Isnin, 29 April 2013

Utusan Online - Politik

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


DAP terap sentimen anti-Pas?

Posted: 29 Apr 2013 01:27 PM PDT

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 April- Peraih undi DAP di beberapa negeri difahamkan sedang giat menggerakkan sentimen mempengaruhi pengundi bukan Islam supaya menolak calon Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut sumber, mereka menyebarkan sentimen bahawa 'satu undi kepada Pas membawa negara menuju ke arah penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud Pas'.

Sumber itu menjelaskan, walaupun status negara Islam tidak semestinya bermakna penduduk bukan Islam ditindas, namun peraih undi DAP berperanan menimbulkan ketakutan terhadap masyarakat bukan Islam tentang istilah 'negara Islam' dan 'hudud'.

"Peraih undi DAP juga ghairah menimbulkan persoalan kepada pengundi bukan Islam tentang adakah janji Pas bahawa undang-undang hudud parti itu tidak akan terpakai ke atas masyarakat bukan Islam boleh dipercayai.

"Saya tidak pasti adakah peraih undi itu mendapat arahan daripada pemimpin DAP di peringkat Pusat, negeri atau itu tindakan mereka sendiri kerana tidak setuju dengan kerjasama Pas dalam pembangkang khususnya berkaitan agenda hudud Pas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selasa lalu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dalam ceramah di Perlis menegaskan Pas tetap akan melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang menguasai Putrajaya walaupun mendapat tentangan DAP.

Kenyataan itu bercanggah dengan pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh yang konsisten menolak hudud Pas malah tentangan serupa disuarakan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez kelmarin dan Ahli Jawatankuasa DAP Kedah, S. Neelamekan hari ini yang menggesa pengundi bukan Islam menolak Pas.

Sumber tersebut menambah, gerakan ahli DAP di peringkat akar umbi itu merupakan perbuatan sabotaj terhadap Pas yang bakal menjejaskan peluang pakatan pembangkang membentuk kerajaan serta mempertahan negeri yang dimenangi dalam pilihan raya umum lalu.

"Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin tertinggi Pas dan DAP perlu membuat kenyataan jelas berhubung perkara ini," tegasnya.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha DAP Cawangan Kampung Baru Balakong, Tan Chew Wah mengesahkan ahli DAP di peringkat akar umbi sering menyatakan rasa tidak selesa berhubung kerjasama DAP dengan Pas.

Katanya, rasa tidak puas hati itu memandangkan Pas bersungguh- sungguh dengan agenda Islam sedangkan DAP pula memperjuangkan hak sama rata dalam kalangan penganut agama berlainan.

"Semasa saya masih dalam DAP, kebanyakan mesyuarat kerap menyebut tentang bagaimana DAP masih boleh menang di kebanyakan kawasan dalam Pilihan Raya Umum 2008 tanpa perlu mendapatkan bantuan Pas dan kali ini, sentimen itu semakin kuat.

"Walaupun secara formal pimpinan DAP dan Pas dilihat bekerjasama, namun penolakan DAP terhadap Pas kini giat dijalankan di peringkat akar umbi," katanya.

Cubaan redakan kemarahan ahli

Posted: 29 Apr 2013 01:27 PM PDT

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 April - Pas dan DAP hari ini mengeluarkan kenyataan bersama dipercayai bagi meredakan kemarahan dan perasaan syak wasangka dalam kalangan ahli dan pemimpin akar umbi kedua-dua parti itu terutama selepas beberapa pemimpin DAP secara terang-terangan menolak Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Walau bagaimanapun, kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dilihat sebagai skrip 'kitar semula' kerana langsung tidak menjelaskan kedudukan sebenar perkembangan kontroversi yang melanda parti tersebut.

Menurut Guan Eng dan Abdul Hadi, kedua-dua parti itu kononnya berkongsi 95 peratus dasar perjuangan yang sama iaitu menegakkan kebebasan, keadilan, kebenaran, integriti dan demokrasi untuk semua.

Namun, kedua-dua pemimpin pembangkang itu tidak menyebut mengenai baki perbezaan lima peratus antara kedua-dua parti yang dipercayai berkisar kepada agenda menegakkan negara Islam Pas termasuk pelaksanaan hukum hudud parti tersebut.

Jika benar baki lima peratus itu berkisar kepada persoalan tersebut, perkara berkenaan amat memalukan kerana Pas dilihat hanya memperuntuk ruang yang sangat kecil dalam kerjasama mereka dengan DAP bagi perjuangan negara Islam dan hukum hudud itu.

Perkara ini sekali gus membuktikan adalah mustahil bagi Pas melaksanakan hukum hudud mereka itu jika pembangkang berkuasa kerana dasar tersebut sendiri tidak diberi keutamaan dalam kerjasama mereka dengan DAP.

Dalam kenyataan bersama itu, Guan Eng langsung tidak menyebut peringatan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez kelmarin serta Ahli Jawatankuasa DAP Kedah, S. Neelamekan hari ini yang menggesa pengundi bukan Islam tidak mengundi Pas dalam pilihan raya umum akan datang.

Hadi Awang pula dilihat mengambil jalan selamat dengan tidak mengulas hasrat Pas melaksanakan hudud jika pembangkang mengambil alih kerajaan kelak seperti ditegaskan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din baru-baru ini.

"Untuk itu, manifesto pakatan pembangkang adalah berteraskan dasar bersama yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti yang tidak menindas atau menolak hak mana-mana bangsa, agama atau jantina," kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu diedarkan kepada pemberita dalam program kenduri rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji hari ini yang dihadiri Abdul Hadi, Haron, Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin serta calon-calon pakatan pembangkang di bawah Parlimen Arau.

Kenyataan itu juga secara jelas menafikan agenda hudud Pas yang diuar-uarkan pemimpin parti tersebut bagi memenangi hati pengundi Islam kerana menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, hukum hudud Pas tidak termasuk dalam manifesto bersama pembangkang.

0 ulasan:

Catat Ulasan