Isnin, 8 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Individu perlu miliki 5 elemen

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

KUANTAN 8 April - Individu yang ingin menceburi bidang perniagaan perlu memiliki lima elemen utama untuk diterapkan dalam diri bagi memastikan apa yang dilaksanakan dapat mencapai sasaran ditetapkan.

Pengerusi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, elemen yang merangkumi semangat ketekunan, kemahiran, kecekapan, keyakinan dan keberanian itu penting bagi memastikan kejayaan dapat dikecapi.

"Ramai peniaga ingin berjaya, namun tidak memiliki elemen tersebut dan berkesudahan mereka bakal berdepan risiko kegagalan malah menanggung kerugian yang besar dalam peniagaan mereka.

"Individu bergelar usahawan juga hendaklah mendapatkan khidmat nasihat, bantuan modal dan melihat kesesuaian produk untuk memajukan perniagaan mereka seterusnya dikembangkan ke peringkat lebih jauh," katanya selepas merasmikan Karnival Gegar Niaga KPTM di sini baru-baru ini.

Amaran kepada pengutip derma

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

KUANTAN 8 April - Pejabat Agama Islam Temerloh memberi amaran kepada kumpulan atau individu yang membuat kutipan derma di sekitar daerah ini supaya mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Kadi Daerah Temerloh, Badaruddin Ahmad Bustami berkata, mereka yang mengutip derma tanpa surat kebenaran bertulis daripada Muip dianggap tidak sah dan boleh ditangkap kerana melanggar peraturan walaupun mempunyai surat sokongan daripada Jabatan Mufti Pahang, polis dan sebagainya.

"Mereka yang berdegil boleh didakwa di bawah Seksyen 157 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 kerana kesalahan memungut wang tanpa kebenaran Muip dan sabit kesalahan boleh dihukum denda RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun.

"Orang ramai dinasihatkan meneliti surat kebenaran tersebut sebelum menderma bagi mengelak ditipu oleh kumpulan atau individu yang mengambil kesempatan ke atas masyarakat," katanya di sini baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan