Selasa, 23 April 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Rakyat bakal terima manfaat

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Subahan Kamal (empat, kiri) sentiasa turun padang bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi penduduk dan mencari jalan penyelesaian bagi kesejahteraan mereka - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

KUALA LUMPUR 22 April - Kerajaan Barisan (BN) membuktikan 'Janji Ditepati' apabila segala program pembangunan dan pembelaan terhadap rakyat terus dilipatgandakan.

Ini diakui sendiri, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Datuk Subahan Kamal.

Menurutnya, kerajaan bukan saja memberikan tumpuan terhadap usaha-usaha pembangunan, sebaliknya terus berusaha memperkasakan bidang pendidikan, modal insan dan sebagainya demi kesejahteraan rakyat secara berterusan.

"Saya mengambil contoh di DUN Taman Templer sendiri, kerajaan BN tidak pernah menganaktirikan sesiapa walaupun ada antara mereka ini menyokong parti pembangkang.

"Kerajaan BN sentiasa membantu dan melindungi golongan yang memerlukan dengan pelbagai insentif yang disediakan.

"Sebagai contoh, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pelbagai bantuan disediakan untuk golongan tersebut seperti Bantuan Orang Tua, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Pesakit Terlantar dan lain-lain," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, untuk rekod sepanjang tahun 2012 kira-kira RM315,000 telah diperuntukkan kepada kira-kira 1,149 penerima bantuan mewakili sebanyak 172 orang (15%) kaum Cina, 460 orang (40%) kaum India dan selebihnya 517 orang (45%) bagi kaum Melayu.

Bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0) pula, sebanyak 11, 365 penerima berkeluarga (RM500) dan 14,461 penerima golongan bujang (RM250) meliputi jumlah keseluruhan melebihi RM9.2 juta.

Sebanyak RM400,000 pula bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti pesakit terlantar, ibu tunggal, mangsa bencana alam, pesakit penyakit kronik, bantuan awal untuk pendidikan, golongan miskin dan lain-lain.

"Sebanyak lima buah surau baharu pula telah dibina sepanjang tempoh lima tahun selain naik taraf longkang besar di Selayang Baru dan pembangunan pelancongan rekreasi.

"Tidak terkecuali sebanyak RM1,533,648 dibelanjakan untuk kerja-kerja menurap jalan, membaiki longkang, naik taraf dewan serbaguna, bangunan awam, rumah-rumah ibadat termasuk kuil, tokong, gereja dan lain-lain," tambahnya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 2008 hingga 2009, kira-kira RM572,000 telah dibelanjakan melalui program-program pendidikan di 14 buah sekolah di DUN Taman Templer.

Perbelanjaan terbesar adalah menyediakan tuisyen percuma kepada para pelajar.

"Tahap pendidikan di Selayang telah melonjak tinggi. Dahulu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selayang Baru iaitu sekolah tertua di daerah Gombak, peratusan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya 58 peratus .

"Berbeza hari ini sekolah tersebut memperoleh 90 peratus lulus semenjak program itu dilaksanakan kepada para pelajar yang kurang berkemampuan.

"Begitu juga SMK Rawang menjadi sekolah terbaik, SMK Kepong sekolah harian terbaik dan SMK Darul Ehsan sekolah terbaik di Gombak. Ini merupakan satu perkembangan yang cukup bermakna kepada saya," katanya

Subahan berkata, apa yang dilakukan demi memastikan semua pelajar-pelajar di DUN Taman Templer tanpa mengira kaum dan agama mempunyai peluang sama untuk mendapatkan pendidikan.

Berkongsi mengenai buku laporan yang dikeluarkan oleh beliau sepanjang menjalankan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Subahan berkata, buku berkenaan menyenaraikan kerja-kerja yang telah di laksanakan sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat.

"Buku ini membuktikan ia bukan cakap kosong, tetapi realiti kepada usaha-usaha yang telah saya dilaksanakan di Selayang" katanya.

Subahan berkata, kepercayaan yang diberikan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mencalonkan beliau sekali lagi untuk bertanding di DUN berkenaan dalam PRU-13 dianggap sebagai satu penghormatan besar selain kejayaan peribadi hasil gerak kerjanya dalam tempoh lima tahun lalu.

"Saya berazam untuk meneruskan gerak kerja yang boleh membawa perubahan positif kepada kehidupan rakyat Selayang dan Selangor amnya.

"Sekiranya BN diberi mandat memerintah Selangor lebih banyak pembaharuan bakal dilaksanakan,"katanya.

Subahan yang merupakan anak jati Selangor dan dibesarkan di Selayang itu berkata, sepanjang menjadi 'pembangkang' pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi dalam usaha menyelesaikan isu-isu penduduk setempat.

"Kita tiada kuasa dalam kerajaan negeri. Permohonan bantuan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pejabat tanah dan sokongan masyarakat agak sukar kerana mereka melihat kita tiada kuasa.

"Bagaimanapun saya menganggap semua itu ada hikmah disebaliknya apabila pengalaman itu menjadikan saya lebih kuat dan bersedia menghadapi tekanan," katanya.

Ditanya mengenai keyakinan BN untuk merampas kembali Selangor pada PRU-3, beliau optimis berdasarkan kepada sokongan yang ditunjukkan rakyat.

"Para pengundi bukan sahaja di DUN Taman Templer, tetapi juga seluruh Selangor sudah sedar hanya kerajaan BN yang mampu membawa perubahan dan memenuhi aspirasi rakyat,"katanya.

NGO peniaga Cina Wangsa Maju ikrar sokong BN

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Mohd. Shafei Abdullah (dua, kiri) bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Makan Malam Bersama Masyarakat Cina di SK Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR 22 April - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum Cina berikrar menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pertubuhan Perniagaan Wangsa Maju, sebuah badan yang memayungi lebih 300 peniaga kaum itu secara terbuka menyeru masyarakat Cina untuk memilih BN bagi menjamin kelangsungan kemakmuran negara.

Pengerusinya, Jimmy Liew berkata, polisi dan pendekatan BN yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi kunci kekayaan kaum itu di negara ini.

"Sehubungan itu, kepimpinan kini harus diteruskan dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengundi calon yang diletakkan BN di Wangsa Maju demi masa depan yang cerah.

"Ini kerana survival perniagaan kita bergantung kepada perangkaan yang mesra perniagaan oleh BN. Melalui polisi yang stabil, kemajuan sudah sedia terjamin," katanya pada majlis makan malam anjuran NGO itu di sini, semalam.

Majlis yang dihadiri lebih 2,500 masyarakat pelbagai kaum itu turut dihadiri calon BN Wangsa Maju, Datuk Mohd. Shafei Abdullah.

Mengulas lanjut, Jimmy menjelaskan, masyarakat terutama kaum Cina perlu membuka mata dan melihat kemakmuran negara yang dikecapi.

"BN telah sedia mempertahankan kebajikan kita sejak dahulu di samping memastikan hak bagi kita, parti ini juga menjamin pengagihan kemakmuran negara dilakukan sebaik-baiknya," kata beliau.

MCA WP lancar Skuad Helang Biru PRU-13

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Barisan calon MCA Wilayah Persekutuan, (dari kiri) Teoh Chee Hooi, Nicole Wong Siaw Ting, Frankle Gan Joon Zin dan Tan Kok Eng pada majlis pelancaran Skuad Helang dan memperkenalkan calon di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 22 April - MCA Wilayah Persekutuan melancarkan Pasukan Helang Biru bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Tan Sri Tan Chai Ho berkata, Helang Biru adalah simbolik kepada gabungan empat Parlimen yang ditandingi MCA iaitu Bukit Bintang, Cheras, Seputeh dan Bandar Tun Razak.

"Helang dipilih kerana melambangkan keberanian serta kekuatan, sifat itulah akan diambil MCA bagi menghadapi pilihan raya nanti.

"MCA berjanji akan bekerja keras untuk membantu rakyat dan seterusnya memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) yang lebih besar pada pilihan raya nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Helang Biru dan memperkenalkan calon MCA di pusat khidmat parti itu di sini malam ini.

Yang turut hadir calon Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Kok Eng dan calon Seputeh, Nicole Wong Siaw Ting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan