mengeluarkan peniaga kecil daripada kepompong kemiskinan dan mampu berdikari kerana segala peralatan yang diperlukan disediakan oleh kerajaan secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap dalam program penyampaian bantuan Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) dan program 1Azam di Bukit Katil di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 41 peserta program 1Azam dalam Parlimen Bukit Katil menerima set peralatan memulakan perniagaan masing-masing dan 10 orang kurang upaya (OKU) menerima kad bantuan OKU oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Noorul Ainur berkata, bermula Januari 2011 hingga awal tahun ini, program 1Azam telah memberikan manfaat kepada 106,967 peserta seluruh negara yang mana 70 peratus daripadanya telah berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan melalui aktiviti perniagaan dan keusahawanan.

Beliau berkata, pada tahun ini, kementerian bersetuju menambah 10 lagi pakej baharu menjadikannya 20 pakej ditawarkan, antaranya pakej nasi lemak kukus, air batu campur dan cendol, char koay teow, cucian kereta bergerak dan mesin rumput.

"Penambahbaikan ini adalah sebagai usaha memberikan ruang kepada lebih ramai peserta menyertainya sesuai dengan kebolehan diri masing-masing," katanya.

Katanya, bermula tahun ini juga, setiap peserta 1Azam dikehendaki mengikuti program celik kewangan, latihan asas penggunaan dan pengendalian peralatan yang dibekalkan kementerian sebagai usaha memantapkan lagi pengurusan perniagaan oleh golongan terbabit.

Beliau berkata, pihak kementerian juga akan meninjau prestasi seluruh peserta program itu sekurang-kurangnya tiga kali setahun bagi memastikan matlamat program 1Azam itu mencapai matlamatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan