Jumaat, 5 April 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Dr. M akui simpan surat Azizah

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

Wan Azizah

KUALA LUMPUR 5 April - Misteri sama ada benar atau tidak Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pernah menulis surat setebal 18 muka surat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menceritakan tabiat sebenar suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya terjawab.

Ini berikutan buat pertama kalinya selepas 15 tahun menyimpan rahsia, Dr. Mahathir dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia akhirnya mengakui memang benar Wan Azizah menghantar surat tersebut semasa Anwar masih bergelar Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, surat Wan Azizah itu terlalu peribadi dan beliau tidak berhasrat mendedahkan kandungannya kerana tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak selain menyifatkannya tidak lagi penting kerana sudah terlalu banyak tabiat Anwar didedahkan pengamal media alternatif.

"Saya setakat boleh kata memang ada terima sahajalah. Surat yang diberi kepada saya secara sulit, jadi saya tidak boleh dedahkan kepada orang tetapi kita boleh lihat, tanpa surat itu pun bersih atau tidak bersih individu berkenaan. Jadi apa perlunya kita rujuk kepada surat yang sulit.

"Dia (Wan Azizah) memang cuba nak pertahankan (Anwar) juga. Isteri ada kesetiaan kepada suami. Hendak buruk-burukkan itu tidaklah tetapi kecewa itu adalah. Lebih utama apa yang kita lihat (sekarang) bukan soal apa yang Wan Azizah kata," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengesahkan sama ada benar atau tidak Wan Azizah pernah menyerahkan surat rahsia setebal 18 muka surat menceritakan mengenai kisah sebenar suaminya dengan harapan bekas Perdana Menteri itu boleh membantu.

Ditanya mengapa begitu lama menyimpan rahsia tersebut meskipun pelbagai tuduhan keji dilemparkan ekoran tindakannya memecat Anwar, Dr. Mahathir berkata, beliau bukan jenis manusia yang suka memburuk-burukkan pihak tertentu tanpa sebarang asas kukuh.

"Cuma dalam konteks ini, takut orang seperti itu berkuasa saya terpaksa dedahkan tetapi yang lain semua (kandungan surat) yang tidak memberi manfaat, tidak perlu saya dedahkan," katanya.

Temu bual bersama Tun Dr. Mahathir boleh diikuti dalam Mingguan Malaysia esok.

Sidek Baba kesal perjuangan ABIM dipergunakan

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR syahrir.bakar@utusan.com.my

Dr. Mahathir Mohamad mendengar penjelasan Sidek Baba yang mengunjungi beliau ketika kedua-dua tokoh itu bertemu membincangkan isu melibatkan Anwar Ibrahim selama kira-kira sejam di pejabatnya Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 5 April - Tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba kesal dengan perjuangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kini dipergunakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya umum kali ini.

Menurut beliau, kecenderungan itu memberi impak kepada hala tuju perjuangan ABIM sebagai sebuah badan dakwah dan tarbiah yang sepatutnya tidak berpihak pada mana-mana parti politik sebagaimana pendirian pertubuhan tersebut selama ini.

Lebih mengejutkan, kata beliau, bekas pemimpin serta aktivis ABIM itu masih sanggup bersama-sama perjuangan Anwar walaupun kredibiliti serta integriti moral dan pegangan agama pemimpin pembangkang berkenaan terbukti telah tercalar selama ini.

Bagaimanapun, beliau percaya kecenderungan individu tertentu daripada ABIM untuk menyokong Ketua Pembangkang itu hanya didorong oleh perasaan 'taksub' mereka terhadap Anwar sehingga sanggup mengetepikan segala bukti yang dikemukakan tentang pemimpin tersebut.

"Kalau orang tidak setuju itu terpulang. Kita ada berbeza pandangan dan perkara itu diizinkan tetapi mesti didukung dengan etika.

"Saya berbeza dengan mereka sebab saya ada fakta, maklumat tetapi mereka berbeza kerana tidak mengkaji. Sebut saja Anwar, terus jadi taksub," katanya.

Sidek yang juga bekas Setiausaha Agung ABIM dan masih menjadi ahli pertubuhan itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan hati ke hati dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau diminta mengulas pemilihan aktivis ABIM, Datuk Idris Jauzi sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Batu Pahat pada pilihan raya umum kali ini, seperti diumumkan Anwar kelmarin.

Sementara itu, kata Sidek, beliau mengalu-alukan semua pihak termasuk aktivis ABIM, pemimpin mahasiswa dan pihak berkepentingan untuk mengadakan pertemuan dengan beliau dan melihat sendiri hasil kajian lengkapnya mengenai Anwar sehingga menyebabkan beliau menolak pemimpin itu.

''Seperti contoh dalam beberapa siri pertemuan dengan ahli ABIM di rumah saya iaitu seramai 70 orang, kesannya ada. Saya ambil pendekatan terbuka.

"Saya bawa tokoh yang tahu tentang siapa Anwar dan dia ceritakan. Saya kata jangan rekod atau letak dalam blog. Mereka akan bertanya selama dua tiga jam dan apabila dia puas hati, saya tidak pun membuat ketetapan, saya tidak suruh mereka ambil pendirian," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa Pas masih sanggup bekerjasama dengan DAP dan PKR sedangkan DAP jelas mengamalkan idea sosialis demokratik yang bersifat liberal dan Anwar terpalit dengan pelbagai isu moral.

"Kalau masih ingat, Syed Husin Ali pernah dilarang oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat daripada bertanding di Kota Bharu kerana dasar sosialis demokrat yang dibawanya tetapi kini Pas bekerjasama dengan mereka," jelasnya.

Mengenai pertemuan empat mata dengan Dr. Mahathir hari ini pula, katanya, langkah itu dilakukan demi mendapatkan penjelasan bekas Perdana Menteri tersebut dan berkongsi maklumat mengenai Anwar serta sebab Anwar disingkirkan daripada Kabinet Dr. Mahathir lebih sedekad lalu.

"Tun Dr. Mahathir ada asas yang cukup baik kerana dia seorang yang rasional. Dia seorang yang membuat keputusan berdasarkan fakta bukan emosi dan mengambil tindakan menyingkirkan Anwar walaupun bukan tindakan popular," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan