Jumaat, 5 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Rakyat perlu bijak menilai

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

Oleh HERMAN HAMID
utusanpahang@utusan.com.my

MOHD. Sharkar Shamsudin (empat dari kiri) menyerahkan senarai nama sukarelawan BN kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam selepas pelancaran Himpunan Gelombang Biru dan Pelancaran Sukarelawan BN Temerloh baru-baru ini.

KUANTAN 5 April - Kenyataan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti itu mampu memenangi 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen di Pahang dilihat hanyalah sekadar untuk melonjakkan moral jentera pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, rakyat boleh menilai kemampuan dan prestasi sebenar pemimpin parti itu, termasuk di dua kerusi DUN yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu.

"Rakyat Pahang tahu siapa yang harus mereka pilih. Kita bukan terlampau yakin tetapi jika masa tsunami politik 2008 lalu pun, kita hanya kalah kepada Pas di dua kerusi (Kuala Semantan dan Beserah) dengan dua lagi DUN dimenangi DAP.

"Apatah lagi dalam keadaan suasana politik yang memihak kita untuk PRU-13 ini. Kita ada rekod kerja yang diketahui rakyat sebab itu tengok sasaran Tuan Ibrahim itu, saya kira ia hanyalah nak beri keyakinan kepada jentera mereka sahaja.

"Ibaratnya, letak saja calon, yakin akan menang. Kenyataan seperti itu sudah menjadi lumrah bagi mereka setiap kali pilihan raya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lidah rasmi Pas, Harakah semalam melaporkan kenyataan Tuan Ibrahim yang meletakkan sasaran untuk memenangi 12 kerusi DUN, termasuk mempertahankan Kuala Semantan dan Beserah selain menang di tiga kerusi Parlimen di Pahang.

Dalam PRU-12, Pas meletakkan calon di 21 kerusi DUN daripada 42 yang dipertandingkan manakala di peringkat Parlimen, parti itu bertanding di enam kawasan.

Diminta mengulas mengenai Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang akan bertanding di Parlimen Temerloh, Mohd. Sharkar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen itu berkata, pihaknya bersedia menentang sesiapa sahaja calon pembangkang termasuk orang luar seperti Nasruddin.

"Nasruddin 'baru sampai' di Temerloh beberapa hari sahaja. Saya nak kata, hanya orang Temerloh yang tahu lorong-lorong di Temerloh. Ini boleh dirujuk pada hadis Rasulullah yang menerangkan hanya orang tempatan mengetahui selok-belok keadaan sebenar.

"Cuma apa yang diharapkan adalah pertandingan kelak berlaku secara demokrasi dan penuh berhemah tanpa melibatkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi," ujarnya.

Nasruddin bertanding di Parlimen Maran dalam pilihan raya umum lalu, namun tewas kepada calon BN, Datuk Ismail Abdul Muttalib dengan majoriti 6,641 undi.

Ahli veteran UMNO boleh bantu kejayaan BN

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

ISMAIL Sabri Yaakob (baju merah, enam dari kiriI) bersama sebahagian ahli veteran UMNO Bera pada Gerak Kerja Veteran UMNO 'Keluargaku Pengundi BN' di Kompleks Rakan Muda Bera kelmarin.

BERA 5 April - Penglibatan ahli veteran UMNO bukan sahaja akan menguatkan lagi parti tersebut, malah dapat membantu Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketua UMNO Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO tetap memerlukan kerjasama, pandangan serta tunjuk ajar veteran parti kerana merekalah menjadikan parti itu kuat dari dulu hingga kini.

Menurut beliau, pengalaman golongan itu boleh dijadikan azimat serta landasan bagi menentukan hala tuju parti tersebut pada masa depan.

"Penglibatan mereka akan menguatkan lagi keazaman ahli parti terutama golongan muda bagi mendaulatkan UMNO iaitu parti keramat orang Melayu dan pandangan mereka sangat diperlukan.

"Keringat dan air mata yang mereka curahkan ketika mengasaskan UMNO tidak boleh dilupakan dan perlu diberi penghormatan kerana golongan itu adalah pejuang bangsa, agama dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Gerak Kerja Veteran UMNO 'Keluargaku Pengundi BN' Peringkat Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda Bera di sini semalam.

Menurut beliau, pengalaman golongan veteran semasa memperjuangkan nasib bangsa perlu dijadikan iktibar dan contoh kepada ahli parti.

Beliau yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yakin golongan tersebut akan memberikan sokongan padu dan tidak mungkin mengkhianatinya.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan segelintir ahli veteran parti terbabit menyokong pembangkang disebabkan sesuatu kepentingan yang mereka mahukan tidak ditunaikan.

"Jangan beranggapan bahawa kerajaan meminggirkan golongan tersebut. Kita perlu bersyukur dan berterima kasih kerana semasa berkuasa dahulu, ahli-ahli veteran UMNO terlibat menyokong dan membantu kita.

"Jadi, apabila bersara, mereka meneruskan khidmat dengan membantu dan menyokong BN bagi mengekalkan kerajaan sedia ada," katanya.

Cuti 5,000 polis dibeku sempena PRU-13 - Ketua Polis Pahang

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

KUANTAN 5 April - Cuti 5,000 pegawai dan anggota polis negeri ini dibekukan bagi membolehkan mereka memberikan khidmat sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, pembekuan cuti tersebut dibuat serta-merta bagi membolehkan perjalanan PRU-13 berjalan lancar.

"Walaupun jumlah anggota yang terlibat mencukupi tetapi kita tetap meminta bantuan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menghantar anggota tambahan ke negeri ini.

"Saya ada minta kira-kira 400 anggota tambahan lagi untuk PRU-13 ini. Selain itu, kita juga akan minta bantuan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) di seluruh negeri untuk membantu pihak polis," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff.

Menurut beliau, dalam masa terdekat ini juga, pihak polis akan mengadakan perjumpaan dengan agensi lain yang terlibat dalam PRU-13 seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

"Perjumpaan ini diadakan bagi membincangkan mengenai kerjasama antara agensi supaya segala persiapan menghadapi PRU-13 dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

"Kita membuka bilik gerakan yang akan memantau segala khabar angin yang akan dibuat sepanjang PRU-13 berlangsung. Pemantauan ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri.

"Orang ramai bolehlah menghubungi talian 09-5052205 untuk mendapatkan sebarang kepastian mengenai khabar angin yang mereka dapat nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan