Rabu, 3 April 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Penduduk tarik nafas lega

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 April - Kira-kira 200 keluarga di Kampung Loke Yew, di sini boleh menarik nafas lega selepas kerja-kerja menurap jalan di kawasan itu telah dimulakan sejak pertengahan Mac lalu dan dijangka selesai Mei ini.

Penduduk mendakwa keadaan jalan yang rosak dan tidak diturap sejak 40 tahun itu amat menyukarkan mereka melakukan aktiviti harian.

Seorang penduduk, Ng Yee Kiew, 64 ketika ditemui melahirkan perasaan gembira kerana atas usaha Pasukan Petugas 1Malaysia, MCA Wilayah Persekutuan, impian mereka untuk menikmati jalan yang lebih baik dan sempurna kini tercapai.

Katanya, keadaan jalan di situ yang rosak dan berlubang bukan sahaja menyebabkan kerosakan kenderaan tetapi turut mengancam keselamatan pengguna.

"Biarpun kami telah minta bantuan daripada pelbagai pihak untuk melakukan kerja-kerja menurap namun tiada sebarang tindakan diambil," katanya ditemui ketika Timbalan Ketua Pasukan Petugas 1Malaysia, MCA Wilayah Persekutuan, Frankie Gan Joon Zin mengadakan lawatan ke lokasi di sini, hari ini.

Jirannya, Choong Chee Lan, 63 berkata, sebelum kerja-kerja penurapan dilaksanakan penduduk terpaksa menanggung derita.

Menurutnya, dia terpaksa meletak batu di dalam lubang jalan bagi mengelakkan kenderaan daripada melanggar lubang tersebut.

"Jalan yang diturap ini diharap lebih memudahkan urusan harian kami kerana jalannya lebih luas dan selesa," katanya.

Sementara itu, Frankie Gan Joon Zin berkata, pihaknya berusaha mendapatkan kelulusan dan peruntukan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bagi kerja-kerja penurapan jalan di kampung itu.

Katanya, ia bertujuan memberi keselesaan kepada penduduk di kawasan berkenaan untuk keluar masuk ke kediaman mereka.

"Kemudahan asas seperti ini harus diutamakan dan tidak seharusnya dipandang ringan, malah kampung ini terletak di tengah-tengah bandar dan ia sepatutnya mendapat kemudahan asas yang sama dengan tempat lain.

"Pihak kami akan terus membantu kampung-kampung yang masih tidak mempunyai kemudahan asas," katanya.

Alam Flora cadang jadikan kawasan angkat

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Beberapa kakitangan Alam Flora meletakkan pita plastik sebagai amaran kepada penduduk sekitar agar tidak membuang sampah berhampiran bangunan Nasom di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 2 April - Sebanyak 21 pelajar autisme dan kakitangan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Taman Batu Permai di sini boleh menarik nafas lega apabila Alam Flora Sdn. Bhd. sudah membersihkan longgokan sampah yang menyakitkan mata di situ.

Pengurus Kawasan Perkhidmatan Alam Flora Kuala Lumpur, Nurulhuda Md. Shariff berkata, sampah tersebut dibersihkan serta-merta selepas rintihan pelajar dan guru pusat pembelajaran itu dipaparkan melalui akhbar.

"Kita sememangnya mengutip longgokan itu setiap hari biarpun di lokasi sampah haram, namun selepas keluar di akhbar kita mengambil peluang untuk meletakkan pita plastik di sini sebagai amaran kepada penduduk sekitar yang tidak bertanggungjawab.

"Tambahan pula, Alam Flora tidak memiliki kuasa untuk mengambil tindakan sebaliknya hanya boleh mendidik orang ramai agar membuang sampah di tempat yang sepatutnya," katanya ketika mengadakan lawatan bersama Utusan Malaysia di lokasi tersebut baru-baru ini.

Pada 5 Mac lalu, akhbar ini melaporkan rungutan kakitangan pusat tersebut yang terpaksa berhadapan dengan longgokan sampah setiap hari didakwa dibuang penduduk sekitar.

Selain bau busuk, longgokan sampah yang dibuang sesuka hati di Jalan 7/18B itu bertaburan di bahagian hadapan bangunan Nasom sehingga mengundang kehadiran tikus, lalat dan anjing liar.

Tambah Nurulhuda, pihaknya bercadang untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai taman angkat bagi menjamin tahap kebersihan kepada pelajar-pelajar autisme itu.

"Kita akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi langkah jangka panjang kerana kita tidak mahu memasang pita plastik ini sepanjang masa.

"Oleh itu, kita akan memohon kebenaran DBKL untuk memulihara kawasan ini dengan menanam pokok bunga dan kerjasama pusat Nasom juga diperlukan untuk menjaganya," ujarnya.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi yang sebelum ini dipenuhi sampah sarap kini berada dalam keadaan bersih dan sejuk mata memandang.

Dalam pada itu, kereta buruk yang tersadai sehingga menghalang laluan kecemasan pusat Nasom juga telah ditarik DBKL.

Sementara itu, Penyelia Persatuan Nasom, Taman Batu Permai, Kartini Abu melahirkan rasa syukur kerana Alam Flora mengambil tindakan pantas selepas rintihan pelajar, ibu bapa dan kakitangan pusat itu disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini.

"Sehingga kini, kami sangat berpuas hati dengan kerja-kerja pembersihan yang dilakukan kerana tiada lagi longgokan sampah seperti sebelum ini.

"Diharapkan suasana ini terus berkekalan dan akan memberi kebaikan bukan sahaja kepada Nasom tetapi juga penduduk sekitar," Katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan