Isnin, 15 April 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


1,700 tentera jaga keselamatan sempadan Kedah, Perlis

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

PENDANG 14 April — Seramai 1,700 anggota tentera ditugaskan menjaga keselamatan di sempadan Kedah/Perlis-Thailand menerusi Ops Kawasan Sempadan bagi memastikan kawasan sempadan negara selamat daripada ancaman luar.

Panglima Divisyen Kedua Infantri, Mej. Jen. Datuk Azizan Md. Delin berkata, kawalan keselamatan di kawasan-kawasan sempadan di seluruh negara, perlu diteruskan seperti biasa walaupun tiada unsur ancaman daripada pihak luar dikesan setakat ini.

"Kita sedia maklum bahawa Operasi Daulat akan dihentikan, bagaimanapun kawalan keselamatan masih diteruskan seperti biasa. Tumpuan kini diberikan kepada kawasan-kawasan sempadan.

"Buat masa ini, tiada ancaman yang diterima daripada pihak musuh, malah tidak ada pihak yang cuba mengganggu-gugat keamanan negara. Keyakinan rakyat terhadap keamanan dan keselamatan di negara ini juga semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat anggota tentera yang cedera semasa bertugas pada Operasi Daulat di Sabah, Koperal Khairul Anuar Isa, 35, di rumahnya di Kampung Bukit Raya Dalam, dekat sini, hari ini. Turut hadir Panglima 6 Briged, Brig Jen Datuk Zulkapri Rahamat.

Dalam lawatan itu, Azizan turut menyampaikan sumbangan Tabung Lahad Datu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjumlah RM6,000 kepada Khairul Anuar.

Sementara itu, Khairul Anuar ketika ditemui pemberita berkata, walaupun masih terkejut dengan kejadian 12 Mac lalu yang menyebabkannya cedera, namun dia tidak merasa serik untuk terus berkhidmat demi mempertahankan kedaulatan negara.

"Saya bersama angkatan tentera selama 13 tahun dan sepanjang tempoh itu, saya ditugaskan di Kem Kukusan, Tawau. Kejadian yang berlaku itu menyebabkan saya sukar untuk bercakap dan makan kerana peluru musuh menembusi tulang rahang, sebelah kanan pipi saya, dan saya dikejarkan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sandakan.

"Sekarang ini rasa sakit masih ada namun semakin berkurangan dan beransur pulih, cuma saya belum pasti bila dapat kembali memulakan tugas di sana. Saya tidak putus asa dengan kejadian yang berlaku sebaliknya akan terus berjuang demi keselamatan negara," katanya.

Khairul Anuar kembali ke kampung halaman bersama isteri, Zuraida Zainol, 35, dan anak, Nur Umairah, 9, untuk mendapatkan rawatan susulan sebelum dapat kembali bertugas di Sabah. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan