Jumaat, 26 April 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Pengundi Cina silap besar jika anggap Anwar penyelamat

Posted: 26 Apr 2013 10:02 AM PDT

KUALA LUMPUR 27 April - Pengundi Cina diingatkan bahawa mereka sebenarnya tersilap besar jika menganggap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh yang bakal menyelamat dan memberi seluas peluang kaum itu sebagaimana diharapkan.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra Muzaffar berkata, perkara pertama yang akan dilakukan Anwar jika terpilih menjadi Perdana Menteri ialah mengubah dasar luar terhadap negara China kerana tunduk kepada kemahuan Amerika Syarikat (AS).

Dakwanya, Anwar yang cukup dikenali dunia sebagai 'anak emas' AS dan pelobi Yahudi akan memastikan hasrat China untuk muncul sebagai kuasa ekonomi dunia terhalang dengan membenarkan negara Uncle Sam itu menguasai Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Selain itu, beliau juga mengingatkan pengundi Cina agar menilai kemampuan Anwar dalam menguruskan ekonomi negara dengan menjadikan kegagalan bekas Menteri Kewangan tersebut menangani krisis ekonomi Malaysia pada 1997 sebagai ukuran terbaik.

"Selaku kaum peniaga, pengundi Cina perlu sedar apa yang berlaku kepada ekonomi negara pada 1997. Rekod Anwar pada ketika itu perlu dinilai apakah beliau berkemampuan atau sekadar bertindak mengikut telunjuk Tabung Kewangan Dunia (IMF) sehingga rakyat menderita.

"Jika pengundi Cina fikir Anwar akan beri segala-gala kepada mereka itu kesilapan paling besar. Anwar merupakan alat kepada AS dan jika dia terpilih menjadi Perdana Menteri, hasrat pengundi Cina mahu melihat hubungan mesra Malaysia-China kekal akan berakhir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai ahli panel pada Forum Nasional Pakatan Tak Sepakat - Apa Kata Mereka anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini petang semalam. - UTUSAN ONLINE

Insiden buruk dirancang untuk menangkan pembangkang?

Posted: 26 Apr 2013 09:54 AM PDT

NG Lum Yong (dua dari kiri) memberikan pandangannya ketika menjadi ahli panel Forum Nasional Pakatan Tak Sepakat - Apa Kata Mereka bersama-sama Tunku Abdul Aziz Ibrahim (dua dari kanan), Dr. Chandra Muzaffar (tiga dari kiri) dan Saidatul Badru Tun Said Keruak (kanan) di Kuala Lumpur petang semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID

KUALA LUMPUR 27 April - Tempoh empat hari sebelum hari mengundi 5 Mei ini dianggap saat paling kritikal kerana pada masa itu dikhuatiri akan berlaku insiden buruk yang sengaja dirancang untuk membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berpihak kepada pakatan pembangkang.

Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, segala-galanya boleh terjadi dalam tempoh berkenaan memandangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat politiknya.

Tambahan pula, katanya, PRU-13 telah dianggap sebagai pilihan raya paling getir dalam hidup Anwar dan atas sebab itu Penasihat PKR tersebut perlu membuat sesuatu bagi memastikan karier politiknya tidak berakhir.

"Satu perkara lagi, Anwar telah menerima banyak dana daripada pihak asing untuk pilihan raya kali ini, dan mahu tidak mahu beliau perlu menang seperti yang diminta oleh penyumbang-penyumbang dana berkenaan.

"Inilah yang berlaku sekarang, (kemungkinan) satu insiden buruk tidak boleh kita tolak kerana segala-galanya boleh berlaku, tambah-tambah lagi dalam tempoh kritikal iaitu 1, 2, 3 dan 4 Mei ini," katanya ketika bercakap sebagai ahli panel dalam Forum Nasional Pakatan Tak Sepakat - Apa Kata Mereka di sini petang semalam.

Lum Yong berkata, beliau secara peribadi amat khuatir jika insiden itu benar-benar berlaku.

Beliau berkata, sejarah telah menunjukkan insiden yang dikhuatiri itu pernah berlaku sebelum ini antaranya ketika proses pemilihan Presiden Taiwan pada 2004.

Katanya, dalam tempoh 48 jam sebelum hari pengundian, berlaku insiden tembakan hingga menyebabkan parti Kuomintang mengalami kekalahan sedangkan parti itu disebut-sebut akan menang besar pada pemilihan presiden.

"Kita jangan lupa Anwar seorang yang bijak dalam strategi politik. Cuba kita ingat bagaimana Anwar pernah buat pelbagai perkara sebelum ini bagi memastikan rakyat bersimpati terhadapnya.

"Anwar pernah kata yang beliau diberi racun arsenik dan pelbagai taktik dilakukan demi meraih simpati rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan