Isnin, 29 April 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Generasi kedua tidak dianak tiri

Posted: 29 Apr 2013 01:27 PM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

DR. AHMAD Shukri Ismail (duduk, tengah) bergambar bersama golongan belia di Felda Jengka 10, baru-baru ini.

JERANTUT 29 April - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya generasi kedua Felda Jengka 10 di sini dianaktirikan kerana tidak tersenarai untuk memohon rumah seperti yang diumumkan oleh Felda baru-baru ini.

Beliau yang juga calon kerusi DUN tersebut berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan mana-mana kawasan tanah rancangan Felda untuk projek perumahan bagi golongan tersebut, namun perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat.

"Pembinaan rumah untuk golongan itu bagi fasa pertama akan dilaksanakan di Felda Padang Piol, Kota Gelanggi 1,2,3 dan 4, Sungai Retang, Jengka 9 serta Jengka 12.

"Mereka yang tinggal di kawasan lain perlu bersabar kerana peringkat kedua akan menyusul nanti," katanya ketika berucap dalam program Malam Santai Belia Jengka 10 di sini baru-baru ini dan turut dihadiri oleh Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din.

Ahmad Shukri memberitahu, Felda akan membina sebanyak 20,000 unit rumah generasi tersebut di seluruh negara dalam tempoh lima tahun dengan 4,000 unit dibina setiap tahun.

"Kepada mereka yang belum disenaraikan, jangan cepat melatah kerana nama terbabit akan diundi pada 2014 dan tahun seterusnya jika kerajaan BN diberi mandat di negeri ini," ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap golongan itu akan terus menyokong kerajaan BN bagi memastikan projek perumahan itu dapat diteruskan pada masa depan.

1,000 bakal terima insentif tanam semula di Bera

Posted: 29 Apr 2013 01:27 PM PDT

ISMAIL Sabri Yaakob menunjukkan surat kelulusan Skim Intensif Tanaman Semula untuk 1,000 peneroka dalam sidang akbar di Pejabat UMNO, di Bera, semalam.

BERA 29 April - Sebanyak 1,000 peneroka di Parlimen ini yang masih belum mendapat bayaran Skim Insentif Tanaman Semula (SITS) sawit menerima khabar gembira apabila permohonan mereka sudah diluluskan kerajaan.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan itu, Lembaga Pelesenan Minyak Sawit (MPOB) akan membuat pembayaran tersebut secara berperingkat bermula dengan pekebun di Felda Triang 1 dan Mengkuang tidak lama lagi.

Katanya, keseluruhan bayaran tersebut berjumlah RM4 juta melibatkan RM1,000 untuk setiap hektar yang mana setiap peneroka akan menerima RM4,000.

''Sebab mereka tidak terima sebelum ini kerana tempoh penebangan pokok sawit masih baharu. Mana yang ditebang sebelum 2011, semua telah menerima bayaran masing-masing.

''Selain itu, kesemua permohonan ini melibatkan peneroka yang mengusahakan kebun secara sendiri, tetapi alhamdulillah isu ini sudah selesai dan tarikh pembayaran ditentukan kemudian," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jentera BN di sini hari ini.

Katanya, peneroka Felda yang terlibat ialah di Purun iaitu 32 orang, Mayam (15), Triang 3 (110), Triang 1 (231), Kumai (177), Tementi (102), Rentang (65), Bukit Mendi (251), Bukit Puchong (185) dan Mengkuang, 85 orang.

Menurut Ismail Sabri, dengan pengumuman ini diharapkan pekebun terlibat tidak perlu lagi berasa bimbang kerana permohonan mereka diluluskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sepucuk surat bertarikh 10 April lalu.

Katanya, sehubungan itu, mereka tidak perlu mendengar tohmahan pembangkang yang menjadikan perkara ini sebagai isu di Parlimen ini, sebaliknya bersabar sementara menanti bayaran dibuat.

''Jadi, kalau ada masalah bukan pembangkang yang patut mereka cari tetapi kita, kerana sebagai kerajaan, BN mampu menyelesaikan masalah mereka.

''Sebab ada peneroka kadang-kadang terpengaruh dengan janji pembangkang kononnya kalau memerintah permohonan mereka akan luluskan. Namun, kita sekarang sedang memerintah, dan kita luluskan sekarang.

''Yang pembangkang, semuanya kalau tetapi kita ambil tindakan segera," jelasnya.

Penduduk Alor Akar terima geran rumah

Posted: 28 Apr 2013 12:59 PM PDT

Chang Hong Seong (kiri) beramah mesra dengan penduduk yang mendapat hak milik strata rumah mereka di Alor Akar, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 28 April - Hasrat 85 penduduk Rumah Pangsa Alor Akar di sini untuk mendapat hak milik strata rumah mereka akhirnya tercapai selepas penghuninya berjaya melunaskan sewa beli dalam tempoh yang ditetapkan.

Seorang penerima, Abdul Hamid Zainal Abidin, 54, berkata, penyerahan hak milik ini merupakan satu rahmat dan anugerah besar kerajaan kepadanya.

"Ini merupakan satu nikmat bermakna yang tidak pernah dijangka menjadi kenyataan.

"Saya amat gembira dan berterima kasih kepada kerajaan. Sumbangan oleh pihak kerajaan ini tidak akan kami lupa sehingga akhir hayat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagi Mariah Ali, 54, pula melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang mengurniakan hak milik rumah yang telah didudukinya sejak 25 tahun lalu.

"Inilah yang dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Janji Ditepati. Siapa pun yang menyampaikannya, ini adalah satu pemberian yang cukup bermakna dan tiada nilainya ," katanya dengan penuh terharu.

Menurut Senah Mat Daud, 50, dia menunggu detik gembira itu sejak 25 tahun lamanya dan pastinya pemberian hak milik tersebut adalah anugerah Allah yang dinanti-nantikan.

"Saya bersyukur kerana menerima geran ini. Terima kasih kepada kerajaan kerana menjadikan impian ini sebagai kenyataan," katanya.

Sementara itu, calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum , Datuk Chang Hong Seong berkata, dalam majlis hari ini, sebanyak 18 penduduk mendapat hak milik rumah mereka.

"Selebihnya iaitu 69 orang sedang dalam proses dan dijangka siap dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

"Saya harap mereka simpan baik-baik geran tersebut. Jangan pula jual sebab sekarang ini nilai hartanah di Kuantan sedang meningkat," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan