Isnin, 8 April 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Program Khidmat Bantu Di Rumah manfaat OKU, warga emas

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

Ab. Khalid Mat beramah mesra dengan peserta program Khidmat Bantu Di Rumah sambil diperhatikan Zaharuddin Ramna (empat dari kiri) di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, semalam.

TELOK KEMANG 7 April - Program Khidmat Bantu Di Rumah merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam memastikan golongan yang memerlukan mendapat bantuan secukupnya daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti JKM, Zaharuddin Ramna memberitahu, program yang mula diperkenalkan di negeri ini pada 2010 dan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun lalu bertujuan membantu golongan orang kurang upaya (OKU) serta warga emas yang tinggal bersendirian.

''Sukarelawan ini akan membuat lawatan ke rumah tersebut bagi membantu menjalankan urusan harian seperti penjagaan diri, kebersihan tempat tinggal, rakan bual dan urusan luar seperti membayar bil serta penjagaan kesihatan.

''Dengan program ini, golongan OKU dan warga emas akan berasa selesa tinggal di kediaman masing-masing tanpa rasa tersisih daripada masyarakat," katanya di sini semalam.

Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Port Dickson, Ab. Khalid Mat.

Tambahnya, setiap parlimen mempunyai sebanyak 10 sukarelawan yang terlatih dan mereka akan bantu antara dua sehingga empat orang peserta.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya memerlukan penglibatan daripada semua kaum bagi menjayakan projek itu kerana program khidmat bantu rumah ini bukan hanya untuk golongan Melayu sahaja tetapi semua kaum di negeri ini.

''Orang ramai yang ingin menyertai program ini boleh ke pejabat JKM di setiap daerah untuk mendaftar dengan segera kerana khidmat mereka amat kami perlukan.

''Pihak kami juga akan memberi sedikit peruntukan kepada mereka untuk membeli barang-barang keperluan yang akan dibawa ke rumah warga emas serta orang kurang upaya yang ada di dalam senarai JKM," ujarnya.

Operasi Gerak Gempur jadikan kawasan industri bebas sampah

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

TELOK KEMANG 7 April - Syarikat konsesi SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) akan menjalankan operasi Gerak Gempur melibatkan kawasan industri dalam menjadikan kawasan berkenaan bebas sampah.

Pengarah PPSPPA, Mohd. Azhar Abd. Hamid menjelaskan, program itu telah dilakukan sejak Mac lalu memandangkan lokasi berkenaan sering digambarkan kurang bersih.

"Jika sebelum ini tumpuan kita lebih terarah kepada kawasan perumahan, tetapi fokus kita kali ini telah berubah yang mana kita sasarkan kawasan industri di negeri ini akan berubah wajah dan terhindar dari masalah sampah.

"Bagi menjayakannya kami amat memerlukan kerjasama daripada peniaga di kawasan tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Azhar berkata, kawasan industri merupakan kawasan yang sukar untuk pihaknya menjalankan operasi pembersihan ekoran beberapa pemilik premis industri meletakkan kenderaan terpakai di bahu jalan, membuang sampah bukan di tempat sepatutnya serta mereka menutup longkang.

Katanya, walaupun notis amaran di keluarkan kepada peniaga namun mereka masih tidak mengikut peraturan.

"Para peniaga ini boleh di sabit kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam seksyen 672 yang mana mereka akan didenda RM1,000," katanya.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan sisa pepejal dan pembersihan awam boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-7472.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan