Jumaat, 12 April 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Inisiatif kerajaan bantu rakyat

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Seorang pelanggan membeli barang keperluan harian di Kedai Rakyat 1Malaysia SS4 Wangsa Maju, Kuala Lumpur. - UTUSAN/Ghazali basri

KUALA LUMPUR 11 April - Kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat dapat meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Selain dapat memberikan manfaat kepada rakyat, KR1M yang beroperasi berlandaskan konsep pasar mini 'mesra bajet' itu menyediakan pelbagai barangan keperluan asas pada harga yang rendah dan mampu milik.

Tinjauan Utusan Malaysia di KR1M Wangsa Maju, hari ini mendapati sambutan orang ramai terutama penduduk sekitar cukup memberangsangkan apabila premis tersebut tidak henti-henti dikunjung pelanggan.

Mereka berpendapat pembukaan KR1M di kawasan perumahan mereka sekaligus dapat menyelesaikan kenaikan harga barang yang ditanggung mereka selama ini.

Pemandu teksi, Muhamad Adom, 65, berkata, dia yang tinggal di Setapak datang ke situ semata-mata untuk membeli barangan keperluan harian.

Menurutnya, barangan seperti sabun, susu, beras dan lain-lain dijual dengan harga berpatutan berbanding pasar raya terkemuka atau kedai runcit yang menawarkan harga jauh lebih tinggi setelah saya membuat perbandingan harga.

"Kedai seperti ini membantu rakyat dan lebih bagus ia diperbanyakkan lagi di tempat-tempat pilihan saya dan keluarga untuk berbelanja,"katanya.

Suri rumah, Nur Aidawati Zakaria, 35, yang datang dari Jalan Jelatek itu menyifatkan KR1M harus diperluaskan lagi di sekitar ibu kota selain mencadangkan ke kawasan luar bandar agar mereka merasai manfaatnya.

"Disamping untuk memartabatkan produk-produk keluaran tempatan, saya mencadangkan KR1M diperluaskan sebanyak mungkin.

" Saya sering datang ke sini untuk membeli barangan dapur yang banyak menjimatkan kos perbelanjaan," ujarnya.

Suri rumah, Aziyaton Yaakob, 48, berkata, dia berpuas hati dengan harga yang ditawarkan di KR1M selain layanan yang mesra ditunjukkan oleh para pekerja di situ.

"Hari ini merupakan pertama kali saya datang ke sini dan sebagai contoh, harga untuk satu tin sardin berjumlah RM4.20 dijual di sebuah pasar raya terkemuka. Berbanding di KR1M, ia dijual dengan harga RM3.90 satu tin," jelasnya.

Gangguan air: Setengah juta pengguna terjejas

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Yusof Saroji (kiri) menerangkan status terkini bekalan air kepada Abdul Halem Mat Som dan Priscilla Alfred ketika mengadakan lawatan ke lokasi paip pecah berhampiran tebing sungai di Kampung Melayu Batu Caves, Selangor, semalam. - UTUSAN/ZAKARIA IDRIS

KUALA LUMPUR 11 April - Kira-kira setengah juta akaun pengguna Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) melibatkan 82 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air sehingga Isnin ini.

Pengarah Eksekutif Operasi Syabas, Yusof Saroji berkata, ini berikutan paip besar berukuran 2,000 milimeter dari Kolam Air Dusun Kubung ke Wangsa Maju telah pecah di lokasi berhampiran tebing sungai di Kampung Melayu Batu Caves, akibat hujan lebat malam tadi.

Menurutnya, antara kawasan terjejas adalah Flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Keramat, Jalan Padang Tembak, Jalan Semarak, Jalan Gurney dan Taman Pandan Jaya.

Turut terlibat Taman Cempaka, Taman Nirvana, Kampung Pandan Dalam, Taman Dagang, Taman Shamelin dan Kampung Melayu Ampang.

Beliau menjelaskan, salur paip itu pecah apabila tembok penahan paip tersebut tidak mampu bertahan akibat asakan dan tekanan kuat dari arus air sungai yang naik dan mengalir deras ekoran hujan lebat selama lima jam semalam.

"Kami menerima aduan orang ramai mengenai kejadian tersebut pada pukul 10 malam yang turut menyebabkan tebing sungai runtuh dan berlaku hakisan tanah," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke lokasi kejadian bersama media di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Koporat Syabas, Abdul Halem Mat Som dan Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred dan Yusof berkata, kerja-kerja pembaikan paip air yang mampu membekalkan 260 juta liter air sehari itu itu dijangka siap dalam tempoh dua hari bermula hari ini dan dijangka pulih secara peringkat.

"Kita berharap pembaikan yang menelan belanja sehingga RM50,000 dapat disiapkan segera namun faktor cuaca termasuk hujan lebat sejak akhir-akhir ini boleh menyebabkan berlaku kelewatan," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau menerusi laman web Syabas atau Twitter dan Facebook.

LZS serah zakat RM2.5j kepada 164 sekolah

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

SHAH ALAM 11 April - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan wang zakat sejumlah RM2.5 juta kepada 15,926 pelajar asnaf fakir dan miskin dari 164 buah sekolah melalui Program Sekolah Angkat (Prosa) 2013 yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Selangor (JPS).

Ahli Jawatankuasa Operasi Agihan LZS, Datuk Ibrahim Md. Yusoff berkata, LZS komited mahu meneraju perubahan dan membina peradaban dalam memperkasa sosioekonomi umat Islam di negeri ini.

"Untuk mencapai tujuan tersebut, LZS meyakini bidang pendidikan mampu menjadi senjata berkesan bagi merealisasi hasrat tersebut.

"Dengan seramai 15,926 orang pelajar rendah dan menengah yang terlibat, LZS mengeluarkan dana yang begitu besar bagi memastikan agenda pendidikan berjalan lancar," katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Agihan Program Sekolah Angkat LZS 2013 di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Timbalan Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS, Abdul Basith Hamid.

Ibrahim berkata, sepanjang lima tahun Prosa dilaksanakan dengan kerjasama JPS, sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan oleh LZS kepada sekolah-sekolah yang terlibat.

"Untuk tahun ini Prosa akan memberikan fokus kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan